Ulasan Drama: KDrama 2009 – You’re Beautiful (Bahagian 2)

Ulasan Drama: KDrama 2009 – You’re Beautiful (Bahagian 2)
Versi Bahasa Inggeris
(Click here for the English version of this drama review)


Analisa Watak

Park Shin Hye (박신혜)
sebagai
‘Go Mi Nam’ (고미남)  (‘Lelaki’) / Go Mi Nyeo (고미녀) (Perempuan)

Watak: Go Mi Nyeo adalah seorang gadis periang yang menjalani hidup dengan gembira meskipun dia membesar di rumah anak yatim. Ayahnya meninggal sewaktu dia masih kecil dan satu-satunya ahli keluarga yang tinggal adalah abang kembarnya, Go Mi Nam. Impian hidupnya selama ini adalah untuk menjadi seorang rahib kerana dia berasa terhutang budi kepada Mother Superior (Ketua Biarawati) yang telah mendidik serta membesarkannya dengan penuh perhatian dan kasih-sayang. Abang kembarnya pula, memasang cita-cita untuk menjadi bintang ternama, sebagai salah-satu langkah mudah untuk mencari ibu kandung yang tidak pernah mereka kenali dan ketahui selama ini. Sebagai seorang gadis yang membesar di kalangan masyarakat yang mementingkan kejujuran dan hidup dalam serba kesederhanaan, Go Mi Nyeo mendapati dirinya berada dalam situasi yang begitu canggung apabila dia terpaksa menyamar dan berlagak sebagai abang kembarnya. Selain terpaksa menukar imej luaran dengan memotong pendek rambutnya yang panjang serta terpaksa mengenakan pakaian lelaki, dia juga terpaksa mula mempelajari bagaimana untuk hidup dalam dunia realiti di mana penipuan dan kebencian merupakan lumrah dalam masyarakat.

Pelakon: Ini bukanlah kali pertama Park Shin Hye (PSH) memegang watak utama di dalam sesebuah produksi namun wataknya kali ini dirasakan begitu sesuai dengan rupa paras dan personaliti beliau. Pada era kini di mana ‘flower boys’ (atau lelaki berpenampilan cantik seperti wanita) begitu diterima ramai, maka watak wanita yang menyamar sebagai lelaki yang dilakonkan oleh PSH ternyata nampak meyakinkan. Selain daripada itu, beliau juga boleh menyanyi dengan baik. Meskipun bergelar aktres sepenuh masa (sepanjang pengetahuan 花火 Hana-bi, PSH tidak pernah menyanyi secara profesional), PSH berjaya melakonkan watak seorang penyanyi ‘flower boy’ yang kurang berpengalaman dengan baik. Meskipun tidak mengenakan banyak solekan untuk wataknya sebagai ‘Go Mi Nam’, beliau masih berjaya mengekalkan imej kewanitaannya menerusi parasnya yang comel dan keanak-anakan itu.

Jang Geun Seok (장근석)
sebagai
Hwang Tae Kyeong (
황태경)

Watak: Hwang Tae Kyeong pada luarannya mungkin kelihatan keras dan tidak berperasaan, tetapi pada dalamannya, dia adalah ibarat seorang bayi manja yang sentiasa membutuhkan kasih-sayang serta perhatian. Diabaikan sejak kecil oleh ibunya tanpa sebarang alasan munasabah, Hwang Tae Kyeong cuba untuk melindungi dirinya daripada disakiti dengan membina benteng pertahanannya sendiri. Oleh itu, dia mungkin kelihatan kasar dan dingin bagi mereka-mereka yang tidak begitu mengenalinya, tetapi sekali hatinya disentuh oleh insan tertentu, dia mampu bertukar menjadi seorang insan yang menawan dan penyayang dengan caranya yang tersendiri. Dan, caranya meluahkan rasa cintanya juga mungkin kelihatan pelik dan aneh bagi yang tidak mengenali, yang mana perasaan sayang itu mungkin boleh disalahtafsirkan sebagai satu kebencian.

Pelakon: Sebagai seorang yang bergelar bintang besar pada usia yang masih muda, ianya bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Jang Geun Seok (JGS) muncul dan kelihatan begitu serasi dengan watak yang diberikan. Ketika beliau dikehendaki melakonkan adegan yang menjerih perasaan, ternyata JGS berjaya melakonkan dengan begitu cemerlang. Dan ketika beliau dikehendaki muncul dengan imej seorang penyanyi tersohor, beliau turut berjaya melakonkannya dengan cemerlang juga. Meskipun lebih dikenali ramai dengan bakat besarnya dalam bidang lakonan, JGS sebenarnya turut semakin dikenali kerana memiliki suara yang lunak, sebagaimana yang pernah ditonjolkan di dalam filem serta drama terdahulu. Memandangkan ini adalah bukan kali pertama bakat nyanyian beliau dicungkil di dalam sesebuah produksi, dan memandangkan beliau sendiri gemar menyanyi, maka watak yang dipegang oleh JGS di dalam drama ini kelihatan begitu realistik seolah-olah dia benar-benar adalah seorang penyanyi profesional.  Kemampuan beliau untuk menyelami watak yang diberikan sememangnya adalah salah-satu kekuatan utama drama ini. Dan, 花火 Hana-bi berasa gembira sekali kerana dapat menyaksikan JGS tampil dalam watak yang lebih sesuai dengan usia sebenarnya memandangkan JGS lebih banyak memegang watak yang lebih matang dalam lakonannya sebelum ini.

