Catatan 花火 Hana-bi: Cinta Yang Merentasi Sempadan Masa Dan Keadaan

Apa itu cinta?

Cinta itu satu anugerah. Hadirnya tanpa diduga, tanpa dipaksa. Berputik tanpa mengenal sebarang titik perbezaan. Namun malangnya, adakalanya cinta yang sedang berkembang itu tidak dapat kekal mengharumi taman-taman hati hanya kerana terdapat kepincangan dalam percaturan masa. Mungkin inilah antara mesej yang cuba disampaikan oleh para penulis drama dalam drama-drama Korea kebelakangan ini. Jika dahulu, kita sering dihidangkan dengan kisah-kisah cinta yang berjaya merentasi sempadan darjat dan keturunan, namun untuk tahun 2012 ini, nampaknya kita lebih banyak dihidangkan dengan kisah-kisah cinta  yang merentasi sempadan masa dan keadaan.

Sejak dari awal tahun lagi, kita telah dihidangkan dengan drama-drama seperti The Moon That Embraces The Sun dan Love Rain, yang mencabar keutuhan cinta menerusi peredaran masa. Kita juga telah dihidangkan dengan drama-drama fantasi seperti Rooftop Prince dan Queen In Hyeon’s Man, yang memperlihatkan kekuatan cinta sebagai mampu merentasi sempadan zaman. Dan kini, untuk musim panas 2012 ini, kita masih lagi dihidangkan dengan drama-drama seperti I Do, I Do, A Gentleman’s Dignity, Big danTime Slip Dr. Jin, yang meletakkan masa sebagai salah satu elemen utama dalam jalan cerita masing-masing. Malah, percaturan masa memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan sesebuah hubungan cinta dalam kebanyakan drama-drama ini.

Amaran: Bahagian ulasan mengandungi ‘spoiler‘ yang mungkin menjejaskan keseronokan menonton seandainya anda masih belum menonton drama-drama ini.

  • KDrama 2012 – I Do, I Do

KDrama 2012 – I Do I Do

Sinopsis: Hwang Ji An (Kim Seon A) adalah seorang wanita berkerjaya yang pada mulanya merasakan hidupnya serba sempurna meskipun tidak berumahtangga, hanya kerana dia telah berjaya dalam kerjaya yang diceburi. Apabila hatinya akhirnya terbuka untuk berumahtangga selepas menemui calon suami yang sesuai pada usia pertengahan 30-an, dia walau bagaimanapun mendapati dirinya sedang mengandungkan anak kepada lelaki yang bukan calon suaminya. Bapa kepada bakal anaknya itu bukan sahaja merupakan seorang pemuda yang jauh lebih muda serta kurang matang, tetapi juga tidak mempunyai kerjaya yang baik sebagaimana diriya. Malah, calon suami yang diperkenalkan oleh keluarganya, iaitu seorang doktor pakar, mempunyai ciri-ciri yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bapa kepada bakal anaknya itu.

Ulasan Ringkas: Meskipun akhirnya menemui calon suami yang sesuai, jodoh Hwang Ji An dengan doktor pakar tersebut tidak kesampaian disebabkan oleh kesilapan besar yang dilakukannya. Seandainya Hwang Ji An berkenalan dengan doktor pakar tersebut sedikit lebih awal, pastinya dia akan bertemu jodoh dengan pasangan yang lebih sesuai dengan dirinya.

  • KDrama 2012 – A Gentleman’s Dignity

KDrama 2012 – A Gentleman’s Dignity

Sinopsis: Kim Do Jin (Jang Dong Geon), Im Tae San (Kim Soo Ro), Lee Jeong Rok (Lee Jong Hyeok) dan Choi Yun (Kim Min Jong) adalah empat bersahabat yang telah berkawan sejak dibangku sekolah. Pada usia 41 tahun, mereka akhirnya menemui kemuncak dalam kisah percintaan masing-masing. Kim Do Jin, seorang lelaki yang berwajah tampan dan sering dikerumuni perempuan, berasa tercabar apabila cintanya ditolak mentah-mentah oleh Seo I Soo (Kim Ha Neul), seorang wanita biasa. Im Tae San pula jatuh cinta kepada Hong Se Ra (Yoon Se A), seorang bintang sukan yang egois. Lee Jeong Rok, seorang kaki perempuan, terlibat dalam konflik rumahtangga dengan isterinya, Park Min Sook (Kim Jeong Nan), seorang wanita berada. Dan, Choi Yun yang kematian isteri, akhirnya menemui pengganti si isteri, Im Me A Ri (Yoon Jin I) tetapi perempuan yang dicintainya itu bukan sahaja adalah seorang gadis yang jauh lebih muda tetapi juga adalah adik kepada sahabat karibnya sendiri, Im Tae San.

