Catatan 花火 Hana-bi: Cinderella Kembali Lagi…

Rain + Song Hye Gyo Dalam "Full House"

Sejak mengikuti drama-drama terkini Korea menerusi Internet/komputer, sebenarnya sudah agak lama 花火 Hana-bi tidak mengikuti sebarang drama bersiri Korea menerusi stesen TV tempatan. Namun, kebelakangan ini, terdapat beberapa buah drama lama yang berjaya menarik 花火 Hana-bi  untuk kembali menghadap kaca televisyen. Selepas KDrama 2004 – Full House selesai diulang tayang bulan lepas, kini muncul pula dua buah drama hebat yang suatu masa dahulu cukup popular. Drama-drama ini, meskipun mempunyai jalan cerita yang jauh berbeza, namun kedua-duanya mempunyai persamaan daripada aspek jalan cerita yang ala-ala kisah dongeng Cinderella. Dua buah drama yang dimaksudkan adalah KDrama 2006 – Goong / Princess Hours / Imperial Household dan KDrama 2010 – Cinderella Unni / Cinderella’s Sister.

Pelakon-pelakon Utama Goong

Meskipun telah hampir lima tahun berlalu sejak Goong pertama kali disiarkan di kaca TV Malaysia pada tahun 2007 (harap dibetulkan seandainya tersilap!), masih terimbau-imbau ‘kemaruk’ yang pernah dirasakan sewaktu mengikuti drama ini hampir saban hari, suatu masa dahulu.  Kedatangan setiap episodnya senantiasa ditunggu-tunggu. Malah, meskipun Goong kemudiannya selesai disiarkan, demam drama ini tetap sukar untuk kebah.

Goong adalah drama pertama Korea yang berjaya membuatkan  花火 Hana-bi ingin menggali semua info yang  ada kaitan dengannya di Internet. Bermula daripada latar-belakang para pelakonnya, manhwa atau komik asalnya hinggalah ke sedutan cerita atau kisah di sebalik tabir pembikinan drama ini, semuanya cuba dikorek dan diselongkar. Ini menyebabkan pernah suatu ketika, cakera keras (hard disk ) komputer 花火 Hana-bi penuh hanya kerana memuat-turun gambar, lagu serta video berkaitan Goong.

'Keluarga' Shin + Chae Gyeong

Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu drama ini sedang rancak disiarkan di 8TV adalah apabila saudara-mara dari kampung datang bertandang ke rumah. Pada hari tersebut, kami keluar bersiar-siar sejak dari pagi lagi. Meskipun seronok dapat keluar bersiar-siar dengan mereka, menjelang petang, hati 花火 Hana-bi mula rasa tidak tenteram, kerana bimbang terlepas tayangan episod Goong yang seterusnya yang bakal bersiaran pada sebelah malam (kalau tidak silap dari pukul 7-8malam). Kebetulan pula, sewaktu dalam perjalanan pulang, jalan mengalami kesesakan yang teruk kerana waktu itu ramai yang sedang berpusu-pusu hendak pulang ke rumah dari tempat kerja. Oleh kerana tidak yakin akan dapat sampai ke rumah sebelum drama tersebut ditayangkan, maka 花火 Hana-bi mengambil keputusan untuk pulang dengan komuter sahaja.

Ikon Dalam "Goong"

Meskipun hanya sempat menonton 10-15 minit terakhir, namun 花火 Hana-bi tetap berasa lega kerana sekurang-kurangnya dapat menonton watak-watak utama di dalam Goong, terutamanya Chae Gyeong (Yoon Eun Hye), Putera Shin (Joo Ji Hoon)  dan Putera Yul (Kim Jeong Hoon). Tambahan pula, seandainya 花火 Hana-bi pulang dengan kereta, 花火 Hana-bi tidak akan berpeluang menonton walau seminitpun kerana kereta yang dipandu saudara 花火 Hana-bi itu sampai ke rumah sebaik sahaja episod tersebut selesai disiarkan. Pastinya 花火 Hana-bi akan berasa terkilan kerana tidak dapat menonton.

Eun Jo dan Ki Hoon dalam MV OST 'It Has To Be You'

Setiap kali drama ini diulang tayang, pastinya 花火 Hana-bi tidak akan melepaskan peluang untuk menonton. Malah, meskipun sekarang ini 花火 Hana-bi telah dan masih ‘memiliki’ salinan video kesemua 24 episod, namun 花火 Hana-bi masih tidak mahu melepaskan peluang untuk menontonnya di kaca TV, yang sekarang ini sedang disiarkan di Stesen RTM (TV2).

