Catatan 花火 Hana-bi: Tatkala Sang Rembulan Mendakap Sang Mentari

Drama Hebat Pembuka Tirai 2012

Sebuah drama pembuka tirai 2012, The Moon That Embraces The Sun (TMTETS), kini sedang hangat diperkatakan di bibir serta di hujung jari peminat-peminat KDrama. Sebagaimana hebatnya Wol, seorang bomoh istana, hari demi hari berjaya mencuri hati Lee Hwon, seorang maharaja, begitu jugalah hebatnya drama ini dalam berjaya menawan hati para penontonnya menerusi jalan ceritanya yang menarik saban episod.

Minggu ini, sudah masuk minggu ke-7 TMTETS disiarkan di MBC pada slot Rabu & Khamis 9.55  malam. Disebabkan rating penonton yang semakin meningkat saban minggu, malah dengan catatan yang cukup tinggi melebihi 40% penonton (Seoul) sejak minggu ke-5 penayangannya (sumber: AGB Nielson), iaitu satu catatan yang jarang dinikmati oleh drama-drama bersiri terutama drama terbitan MBC, maka terdengar ura-ura bahawa TMTETS bakal dilanjutkan empat episod lagi, menjadikannya 24 episod secara keseluruhan.

Sewaktu drama ini baru beberapa minggu disiarkan, 花火 Hana-bi sebenarnya berasa agak sangsi dengan pemilihan pelakon-pelakon yang bakal menggantikan pelakon-pelakon muda yang selama 5 1/2 episod telah berjaya menjayakan watak-watak utama versi remaja dengan begitu baik sekali. Ini kerana, pelakon-pelakon yang dipilih untuk memegang watak-watak versi dewasa kelihatan kurang sesuai daripada aspek jurang usia mereka. Bukan sahaja rata-rata barisan pelakon versi dewasa melakonkan watak yang jauh lebih muda, malah jarak umur antara sesama mereka juga membuatkan isu keserasian gandingan ini hangat diperkatakan.

Han Ga In sebagai bomoh istana bergelar Wol

Walau bagaimanapun, kru penerbitan TMTETS berjaya membuktikan bahawa pemilihan yang dibuat adalah TIDAK 100% tidak tepat kerana secara keseluruhan, setelah 4 minggu drama ini berlangsung sejak watak dewasa diperkenalkan, nampaknya jurang usia tersebut tidak langsung mencacatkan jalan cerita yang cuba disampaikan. Malah, terdapat ‘keserasian’ yang unik antara mereka, terutamanya antara Han Ga In (31 tahun) yang memegang watak sebagai Wol (21 tahun) dengan Kim Soo Hyeon (25 tahun) yang memegang watak sebagai Maharaja (23 tahun).  Meskipun 6 tahun lebih tua daripada Kim Soo Hyeon dan meskipun memegang watak yang 10 tahun lebih muda daripada usia sebenarnya, Han Ga In ternyata berjaya membawakan watak tersebut dengan baik dan meyakinkan. Malah, jurang usia antara mereka tidak nampak terlalu ketara, mungkin disebabkan oleh wajah comel ‘baby-face‘ Han Ga In yang seolah-olah tidak dimamah usia.

Ironisnya, Kim Min Seo (29 tahun) yang memegang watak Permaisuri kelihatan jauh lebih tua berbanding Han Ga In meskipun usianya sebenarnya 2 tahun lebih muda. Watak Permaisuri sepatutnya sebaya dengan watak Wol (Han Ga In) iaitu 21 tahun, namun mungkin kerana hiasan serta pakaian rasmi permaisuri yang dipakainya, maka Kim Min Seo kelihatan terlalu tua di dalam drama ini. Meskipun kadangkala cuba menampilkan sikap keanak-anakan, namun Kim Min Seo gagal menyerlah sebagai wanita berusia 21 tahun, sebagaimana watak beliau iaitu Permaisuri gagal menawan hati Maharaja.

