Catatan 花火 Hana-bi: Hujan Cinta Turun Bersama Putera Raja Hati Khatulistiwa Sempena Jamuan Perkahwinan Ibu Ratu Fesyen

Pesta Musim Bunga 2012

Musim bunga di Korea kali ini nampaknya meriah dengan drama-drama daripada pelbagai genre, sesuai sekali dengan tema musim yang berwarna-warni, bermula dengan drama-drama yang padat dengan unsur-unsur kehidupan yang mencabar hati serta kesabaran manusia hinggalah ke drama-drama yang diiringi dengan unsur-unsur fantasi yang mencabar logik serta akal pemikiran. “Hujan Cinta Turun Bersama Putera Raja Hati Khatulistiwa Sempena Jamuan Perkahwinan Ibu Ratu Fesyen.” Judul paparan 花火 Hana-bi kali ini mungkin kedengaran agak pelik, namun ia sebenarnya mewakili judul-judul drama penggal kedua 2012 yang sedang hangat ditayangkan di stesen-stesen TV Korea Selatan waktu ini.  Berikut adalah sinopsis serta ulasan ringkas tentang drama-drama yang berjaya menarik perhatian 花火 Hana-bi untuk musim ini:

KDrama 2012 – Love Rain / 사랑비 / Sarangbi / Hujan Cinta

Love Rain

Sinopsis:
Drama percintaan yang mengisahkan tentang In Ha dan Yun Hui iaitu sepasang kekasih yang cinta mereka terputus di tengah jalan. Dua puluh tahun kemudian, mereka ditakdirkan untuk bertemu setelah kedua-duanya kembali membujang. Namun, konflik timbul kerana dalam masa yang sama, Jun dan Ha Na, iaitu anak lelaki serta anak perempuan masing-masing, turut saling jatuh cinta. Malah, cinta mereka turut mendapat tentangan hebat daripada bekas isteri In Ha yang enggan menerima hakikat bahawa bekas suaminya masih tidak dapat melupakan cinta pertamanya itu.

Ulasan Ringkas:
Sebagai sebuah drama bergenrekan melodrama, jalan cerita Love Rain adalah agak perlahan namun menyentuh hati. Malah, ia tidak bosan ditonton kerana selain memuatkan lagu-lagu tema yang menarik, ia turut menyelitkan adegan-adegan komedi yang melucukan, terutama di antara pasangan muda, iaitu Jun dan Ha Na. Tarikan utama drama ini pastinya terletak pada gandingan serasi aktor Jang Geun Seok dengan penyanyi daripada sebuah kumpulan terkenal Girls Generation / SNSD iaitu Yoona, yang melakonkan watak sebagai pasangan kekasih untuk kedua-dua versi (versi In Ha dan Yun Hui sewaktu muda serta versi Jun dan Ha Na).

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod 12) : 9/10

KDrama 2012 – Rooftop Prince / 옥탑방 왕세자 / Oktabbang Wangseja / Putera Raja Di Atas Bumbung

Rooftop Prince

Sinopsis:
Lee Gak, seorang putera mahkota dari zaman Dinasti Joseon merentasi masa dan ‘terjun’ ke dunia 300 tahun kemudian, iaitu ke zaman sekarang, untuk menyelesaikan misteri kematian isterinya. Oleh kerana tidak tahu bagaimanakah caranya untuk kembali ke zaman silam, baginda serta 3 orang pembantu peribadinya yang sama-sama merentasi masa, terpaksa belajar untuk menyesuaikan diri dalam dunia yang serba asing bagi mereka ini. Tanpa disedari,  perkenalan mereka dengan Park Ha, seorang gadis yang gigih berusaha, adalah kunci utama yang dapat membantu merungkaikan rahsia di sebalik kejadian aneh yang menimpa mereka ini.

Ulasan Ringkas:
Pendekatan ‘terlalu berterus-terang’ yang diambil oleh penulis skrip membuatkan drama ini hilang unsur-unsur misterinya. Walau bagaimanapun, kemunculan 4 jejaka pengembara masa yang diketuai oleh Lee Gak (Micky Yoochun), yang digelar oleh netizen sebagai ‘Joseon Power Rangers’ ini, dengan kerenah masing-masing yang mencuit hati, berjaya membuatkan drama ini kekal menarik untuk ditonton meskipun sebahagian besar daripada jalan ceritanya sudah dapat diduga oleh penonton.