Ulasan Ringkas: Meskipun zaman remaja mereka telah lama berlalu dan meskipun pada luarannya mereka nampak matang dan berusia, namun pada dalamannya, keempat-empat lelaki pertengahan umur ini masih tetap muda belia. Jiwa mereka masih tetap mendambakan cinta, sama seperti jiwa orang-orang muda. Ini boleh dilihat menerusi reaksi mereka sewaktu menghadapi konflik dalam percintaaan masing-masing. Walau bagaimanapun, meskipun adakalanya respon yang diberikan menampakkan ketidakmatangan mereka dalam menghadapi persoalan tentang cinta, namun reaksi yang diberikan pastinya berbeza seadainya konflik tersebut melanda sewaktu mereka masih di usia muda. Dan pastinya, mereka tidak akan mampu mengharungi cabaran tersebut dengan baik sebagaimana mereka di usia dewasa ini berjaya menempuhnya.

  • KDrama 2012 – Big

KDrama 2012 – Big

Sinopsis: Satu kemalangan jalanraya telah menyebabkan seorang remaja, Kang Gyeong Joon (Shin Won Ho) tertukar jasad dengan seorang lelaki dewasa, Seo Yoon Jae (Gong Yoo). Sewaktu cuba menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku pada dirinya dan sewaktu cuba untuk menyembunyikan rahsia tersebut daripada pengetahuan umum, terutama daripada pengetahuan Jang Ma Ri (Suzy Miss A) yang selalu mengganggunya, Gyeong Joon jatuh cinta kepada Gil Da Ran (Lee Min Jeong), tunangan Yoon Jae yang juga secara kebetulan adalah gurunya sendiri.

Ulasan Ringkas: Drama fantasi ini mungkin kelihatan sama seperti KDrama 2010 – Secret Garden kerana melibatkan pertukaran roh dengan jasad, namun isu penting yang cuba disampaikan oleh drama ini adalah berbeza. Apabila Kang Gyeong Joon jatuh cinta kepada Gil Da Ran sewaktu berada di dalam badan Seo Yoon Jae, Gyeong Joon mula mengharapkan dirinya dapat menjadi dewasa seperti Yoon Jae agar dapat berganding serasi dengan Da Ran yang lebih tua daripadanya. Dan apabila rahsia di sebalik kejadian misteri yang melanda dirinya itu terbongkar sedikit demi sedikit, Gyeong Joon mulai yakin bahawa dia mungkin menemui nasib yang berbeza seandainya dia dilahirkan 12 tahun lebih awal, seusia Yoon Jae. Malah, segala konflik yang melanda hidupnya, termasuk dilema dalam hubungan cintanya dengan Da Ran juga mungkin tidak akan berlaku seandainya dia dilahirkan lebih awal.

  • KDrama 2012 – Time Slip Dr. Jin

KDrama 2012 – Dr. Jin

Sinopsis: Jin Hyeok (Seong Seung Heon), seorang pakar bedah yang berbakat, secara tidak sengaja ‘mengembara’ ke zaman Dinasti Joseon dan mula mengenal tentang erti sebenar menjadi seorang doktor. Dalam masa yang sama, dia turut berkenalan dengan Hong Yeong Rae (Park Min Yeong) yang wajahnya saling tidak tumpah sama seperti wajah kekasihnya di zaman moden, Yoo Min A. Mereka berganding bahu dalam keadaan serba kekurangan untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Ulasan Ringkas: Di dalam drama-drama terdahulu, kita telah menonton bagaimana orang-orang zaman dahulu menyesuaikan diri apabila mereka datang ke zaman moden. Di dalam drama ini, kita dapat menyaksikan bagaimana orang zaman moden pula yang terpaksa menyesuaikan diri apabila tiba-tiba terpaksa meneruskan hidup di zaman dahulu kala. Perkenalan Dr. Jin dengan wanita yang seiras teman wanitanya ini menimbulkan tanda tanya, apakah terdapat perkaitan yang rapat antara  Hong Yeong Rae dengan Yoo Min A. Persoalan juga timbul tentang kesudahan perhubungan mereka apabila Dr. Jin mula jatuh cinta kepada Yeong Rae. Adakah cinta mereka akan dapat bersatu meskipun datang daripada dua zaman yang berbeza, atau adakah disebabkan faktor yang sama, maka hubungan cinta mereka adalah sesuatu yang mustahil?

Jadi, benarkah kata-kata sesetengah orang bahawa cinta itu melibatkan percaturan masa? Adakah benar masa memainkan peranan dalam kejayaan atau kegagalan sesebuah hubungan cinta? Jawapannya ada dalam KDrama musim ini.

Selamat menonton!

| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Tuesday, 24 July 2012, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s