Catatan 花火 Hana-bi: Masih Tercari-cari Pengganti Sang Puteri

Pasangan romantis Seung Yu ♥ Se Ryeong

Wah! Alangkah cepatnya masa berlalu. Sedar tidak sedar, sudah 7 minggu 花火 Hana-bi tidak memaparkan sebarang pos baru di blog ini. Bagi yang senantiasa mengikuti perkembangan blog ini, anda pastinya telah sedia maklum bahawa 花火 Hana-bi begitu sibuk kebelakangan ini hingga menyebabkan masa untuk berblog begitu terhad serta terbatas. Meskipun begitu, 花火 Hana-bi masih tetap cuba meluangkan masa untuk meneruskan kerja-kerja berkaitan KDrama 2011 Heartstrings / You’ve Fallen For Me yang tertunggak, di samping cuba untuk ‘catch up‘ dengan drama-drama terkini Korea. Mujur jugalah, kebelakangan ini tidak banyak KDrama yang betul-betul berjaya menawan hati 花火 Hana-bi, maka 花火 Hana-bi tidaklah berasa begitu gusar atau terkilan kerana tidak dapat mengikuti perkembangan dunia lakonan TV Korea sebagaimana biasa.

Namun, dalam sedikit kehambaran ini, masih terselit sebuah drama yang berjaya membuatkan 花火 Hana-bi masih ingin kekal mengikuti perkembangan KDrama saban minggu meskipun sibuk dengan jadual peribadi yang ketat. Drama yang dimaksudkan adalah KDrama 2011 The Princess’s Man yang telahpun melabuhkan tirai penayangannya 3 minggu yang lalu. Seandainya anda adalah seorang peminat drama-drama cinta dan anda masih belum menonton drama ini, 花火 Hana-bi sarankan agar anda segera menontonnya kerana anda pasti tidak akan kecewa dengan drama ini.

Kisah percintaan yang tragis yang berlatar-belakangkan pergolakan serta perebutan kuasa pada zaman Dinasti Joseon ini pastinya menyentuh hati sesiapa sahaja yang berjiwa romantis. Drama bersejarah yang dinobatkan oleh sesetengah netizen sebagai sebuah kisah percintaan ala Romeo dan Juliet versi Korea ini memaparkan tentang kegigihan seorang puteri raja mempertahankan cintanya meskipun mendapat tentangan dari segenap sudut. Malah, lelaki yang dicintainya itu juga pernah suatu ketika membencinya disebabkan oleh kesalahan besar yang dilakukan oleh ayahanda puteri tersebut. Namun, disebabkan rasa cinta yang utuh terhadap si jejaka, maka sang puteri berusaha sehabis dayanya untuk mempertahankan cinta itu.

Pengorbanan besar...

... Puteri Se Ryeong...

... demi....

... kekasih hatinya.

Kehebatan The Princess’s Man membuatkan ianya layak dinobatkan sebagai salah-sebuah drama Sageuk (drama bersejarah) yang terbaik yang pernah dihasilkan untuk tahun 2011 ini. Meskipun disiarkan serentak dengan beberapa drama Sageuk yang lain, The Princess’s Man begitu terserlah dengan lakonan dan jalan cerita yang mantap serta pembikinan drama yang cukup berkualiti. Malah, penggunaan muzik sebagai latar-belakang telah berjaya menghidupkan suasana dan meninggalkan kesan yang mendalam untuk setiap babak tragis atau romantis yang cuba dipaparkan.

Moon Chae Won: Di sebaliik tabir TPM

Moon Chae Won yang memegang watak sebagai Puteri Lee Se Ryeong adalah tunggak utama drama ini. Aktres yang lebih banyak menyerlah dalam drama dan filem berunsurkan sejarah ini, yang baru sahaja memenangi Anugerah Pelakon Wanita Baru Terbaik sewaktu Daejong Film Awards ke -48 pada 17 Oktober 2011 yang lalu menerusi KMovie 2011 – War of Arrows(sebuah filem bersejarah), sememangnya serasi benar dengan watak puteri raja yang diberikan. Meskipun judul drama ini, The Princess’s Man, merujuk kepada sang jejaka yang berjaya menawan hati sang puteri, namun watak Puteri Se Ryeong lebih menonjol.

Moon Chae Won: Di sebaliik tabir TPM

Mungkin kerana karisma Moon Chae Won yang begitu menyerlah dan mungkin juga kerana jalan ceritanya yang lebih banyak memfokuskan tentang kecekalan Puteri Se Ryeong dalam mempertahankan cinta sucinya, maka watak Kim Seung Yu iaitu jejaka yang berjaya mencuri hati sang puteri, yang dilakonkan oleh Park Shi Hoo, kurang menyerlah berbanding watak Puteri Se Ryeong.

Park Shi Hoo : Di sebaliik tabir TPM

Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Park Shi Hoo juga turut memberikan lakonan yang mantap dalam drama ini. Malah mutu lakonannya dirasakan jauh lebih baik daripada mutu lakonan yang pernah ditunjukkan sewaktu KDrama 2010 – Prosecutor Princess. Mungkin disebabkan oleh skrip drama yang lebih baik, maka Park Shi Hoo dilihat begitu serasi dengan watak Kim Seung Yu yang diberikan. Mungkin juga sepertimana Moon Chae Won, Park Shi Hoo nampaknya lebih menonjol menerusi drama-drama Sageuk berbanding drama-drama moden.