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod 13) : 8/10


KDrama 2012 – The King 2 Hearts / 더킹 투하츠 / Deoking Tuhacheu / Dua Hati  Raja

The King 2 Hearts

Sinopsis:
Lee Jae Ha adalah adinda kepada Maharaja yang memerintah Korea Selatan. Baginda berkenalan dengan Kim Hang A, seorang askar wanita dari skuad khas Korea Utara, sewaktu sama-sama menjalani latihan ketenteraan di sana. Sikap Lee Jae Ha yang angkuh serta tidak mempedulikan sensiitiviti orang lain telah menimbulkan banyak masalah kepada kedua-dua negara yang telah lama bercakaran ini. Apabila Lee Jae Ha mula jatuh cinta kepada Kim Hang A, beginda mendapati bahawa dirinya bukan sahaja terperangkap dalam konflik percintaan malah turut terperangkap dalam konflik politik dua negara memandangkan gadis yang dicintainya dianggap oleh rakyat negaranya sebagai musuh mereka.

Ulasan Ringkas:
Pada mulanya, sukar untuk 花火 Hana-bi menggemari drama ini kerana tidak begitu menyenangi kedua-dua watak utama dalam drama ‘fantasi’ ini. Bukan kerana mutu lakonan yang lemah, tetapi lebih kepada keperibadian watak putera raja (yang dibawa oleh Lee Seung Gi) serta watak askar wanita (yang dibawa oleh Ha Ji Won) yang dirasakan agak menjengkelkan. Walau bagaimanapun, drama ini berjaya menarik perhatian 花火 Hana-bi di pertengahan episod apabila Lee Jae Ha akhirnya berubah tingkah selepas satu tragedi malang menimpa keluarganya.

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod 13) : 7/10

KDrama 2012 – The Equator Man / 적도의 남자 / Jeokdo-ui Namja/ Lelaki Khatulistiwa

The Equator Man

Sinopsis:
Kim Seon U dan Lee Jang Il pada asalnya adalah dua sahabat yang sangat akrab namun persahabatan mereka terjejas apabila kedua-duanya membuka haluan masing-masing selepas tragedi demi tragedi menimpa diri serta keluarga Seon U. Seon U bukan sahaja kehilangan bapa malah dia juga hampir-hampir kehilangan nyawanya sendiri sewaktu cuba membuktikan bahawa kematian bapanya adalah disebabkan oleh angkara seseorang. Malangnya, selepas bangkit daripada koma, Seon U mendapati matanya telah buta. Walau bagaimanapun, insiden tersebut telah membuka satu lembaran baru dalam hidupnya. Meskipun terpaksa meninggalkan buah hatinya, Han Ji Won, untuk berhijrah ke Amerika Syarikat, namun Kim Seon U nekad untuk mengubah nasib. Dan, yang paling penting, dia ingin memastikan bahawa mereka-mereka yang pernah belaku kejam terhadap dirinya serta bapanya, mendapat pembalasan yang setimpal, termasuklah Lee Jang Il, insan yang suatu masa dahulu bergelar sahabat.

Ulasan Ringkas:
Drama ini begitu menarik untuk ditonton pada awalnya, iaitu sewaktu watak Seon U dan Jang Il berada di zaman remaja, hasil daripada lakonan Lee Hyeon Woo (sebagai Seon U) dan Siwan ZE:A (sebagai Jang Il) yang begitu mengesankan. Ini tidak bermakna lakonan aktor berpengalaman Eom Tae Woong (sebagai Seon U versi dewasa) dan Lee Joon Hyeok (sebagai Jang Il versi dewasa) tidak bagus, cuma lakonan mereka kurang menonjol berbanding lakonan pelakon-pelakon versi remaja. Mungkin kerana setakat ini tidak banyak adegan yang benar-benar menyentuh hati, maka keseronokan menonton telah merosot sedikit berbanding episod-episod sebelumnya. Meskipun begitu, drama ini masih berjaya menarik perhatian 花火 Hana-bi untuk terus menonton.

