Catatan 花火 Hana-bi: Mentari Kedua Akhirnya Turut Bersinar

Jeong Il Woo sebagai Putera Yang Myeong

Jika sepanjang hampir 5 minggu kita telah melihat sang mentari, Kim Soo Hyeon lebih banyak bersinar menerusi wataknya sebagai Maharaja Lee Hwon, kini pada minggu ke-9 penyiaran KDrama 2012 – The Moon That Embraces The Sun (TMTETS), kita akhirnya dapat melihat mentari kedua, iaitu Jeong Il Woo / Putera Yang Myeong pula yang bersinar cahayanya. Pada minggu ini, para peminat TMTETS pastinya gembira kerana telah disajikan bukan sahaja dengan adegan yang ditunggu-tunggu ramai iaitu adegan romantis antara Maharaja Lee Hwon dengan buah hatinya Wol / Heo Yeon U (Han Ga In), tetapi kita juga dapat melihat Putera Yang Myeong dalam aura yang berbeza.

Enggan melepaskan...

Oleh kerana watak Putera Yang Myeong di dalam drama ini adalah seorang lelaki yang berjiwa sentimental, yang rapuh hatinya apabila dikecewakan oleh cinta, yang selalu berlagak sedikit gila-gila  atau kurang matang kecuali apabila keadaan mendesaknya untuk berlagak lebih dewasa, maka kita lebih banyak melihat putera ini dalam keadaan lemah serta tidak begitu berkarisma sebagaimana adindanya, Maharaja Lee Hwon. Walau bagaimanapun, untuk minggu kedua terakhir ini, terutama dalam Episod 17, selepas Putera Yang Myeong (Awas! Spoiler!) sekali lagi dikecewakan oleh wanita yang sama, kita akhirnya dapat melihat Putera Yang Myeong dalam aura yang berbeza.

Perang saudara...

Adegan yang paling meninggalkan kesan buat 花火 Hana-bi yang melibatkan Putera Yang Myeong pastinya adalah adegan ‘pertarungan’ antara putera tersebut dengan Maharaja Lee Hwon dalam episod ke-17. Jeong Il Woo berjaya menghidupkan watak yang diberikan dengan baik sekali di dalam adegan yang mendebarkan ini. Menerusi ekspresi wajahnya, jelas terbayang betapa dalamnya kasih Putera Yang Myeong terhadap adindanya tetapi dalam masa yang sama, dia tidak dapat melepaskan gadis yang dipujanya dengan begitu sahaja.

Di akhir episod yang ke-18 pula, kita disajikan dengan adegan pertemuan antara Putera Yang Myeong dengan Pembesar Yun, watak penjahat utama dalam drama ini selain Maharani Yun. Sepertimana adegan terakhir dalam episod-episod yang lain, adegan ini pastinya mendebarkan para penonton kerana ia adalah permulaan kepada insiden yang bakal menentukan jatuh bangunnya kerajaan Dinasti Joseon yang dipimpin oleh Lee Hwon. Dan ianya juga bakal menentukan nasib pasangan Lee Hwon-Heo Yeon U yang telah terpisah selama 8 tahun itu, sama ada mereka akhirnya dapat hidup bersama sebagaimana yang diimpikan atau adakah mereka akan terpisah sekali lagi. Kita cuma ada kira-kira 120 minit sahaja untuk menyaksikan penamat kisah percintaan yang tragis ini.

Adegan yang ditunggu-tunggu...

Oleh kerana 花火 Hana-bi belum pernah membaca novel asal yang menjadi asas jalan cerita TMTETS (dan memang tidak berkeinginan untuk membacanya sehingga drama ini tamat kerana hendak mengelak daripada keseronokan menonton terganggu), maka 花火 Hana-bi tidak dapat mengagak apakah kesudahan yang bakal disajikan kepada penonton pada minggu akan datang ini. Secara lumrahnya, 花火 Hana-bi memang mengharapkan kesudahan yang baik untuk pasangan Lee Hwon-Heo Yeon U ini. Meskipun bersimpati dengan Putera Yang Myeong, Lee Hwon dan Heo Yeon U berhak untuk hidup bahagia bersama selepas terpaksa menempuh pelbagai rintangan dalam hidup. Siapapun yang menjadi maharaja, sama ada Lee Hwon mahupun Putera Yang Myeong, semua itu tidak menjadi isu. Yang paling penting, kesemua mereka, termasuk Permaisuri Yun (isteri Lee Hwon) serta pasangan Puteri Min Hwa dan Heo Yeom (abang Heo Yeon U), dapat menemui penamat yang baik bagi segala penderitaan yang dialami.




| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Sunday, 4 March 2012, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s