Satu lagi watak versi dewasa yang kelihatan canggung di dalam TMTETS adalah watak Heo Yeom yang dipegang oleh Song Jae Hee. Song Jae Hee yang berusia 34 tahun bukan sahaja dirasakan terlalu tua untuk memegang watak Heo Yeom yang baru berusia 25 tahun, namun beliau juga kelihatan tidak serasi apabila digandingkan Nam Bo Ra (24 tahun) yang memegang watak sebagai isterinya, Puteri Min Hwa (19 tahun). Meskipun usia sebenar Nam Bo Ra hampir mencecah pertengahan 20-an, namun disebabkan oleh wajahnya yang masih nampak keremajaan, maka pasangan Heo Yeom dan Puteri Min Hwa di dalam drama ini kelihatan seperti pasangan abang sulung dengan adik bongsu. Malah, Song Jae Hee juga tidak kelihatan begitu serasi apabila digandingkan dengan Jeong Il Woo (26 tahun) dan Song Jae Rim (28 tahun) kerana Song Jae Hee ternyata kelihatan terlalu tua sedangkan watak tiga sekawan ini, Heo Yeom, Putera Yang Myeong serta Un, seharusnya berada dalam lingkungan usia yang sama iaitu sekitar 25-26 tahun.

Barisan Pelakon Remaja vs Barisan Pelakon Dewasa

Hal ini berlainan sekali dengan barisan pelakon versi remaja. Oleh kerana usia sebenar mereka hampir sama dengan usia watak yang dibawa, maka mereka dilihat lebih serasi digandingkan bersama. Meskipun terdapat segelintir daripada mereka yang usia sebenarnya jauh lebih tua daripada usia watak, namun disebabkan oleh wajah yang masih keremajaan, maka kemunculan mereka di dalam TMTETS tidak kelihatan canggung. Sebagai contoh, Siwan, penyanyi daripada kumpulan ZE:A yang memegang watak Heo Yeom versi remaja, kelihatan bagitu serasi dengan watak yang dibawanya meskipun usia sebenar beliau adalah 8 tahun lebih tua.

Selain daripada faktor usia, barisan pelakon versi remaja dilihat lebih akrab di sebalik tabir pembikinan drama berbanding barisan pelakon versi dewasa. Mereka bukan sahaja dikatakan lebih ceria sewaktu di set (yang mana tidak dapat dinafikan faktor usia memainkan peranan), sebahagian daripada mereka juga pernah bekerjasama di dalam beberapa produksi berasingan sebelum ini. Ini membuatkan mereka lebih selesa dan lebih serasi berganding di bawah satu produksi. Sebagai contoh, adik Kim Yoo Jeong (yang memegang watak sebagai Heo Yeon U) pernah muncul berganding bersama adik Yeo Jin Goo (yang memegang watak sebagai Putera Lee Hwon) menerusi KDrama 2008 – Iljimae. Beliau juga sebelum ini pernah digandingkan dengan Lee Min Ho (yang memegang watak sebagai Putera Yang Myeong) sebagai pasangan kekasih menerusi KDrama 2010 – Gumiho: Tale of the Fox’s Child. (Nota Lee Min Ho dari TMTETS ini adalah berbeza dengan Lee Min Ho dari City Hunter/Boys Over Flowers).

Di kalangan barisan pelakon versi dewasa, hanya Jeong Il Woo dan Song Jae Rim yang pernah bekerjasama sebelum ini, iaitu menerusi KDrama 2011 – Flower Boy Ramyun Shop. Bagi pelakon-pelakon lain, terutama pasangan utama TMTETS iaitu Kim Soo Hyeon dan Han Ga In yang baru pertama kali digandingkan bersama, mereka mungkin memerlukan masa yang lebih untuk merapatkan jurang antara sesama mereka. Walau bagaimanapun, disebabkan komitmen yang jitu yang diberikan demi menghidupkan watak yang dipegang, pelakon-pelakon versi dewasa ini berjaya menyembunyikan realiti sebenar di sebalik pembikinan drama TMTETS menerusi lakonan mereka yang mantap. Malah, jurang yang tercipta tanpa sengaja ini tidak langsung mempengaruhi keseronokan menonton drama hebat ini. Malah, mungkin gandingan unik ini adalah antara faktor penarik utama TMTE TS selain daripada jalan ceritanya yang menarik. Dan meskipun dikritik hebat disebabkan terdapat kesilapan daripada aspek perfileman, namun TMTETS ternyata masih berjaya menawan ribuan hati penonton. Dan 花火 Hana-bi percaya TMTETS mampu menarik lebih ramai lagi penonton apabila ia mula disiarkan di stesen-stesen TV luar Korea kelak.


| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Saturday, 18 February 2012, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s