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod 13) : 7/10

KDrama 2012 – Feast of the Gods / 신들의 만찬 / Shindeului Manchan / Jamuan Dewa-dewi

Feast of the Gods

Sinopsis:
Sewaktu berusia 4 tahun, Ha In Ju terpisah daripada keluarganya. Disebabkan dia hilang ingatan, Ha In Ju dibesarkan oleh sebuah keluarga sebagai Go Jun Yeong. Walau bagaimanapun, tanpa diduga, takdir telah membawanya kembali ke pangkuan keluarga asalnya apabila dia diambil bekerja di Arirang, sebuah restoran masakan tradisional Korea yang mana mahaguru cef / master chef di situ adalah ibu kandungnya sendiri. Selain daripada terpaksa membuktikan kemampuannya dalam memasak, kerana tidak memiliki sebarang kelulusan profesional, dia juga terpaksa ‘bertarung’ dengan Seong Yeon U, gadis yang telah lebih 20 tahun mengambil-alih tempatnya sebagai Ha In Ju.

Ulasan Ringkas:
Drama ini memang ‘sedap’ untuk ditonton kerana menyajikan hidangan-hidangan yang mampu membuatkan perut terasa lapar sewaktu menontonnya. Selain daripada hidangan yang berwarna-warni, drama ini juga turut menyelitkan asam-garam kehidupan seorang gadis kampung (Seong Yoo Ri sebagai Go Jun Yeong / Ha In Ju sebenar) yang terpaksa berusaha dengan gigih bukan sahaja bagi membuktikan kemampuan diri tetapi juga bagi mendapatkan kembali kasih-sayang keluarganya yang telah hilang.

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod ) : 7/10


KDrama 2012 –
Dummy Mommy / Dumb Mom / 바보 엄마 / Babo Eomma / Ibu Yang Kurang Cerdik

Dummy Mommy

Sinopsis:
Pada pandangan masyarakat umum, Kim Yeong Ju adalah seorang wanita yang berjaya dalam hidupnya. Namun, pada realitinya, kehidupan Kim Yeong Ju tidaklah  sesempurna mana. Suaminya bermain kayu tiga. Anak perempuannya, meskipun sangat pintar orangnya, langsung tidak menghormatinya. Dan, dia sebenarnya sering dalam kesempitan wang meskipun bergaji besar kerana terlalu banyak berhutang. Malah, Kim Yeong Ju juga turut menyembunyikan satu rahsia besar daripada pengetahuan semua orang, iaitu dia memiliki seorang ibu yang berIQ rendah. Kim Yeong Ju bukan sahaja menganggap ibunya sebagai kakak, malah dia juga turut meninggalkan si ibu di kampung semata-mata untuk membina kehidupan yang lebih sempurna di bandar. Malah, anaknya sendiri tidak tahu tentang kewujudan wanita yang tidak pernah dipanggilnya ibu ini.

Ulasan Ringkas:
Drama ini sememangnya menyayat hati kerana ia mengisahkan tentang kesabaran seorang ibu yang meskipun kurang cerdik orangnya dan meskipun sering dipinggirkan oleh si anak, dia tetap mencari peluang untuk mendekatkan diri dengan si anak. Walaupun sarat dengan isu-isu kekeluargaan, namun terselit juga unsur-unsur humor dalam drama ini menerusi aksi Kim Seon Yeong (Han Hee Ra), iaitu ibu Kim Yeong Ju (Kim Hyeon Joo). Malah, gelagat majikan Kim Seon Yeong (Shin Hyeon Jun) bersama pembantu peribadinya (Jo Deok Hyeon) adalah penyelamat drama ini sewaktu penonton berasa lemas dengan sikap Kim Yeong Ju yang terlalu beremosi dalam setiap kesulitan yang dihadapinya dalam hidup.

