Catatan 花火 Hana-bi: Musim YAB Belum Berakhir

Park Shin Hye dan Jeong Yong Hwa dalam 'Heartstrings'

Apabila KDrama 2011 – Heartstrings melabuhkan tirai pada 18 Ogos yang lalu, mungkin ada yang menyangka bahawa ‘Musim YAB‘ telahpun berakhir seiring dengan berakhirnya drama yang dibintangi oleh dua pelakon utama KDrama 2009 – You’re Beautiful (YAB) ini. Bagi peminat-peminat KDrama yang turut meminati JDorama ataupun TWDrama, anda pastinya maklum bahawa pernyataan adalah tidak benar sama sekali. Meskipun Park Shin Hye dan Jeong Yong Hwa tidak lagi sibuk dengan penggambaran Heartstrings, ini tidak bermakna ‘Musim YAB‘ telah berakhir dengan begitu sahaja. Kehangatan musim ini masih jelas terasa di mana-mana meskipun musim panas di Korea telahpun berlalu, kerana bintang-bintang YAB yang lain masih lagi rancak menghangatkan dunia lakonan menerusi drama-drama yang dibintangi oleh mereka.

Lee Hong Ki bersama pelakon wanita utama 'Muscle Girl', Ichikawa Yui

Musim bunga, musim panas serta musim luruh 2011 ini boleh dianggap sebagai ‘Musim YAB‘ kerana sepanjang tiga musim ini, peminat-peminat YAB dihidangkan bukan hanya satu atau dua, tetapi lebih daripada lima buah drama yang melibatkan bintang-bintang YAB. Bermula pada 19 April yang lalu, Muscle Girl, JDorama lakonan Lee Hong Ki (Jeremy) mula disiarkan di Tokyo Broadcasting System (TBS), sebuah stesen TV Jepun, pada setiap hari Selasa. Drama ini diulang-tayang di Mainichi Broadcasting System (MBS), sebuah lagi stesen TV Jepun, pada setiap Sabtu berikutnya. Selain berlakon, Lee Hong Ki, menerusi kumpulan K-Popnya, F.T.Island, turut menyumbangkan suara menerusi lagu-lagu tema yang diselitkan di dalam drama Jepun tersebut.

PSH + George Hu dalam 'Hayate the Combat Butler'

Sewaktu JDorama 2011 – Muscle Girl hampir melabuhkan tirai, drama lakonan Park Shin Hye (Go Mi Nam / Go Mi Nyeo) pula muncul menerusi sebuah stesen TV Taiwan. Drama berjudul Hayate the Combat Butler ini mula disiarkan pada 19 Jun 2011 di Formosa TV (FTV) pada setiap hari Ahad. Dan sewaktu TWDrama ini sedang rancak ke udara, bermula pada 29 Jun 2011, peminat-peminat YAB disajikan pula dengan KDrama 2011 – Heartstrings / You’ve Fallen for Me (MBC), sebuah drama yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminat YAB, terutamanya penyokong-penyokong (shippers) bagi ‘pasangan’ Park Shin Hye (Go Mi Nam / Go Mi Nyeo) dan Jeong Yong Hwa (Kang Shin Woo).

You're Beautiful lwn Ikemen Desu Ne

Belumpun sempat Heartstrings berakhir, peminat-peminat YAB dihidangkan pula dengan drama YAB versi Jepun. Drama berjudul Ikemen Desu Ne ini telah mula menemui peminat menerusi TBS pada setiap hari Jumaat, sejak 25 Julai yang lalu. Meskipun JDorama ini teruk dikritik oleh peminat-peminat setia YAB yang sering membandingkan drama ini dengan versi asalnya, 花火 Hana-bi berpendapat yang Ikemen Desu Ne mempunyai kekuatan serta keunikannya yang tersendiri, dan mampu menarik perhatian penonton terutamanya peminat-peminat setia JDorama.

Penampilan istimewa Jang Geun Seok dalam Ikemen Desu Ne

Pada awal bulan Ogos yang lalu, sewaktu peminat-peminat Heartstrings bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dua pelakon kesayangan mereka, UEE (Yoo He Yi) muncul pula dengan drama terbarunya. Bukan hanya satu, tetapi dua buah drama, iaitu Ojakgyo Brothers (KBS2) yang memulakan penyiaran pada 6 Ogos 2011, dan Birdie Buddy (tvN) yang memulakan penyiaran pada 8 Ogos 2011!