Sebuah lagi drama kegemaran yang sekarang ini sedang disiarkan di stesen TV tempatan, iaitu di NTV7, adalah KDrama 2010 – Cinderella Unni / Cinderella’s Sister. Drama lakonan aktres terkenal Moon Geun Yeong yang bakatnya dicungkil sejak remaja ini sememangnya adalah sebuah drama yang hebat. Selain daripada jalan cerita yang menarik serta mutu produksi yang baik, drama ini juga, sebagaimana Goong, memuatkan lagu-lagu tema yang cukup mencengkam perasaan jika diteliti maksud liriknya.

Oleh itu, meskipun genre drama ini adalah melodrama, namun ceritanya tidak membosankan langsung kerana ia berjaya membuatkan emosi penonton berbolak-balik. Malah, di dalam satu episod, banyak kali juga perasaan penonton ‘dipermainkan’, sekejap gembira, sekejap duka. 花火 Hana-bi percaya kebanyakan pembaca yang berkunjung ke blog ini kebelakangan ini juga mempunyai pendapat yang sama dengan 花火 Hana-bi.

Pengalaman manis berkaitan dengan Cinderella’s Sister yang tidak dapat dilupakan adalah pengalaman sewaktu mengikuti perkembangan drama ini menerusi laman forum Soompi. Sebelum ini, 花火 Hana-bi tidaklah begitu berminat untuk membaca setiap pos atau paparan teman-teman di Soompi tetapi oleh kerana penangan drama ini cukup kuat, maka 花火 Hana-bi sanggup berkunjung hampir setiap hari semata-mata untuk mendapatkan info terkini tentang drama ini.

Surat Ki Hoon Untuk Eun Jo

Malah, untuk mengetahui maksud di sebalik surat yang ditulis oleh Ki Hoon untuk Eun Jo, yang ditulis di dalam Bahasa Sepanyol, 花火 Hana-bi sanggup mencari perisian khas yang dapat membantu menterjemah tulisan tersebut ke Bahasa Inggeris. Mujurlah ada teman-teman di Soompi yang memahami Bahasa Sepanyol yang telah membantu menterjemahkan bukan sahaja surat tersebut tetapi juga menterjemah nama timangan yang diberikan oleh Ki Hoon kepada Eun Jo iaitu ‘MMM‘. 花火 Hana-bi tidak ingin memaparkan di sini maksud ‘MMM‘ itu kerana tidak ingin merosakkan mood  pembaca blog yang masih belum selesai menonton KDrama hebat ini.

Wajah-wajah dalam "Cinderella's Sister"

Sepertimana Goong, Cinderella’s Sister tidak bosan ditonton meskipun berulang-ulang kali. Sekiranya anda belum menonton, 花火 Hana-bi  sarankan agar anda menontonnya kerana ia adalah antara drama terbaik lakonan Moon Geun Yeong serta Cheon Jeong Myeong, aktor yang pada waktu itu baru sahaja selesai menjalani latihan ketenteraan selama 2 tahun. Malah, lakonan Seo Woo selaku adik Moon Geun Yeong di dalam drama ini juga harus diberikan kredit meskipun ada kalanya sedikit memenatkan. Kemunculan Taecyeon, rapper utama dari kumpulan 2PM juga telah menyerikan lagi drama ini.

Cuma, nasihat 花火 Hana-bi, anda perlu bersedia daripada segi emosi kerana Cinderella’s Sister sarat dengan adegan yang tidak disangka-sangka. Dan drama ini akan membuatkan anda terpaksa berdepan dengan pelbagai episod suka dan duka yang pastinya bakal mengganggu emosi anda. Namun, seronoknya kerana dapat menonton semula drama ini. Seronok juga kerana dapat mengenang kembali semua pengalaman manis sewaktu mengikuti perkembangan drama ini secara langsung, yang disiarkan di stesen TV Korea (KBS2) hanya dua kali dalam seminggu ini sewaktu ia mula-mula disiarkan.

Eun Jo dan Ki Hoon Di Sebalik Tabir

Bukan sahaja terpaksa menunggu episod seterusnya, tetapi juga terpaksa menunggu sarikatanya siap disediakan yang kadangkala memakan masa berminggu-minggu (pada waktu itu, subbing groups seperti DarkSmurfSub masih belum diwujudkan lagi). Penantian tersebut sememangnya menyeksakan namun membahagiakan dan memuaskan hati.

Jika anda belum menonton atau bercadang untuk menonton Cinderella’s Sister mahupun Goong sekali lagi di dalam versi asal Korea (bukan versi alih suara), anda sememangnya bertuah kerana tidak perlu menunggu lama untuk menonton. Bukan sahaja sarikatanya telah tersedia, malah videonya juga boleh ditonton di mana-mana termasuk di kaca TV anda sekarang ini. Selamat menonton!



| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Wednesday, 7 December 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s