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod 13 ) : 6/10


KDrama 2012 –
Fashion King / 패션왕 / Paesyeon Wang / Raja Fesyen

Fashion King

Sinopsis:
Kang Yeong Geol adalah seorang pengusaha kilang pakaian yang menjual pakaian fesyen-fesyen terkini yang ditirunya sendiri daripada jenama-jenama tersohor. Namanya memang terkenal di kalangan penjual-penjual pakaian di pasar Dongdaemun, sebuah syurga membeli-belah yang cukup popular, kerana kehebatannya ‘menghasilkan’ rekaan-rekaan yang hebat. Jeong Jae Hyeok pula, adalah seorang pengarah di sebuah syarikat besar yang menjual pakaian secara eksklusif. Meskipun pada asalnya Yeong Geol dan Jae Hyeok tidak perlu bertarung sesama sendiri untuk berebut pelanggan kerana memiliki skop pelanggan yang berbeza, namun insiden demi insiden yang mempertemukan mereka telah menyebabkan Yeong Geol dan Jae Hyeok tidak dapat bertentang mata. Mereka bukan sahaja bertarung di pentas fesyen tetapi juga turut bertarung bagi memenangi hati seorang gadis yang cukup berbakat dalam bidang rekaan fesyen, bernama Lee Ga Yeong.

Ulasan Ringkas:
Drama yang menarik terutama bagi penggemar-penggemar seni rekaan fesyem kerana mengetengahkan pahit-maung kehidupan insan-insan yang terlibat di sebalik kemeriahan pementasan fesyen. Fokus utama drama ini adalah terhadap konflik yang melanda dalam hubungan antara Kang Yeong Geol (Yoo A In) dengan Lee Ga Yeong (Shin Se Gyeong) j apabila Jeong Jae Hyeok (Lee Je Hoon) mucul di antara mereka. Watak Kang Yeong Geol sebenarnya agak sukar dibaca kerana personalitinya yang sukar diduga. Pendiriannya dalam perniagaan serta hubungannya dengan Lee Ga Yeong juga agak mengelirukan. Meskipun watak sebegini tidak begitu digemari, namun Yoo A In berjaya mentransformasikan dirinya serta menghidupkan watak Kang Yeong Geol dengan baik sekali. Watak yang dibawa oleh Shin Se Gyeong pula walaupun kadangkala mampu membuatkan penonton berasa penat disebabkan sikap Lee Ga Yeong yang tidak tetap pendirian, namun Shin Se Geyong berjaya membawanya dengan baik juga.

Rating 花火 Hana-bi (sehingga Episod 14 ) : 6/10


The Marriage Plot

Selain daripada tujuh drama yang disenaraikan di atas, terdapat dua buah drama lain yang turut berjaya mencuri perhatian 花火 Hana-bi untuk musim ini, iaitu KDrama 2012 – The Marriage Plot / The Wedding Scheme / 결혼의 꼼수 / Gyeolhonui Kkomsu / Komplot Perkahwinan dan KDrama 2012 – Queen Inhyun’s ManQueen In Hyeon’s Man / 인현왕후의 남자 / Inhyeon Wanghu-ui Namja / Lelaki Permaisuri (Ratu) In Hyeon. The Marriage Plot adalah sebuah drama kekeluargaan yang mengisahkan tentang seorang ibu yang kecewa dengan sikap keempat-empat orang anak perempuannya dan ingin mengubah perangai mereka menerusi perkahwinan.

Queen Inhyun’s Man

Queen Inhyun’s Man pula adalah sebuah drama fantasi tentang seorang pegawai dari Dinasti Joseon yang mengembara ke zaman moden dan berkenalan dengan seorang pelakon wanita. Secara kebetulan, wanita tersebut baru sahaja ditawarkan watak sebagai Permaisuri In Hyeon, iaitu permaisuri dari zaman yang sama dengan zaman Dinasti Joseon di mana pegawai lelaki tersebut datang. Kedua-dua drama ini, setakat ini, agak menarik untuk ditonton kerana mengetengahkan elemen-elemen komedi yang bersahaja. Walau bagaimanapun, oleh kerana drama-drama ini baru sahaja memulakan penyiaran dan 花火 Hana-bi pula baru hanya menonton dua episod pertama mereka, maka rasanya terlalu awal untuk 花火 Hana-bi membuat sebarang ulasan atau penilaian tentang kedua-dua drama ini. Meskipun begitu, The Marriage Plot dan Queen Inhyun’s Man berpotensi untuk diletakkan dalam senarai KDrama terhangat untuk musim bunga 2012 ini.


Selamat menonton!




| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Sunday, 6 May 2012, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s