Catatan 花火 Hana-bi: Kini Mentari Pula Yang Gerhana

Tatkala mentari gerhana...

Sekiranya anda adalah pengikut setia KDrama 2012 – The Moon That Embraces The Sun (TMTETS), anda pastinya tersentuh dengan adegan terakhir dalam Episod 16 yang disiarkan pada 23 Februari 2012 yang lalu. Jika di dalam beberapa episod kebelakangan ini kita telah menyaksikan ‘Sang Rembulan’ gerhana, kini tiba giliran ‘Sang Mentari’ pula untuk gerhana. Tidak sabar rasanya menunggu episod seterusnya KDrama hebat ini yang bakal ke udara esok, 29 Februari 2012.

Ini kerana, episod ke-17 bakal mempertontonkan reaksi/tindakan Maharaja Lee Hwon selepas akhirnya mengetahui bahawa (Awas! Spoiler!) Heo Yeon U, kekasih hatinya yang disangka telah meninggal, rupa-rupanya masih hidup. Malah, Wol, wanita yang dianggap menyerupai kekasih hatinya itu rupa-rupanya memang adalah Heo Yeon U yang sebenar. Tambah menyedihkan lagi adalah apabila peristiwa malang yang pernah menimpa Yeon U sewaktu remaja berulang sekali lagi. Dan Lee Hwon, meskipun kini sudah bergelar seorang Maharaja dan sepatutnya adalah seorang lelaki yang paling berkuasa di zaman Dinasti Joseon itu, nampaknya beliau masih lagi gagal melindungi wanita yang sangat dikasihinya itu sepertimana beliau pernah gagal melindungi Yeon U sewaktu masih bergelar Putera Mahkota. Kesedihan serta kekecewaan yang dirasai oleh Maharaja Lee Hwon berjaya digambarkan dengan begitu baik sekali oleh pelakonnya, Kim Soo Hyeon. Daripada riak wajahnya, daripada redup pandangannya, jelas menunjukkan kepahitan yang dirasainya saat itu. Sungguh meruntun perasaan!

Lawan Tangis: Jin Goo lwn Soo Hyeon

Adegan yang menyayat hati ini mengingatkan 花火 Hana-bi kepada adegan lapan tahun yang lalu iaitu sewaktu Putera Mahkota Lee Hwon mendapat tahu tentang kematian Yeon U. Jika sebelum ini terdapat ramai penonton yang memuji kehebatan lakonan adik Yeo Jin Goo yang memegang watak Lee Hwon versi remaja, pastinya sekarang ini terdapat ramai juga yang memuji kehebatan lakonan Kim Soo Hyeon  yang memegang watak Lee Hwon versi dewasa ini, terutama selepas menonton Episod 16  TMTETS. Kim Soo Hyeon berjaya membuktikan bahawa pemilihan yang dibuat oleh pihak produksi TMTETS ternyata tepat kerana daripada aspek lakonan, beliau memang layak menerima pujian.

Malah, Kim Soo Hyeon berjaya mentransformasikan dirinya daripada seorang budak kampung yang lemah, di dalam KDrama 2011 – Dream High, kepada seorang lelaki yang berkarisma tinggi menerusi KDrama 2012 ini. 花火 Hana-bi sebetulnya tidak begitu menggemari watak Song Sam Dong yang dibawa oleh Kim Soo Hyeon di dalam Dream High kerana Kim Soo Hyeon, pada pendapat 花火 Hana-bi, tidak begitu menyerlah sebagai seorang penyanyi berbakat besar sebagaimana yang dikehendaki oleh wataknya.

'Song Sam Dong'

Mungkin kerana pada realitinya Kim Soo Hyeon bukanlah seorang penyanyi idola sebagaimana rakan-rakannya yang lain di dalam drama idola kegemaran ramai itu, maka ‘Song Sam Dong’ tidak nampak begitu menyerlah daripada aspek kemampuannya dalam menyanyi serta menari. Walau bagaimanapun, menerusi TMTETS, Kim Soo Hyeon berjaya menyerlah sebagai seorang Maharaja. Sebagaimana adik Yeo Jin Goo berjaya menawan hati 花火 Hana-bi menerusi lakonannya sebagai Lee Hwon versi remaja yang romantis, Kim Soo Hyeon nampaknya tidak kurang hebatnya kerana berjaya mengekalkan daya tarikan itu menerusi lakonannya sebagai Lee Hwon versi dewasa yang meskipun pada luarannya nampak tegas, namun pada dalamannya, beliau seorang yang berhati lembut.

Seorang lagi pelakon yang ternyata begitu menyerlah di dalam TMTETS pastinya adalah pelakon wanita utamanya, iaitu Han Ga In. Pelakon yang memang sedia terkenal dengan wajah cantiknya ini berjaya membawa watak Wol/Heo Yeon U dengan baik sekali. Malah, pada pendapat 花火 Hana-bi, drama ini adalah drama terbaik lakonan Han Ga In setakat ini yang pernah ditonton. Oleh kerana watak yang dibawa kali ini lebih mencabar serta memerlukan lebih banyak ekspresi wajah berbanding drama-drama beliau sebelum ini, maka kemampuan Han Ga In untuk menghidupkan watak ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pelakon yang berbakat serta tidak hanya bergantung kepada kecantikan rupa parasnya untuk terus kekal dalam dunia hiburan. Di dalam beberapa episod kebelakangan ini, terutama (Awas! Spoiler!) selepas ingatan Wol/Heo Yeon U kembali pulih, lakonan Han Ga In benar-benar menyerlah. Episod ke-16 turut memperlihatkan kebolehan Han Ga In menghayati watak yang dibawanya dengan begitu berkesan sekali sehingga berjaya meruntun hati penonton.

Tatkala rembulan gerhana...

Dengan kekuatan yang ada pada kedua-dua pelakon utamanya ini, di samping skripnya yang baik, maka tidak hairanlah TMTETS begitu mendapat tempat di hati penonton. Meskipun drama ini belum berakhir, namun 花火 Hana-bi percaya, berdasarkan catatan rating yang sangat tinggi saban minggu, drama ini pasti akan dapat mengekalkan statusnya hingga ke episod terakhir penyiarannya sebagai salah-sebuah drama paling diminati dalam sejarah pembikinan drama Korea Selatan. Malah, rasanya tidak melampau seandainya 花火 Hana-bi menobatkan drama ini sebagai salah-sebuah drama Korea terbaik yang pernah ditonton oleh 花火 Hana-bi. Meskipun terdapat sedikit kepincangan daripada aspek perfileman, namun ianya tidak langsung mencacatkan keseluruhan drama ini. Jadi, sekiranya anda gemarkan drama berunsur percintaan tetapi masih belum menyaksikan KDrama hebat ini, maka 花火 Hana-bi sarankan agar anda segera menontonnya kerana TMTETS pastinya akan dapat menawan hati anda. Seandainya anda bukan seorang peminat drama-drama Sageuk (drama klasik/bersejarah) sekalipun, 花火 Hana-bi percaya jiwa anda pasti akan tersentuh dengan kisah cinta yang tragis ini, seandainya anda memang seorang peminat drama-drama cinta.

Selamat menonton!



| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Tuesday, 28 February 2012, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s