UEE dalam 'Birdie Buddy'

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana mungkin UEE mampu memegang watak teraju utama wanita di dalam dua buah drama dalam masa yang serentak? Birdie Buddy yang disiarkan menerusi tvN, sebuah stesen TV kabel Korea Selatan, sebenarnya telahpun tamat penggambaran sejak November 2010 lagi. KDrama yang pada asalnya dijadualkan untuk disiarkan di MBC pada tahun tersebut, telah ditunda penyiarannya selama beberapa kali sebelum kemudiannya dijual kepada  tvN.

Seandainya dua drama terbaru daripada UEE ini, yang dijangka tamat penyiarannya pada penghujung tahun ini, tidak berjaya menarik perhatian anda, nantikan pula sebuah lagi drama terbaru daripada Lee Hong Ki (Jeremy) yang bakal menemui penonton pada hujung minggu ini. Noriko Goes to Seoul (Noriko, Seoul Gada / 노리코, 서울에 가다) adalah KDrama terbaru lakonan Lee Hong Ki hasil kerjasama dengan aktres berpengalaman dari Jepun, Takashima Reiko.

Jang Geun Seok + Kim Ha Neul: Digandingkan dalam 'You're My Pet'

Jika anda merasakan yang KDrama 2011 – Noriko Goes to Seoul juga tidak mampu untuk mengekalkan kehangatan Musim YAB ini, maka nantikanlah kemunculan hero utama YAB, iaitu Jang Geun Seok (Hwang Tae Kyeong) menerusi You’re My Pet dan Love Rides the Rain (Sarangbi / 사랑비).  You’re My Pet adalah sebuah filem yang diadaptasi dari manga Jepun, yang juga pernah diadaptasi ke bentuk drama (JDorama 2003 – Kimi wa Petto) dan  dijangka bakal menemui penonton seawal-awalnya pada bulan November tahun ini. Love Rides the Rain pula adalah sebuah drama yang bakal menemui peminat pada penggal pertama tahun 2012!

Menyebut tentang Jang Geun Seok (JGS), pasti ada yang tertanya-tanya mengapa pada tahun 2011 ini, JGS seakan-akan menyepikan diri daripada dunia lakonan. Meskipun tidak muncul di kaca TV, aktor terkenal ini sebenarnya sering sibuk dengan pelbagai aktiviti publisiti, menjelajah ke beberapa negara termasuk Jepun, Taiwan serta Singapura. Di celah-celah kesibukan beliau mempromosikan albumnya sejak melangkah masuk secara rasmi ke dalam dunia seni suara dengan mengeluarkan album pertamanya pada bulan April 2011 yang lalu (berjudul Let Me Cry), JGS juga sibuk menjalani penggambaran untuk pelbagai iklan komersial. Malah, beliau dinobatkan sebagai bintang Hallyu yang mendapat bayaran royalti paling tinggi di Jepun, mengalahkan aktor Bae Yong Joon (Winter Sonata) dan Lee Byeong Heon (IRIS). Oleh kerana jadual kerja yang terlalu sibuk, JGS pernah mengakui yang beliau pernah mengalami depresi disebabkan tertekan kerana tidak mempunyai masa untuk diri sendiri.

생일축하합니다, 장근석!

Walau bagaimanapun, demi peminat, Jang Geun Seok masih sempat meluangkan masa untuk berlakon di dalam KMovie 2011 – You’re My Pet. Malah, meskipun terpaksa meraikan harijadi ke-24 (ke-25 tahun usia Korea) bersama-sama kru You’re My Pet, aktor yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk filem tersebut pada penghujung Ogos yang lalu ini, kini sedang sibuk dengan penggambaran untuk KDrama 2012 – Love Rides the Rain pula. Sama-samalah kita nantikan kemunculan JGS dalam filem serta drama terbarunya ini. Dan, sama-samalah kita nantikan juga kemunculan bintang-bintang YAB yang lain di dalam filem serta drama mereka yang seterusnya…



花火 Hana-bi

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Friday, 9 September 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Star and tagged , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Comments.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s