Selain daripada dua pelakon hebat ini,  The Princess’s Man turut dibintangi oleh barisan pelakon-pelakon yang meskipun tidak begitu popular tetapi begitu hebat dan mantap lakonan mereka. Antara pelakon-pelakon yang wajib dikreditkan adalah aktor Song Jong Ho yang memegang watak sebagai Shin Myeon dan aktor Kim Yeong Cheol yang memegang watak sebagai Putera Su Yang / Maharaja Sejo, iaitu dua antagonis utama dalam drama ini. Meskipun memegang watak jahat yang dibenci penonton, namun mereka masih berjaya membuatkan penonton bersimpati dengan mereka menerusi ekspresi wajah yang ditonjolkan.

Puteri Gyeong Hye

Hong Su Hyeon, yang memegang watak sebagai Puteri Gyeong Hye juga turut menyerlah menerusi drama ini. Pada mulanya 花火 Hana-bi berasa sedikit sangsi tentang keupayaan aktres ini dalam membawakan watak yang diberikan kerana 花火 Hana-bi tidak begitu menggemari lakonan beliau di dalam KDrama 2011 Lie To Me, yang tamat penyiarannya tidak sampai sebulan sebelum The Princess’s Man disiarkan. Malah, 花火 Hana-bi juga pada mulanya tidak menggemari lakonan pasangan beliau di dalam drama ini, iaitu Lee Min Woo yang memegang watak sebagai Jeong Jong, kerana dilihat kurang berkarisma. Walau bagaimanapun, kedua-dua pelakon ini berjaya membuktikan bahawa tanggapan 花火 Hana-bi terhadap kemampuan lakonan mereka jauh tersasar kerana kedua-duanya berjaya memberikan persembahan yang cukup meyakinkan apabila situasi memerlukan. Malah, mereka muncul sebagai salah-satu pasangan kegemaran 花火 Hana-bi di dalam drama ini kerana kisah percintaan mereka juga dirasakan cukup tragis dan menyayat hati.

Adik Yoo Bin bersama 'datuknya' Lee Soon Jae

Selain daripada barisan pelakon utama yang mantap, drama ini turut diserikan dengan barisan pelakon-pelakon pembantu yang tidak kurang hebatnya. Antaranya adalah pelakon veteran Lee Soon Jae yang memegang watak sebagai ayah Kim Seung Yu dan adik Kim Yoo Bin yang memegang watak sebagai Kim A Gang, iaitu anak saudara kepada Kim Seung Yu. Meskipun baru berusia 7 tahun, adik Yoo Bin yang pertama kali muncul di kaca TV menerusi KDrama 2010 – Oh! My Lady ini berjaya membawakan watak yang diberikan dengan baik sekali. Malah, adik Yoo Bin boleh dianggap sebagai penyeri drama ini kerana beliau berjaya menceriakan suasana  dengan lakonannya yang mencuit hati dan senyumannya yang menawan kalbu, berbekalkan sepasang lesung pipit di pipi atas. Namun, adik Yoo Bin tidak hanya mempertaruhkan kecomelannya tetapi turut mempertaruhkan bakat seni lakonananya dengan berjaya membuktikan bahawa beliau bukanlah calang-calang aktres cilik kerana beliau turut berjaya membuatkan hati penonton tersentuh menerusi beberapa adegan menyayat hati yang dilakonkan.

Adik No Tae Yeop sebagai Maharaja 'Danjong'

Selain daripada adik Yoo Bin, adik No Tae Yeop juga layak diletakkan sebaris dengan pelakon-pelakon pelapis berbakat yang lain. Remaja yang baru berusia 13 tahun ini berjaya membawa watak Danjong, maharaja muda yang digulingkan, dengan begitu berkesan. Meskipun watak tersebut adalah watak seorang Maharaja yang sangat lemah yang akhirnya digulingkan oleh bapa saudaranya sendiri, adik Tae Yeop berjaya membuatkan penonton menyelami hati maharaja muda ini dan bersimpati dengan nasib yang menimpa baginda.

Comelnya!

Sebenarnya, masih ramai lagi pelakon-pelakon yang berjaya menyerlahkan drama ini menerusi lakonan mereka yang mantap yang ingin 花火 Hana-bi senaraikan di sini, namun 花火 Hana-bi sengaja ingin membuka peluang kepada anda yang masih belum menonton untuk menilai sendiri kehebatan drama ini. Yang nyata, meskipun terdapat beberapa drama baru yang berpotensi untuk menyerlah, namun sehingga kini, 花火 Hana-bi masih lagi tercari-cari pengganti  bagi KDrama 2011 – The Princess’s Man ini.



| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Friday, 28 October 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. never watched princess man but like you i have a hard time finding a replacement for heartstrings for i love that drama so much. currently watching can you hear my heart. so far so good :))

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s