Jeong Yong Hwa (정용화)
sebagai
Kang Shin Woo (
강신우)

Watak: Kang Shin Woo adalah watak tipikal yang biasa ada di dalam sesebuah drama apabila watak utamanya adalah seorang lelaki yang dingin dan tidak bertimbang rasa. Watak ini adalah watak yang berlawanan terus dengan watak Hwang Tae Kyeong. Kang Shin Woo adalah seorang lelaki yang sangat baik dan prihatin, dan apabila dia jatuh cinta kepada seseorang, dia akan melayannya seumpama sebutir permata yang amat berharga. Namun, kebaikannya itu adalah juga sebahagian daripada kelemahannya kerana kecenderungannya untuk menonjolkan rasa kasih-sayangnya itu boleh membuatkan perlakuannya dilihat sebagai menjengkelkan dan merimaskan. Namun, dia adalah lelaki idaman setiap gadis.

Pelakon: Jeong Yong Hwa (JYH) adalah seorang penyanyi profesional, maka ianya mungkin tidak begitu sukar bagi JYH untuk memaparkan imej seorang penghibur memandangkan beliau sememangnya telah lama bergelar penyanyi dari sebuah kumpulan K-Pop terkenal, C.N.Blue. Walau bagaimanapun, memandangkan ini adalah percubaan pertama beliau selaku pelakon, malah beliau dikehendaki pula muncul sebagai seorang pemain gitar (yang tidak pernah dilakukannya sewaktu bersama C.N.Blue), maka pengalaman ini pastinya adalah sesuatu yang mencabar bagi beliau. Adakalanya JYH kelihatan kurang selesa dengan watak yang diberikan, namun ianya tidak begitu menjejaskan keseronokan penonton dalam menikmati drama ini. Secara keseluruhannya, beliau telah melakonkan watak yang diberikan dengan agak baik, sesuai dengan kedudukannya selaku pelakon baru.

Lee Hong Ki (이홍기)
sebagai
Jeremy (
제르미)

Watak: Jeremy adalah watak yang sangat disenangi ramai. Sebagai anggota paling muda dalam kumpulan tersebut, dia memiliki perwatakan yang nakal serta suka berjenaka. Dia juga senang didekati, oleh itu dia mudah untuk bergaul mesra dengan sesiapa sahaja. Jeremy adalah ibarat nadi drama ini. Karakternya membuatkan drama ini kekal ceria dan bertenaga di celah-celah kekusutan yang dihadapi oleh watak-watak lain dalam drama ini.

Pelakon: Lee Hong Ki (LHK) boleh dikategorikan sebagai sedikit lebih berpengalaman jika dibandingkan dengan Jeong Yong Hwa (JYH) dari aspek pengalaman berlakon. Datang dari latar belakang yang serupa, LHK dilihat lebih ‘bertuah’ kerana watak yang diberikan kepadanya adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan watak yang diberikan kepada JYH. Walaupun begitu, meskipun LHK mungkin kelihatan lebih seronok di lokasi penggambaran kerana melakonkan watak yang ceria, namun terdapat beberapa adegan yang dilakonkan oleh beliau yang berjaya membuatkan penonton terpegun dengan kemampuan lakonannya. Sewaktu wataknya dikehendaki bertukar kepada watak yang serius serta tegas, LHK berjaya ‘menukarkan’ dirinya, ‘masuk’ ke dalam ‘mood‘ tersebut, dan berjaya membuang terus imej keanak-anakan watak itu hampir dalam sekelip mata. Ternyata, LHK adalah seorang penyanyi yang bakat lakonannya tidak harus dipandang dengan hanya sebelah mata.

UEE (유이)
sebagai
Yoo He Yi (유헤이)

Watak: Yoo He Yi adalah seorang penyanyi popular yang begitu disayangi oleh sekelian rakyat dan diberikan jolokan sebagai bidadari negara disebabkan oleh kemurahan hati serta kebaikan budi pekertinya. Namun, kelebihannya itu adalah palsu semata-mata. Meskipun dia nampak baik dan cantik pada pandangan masyarakat luar, dia sebenarnya adalah seorang yang biadab serta tidak bertimbang rasa. Dia juga adalah dalang di sebalik kesusahan yang menimpa ‘Go Mi Nam’ serta Hwang Tae Kyeong.

Pelakon: Selaku penyanyi yang baru ingin berjinak-jinak dengan dunia lakonan, UEE menerima banyak kutukan disebabkan oleh watak yang dipegangnya ini. Malang bagi artis yang bakat lakonannya tidak begitu menyerlah ini kerana beliau dikritik hebat oleh ‘anti-fans’ (peminat-peminat drama yang anti dengan beliau) yang mana penilaian mereka kebanyakannya telah dikelabui oleh rasa benci mereka terhadap watak jahat yang dilakonkan oleh UEE di dalam drama ini. Meskipun tidak dinafikan bahawa penyanyi muda ini (dari kumpulan penyanyi wanita, After School) perlu bekerja keras untuk menggilap bakat beliau dalam bidang lakonan, namun perlu diakui bahawa masih terdapat beberapa adegan penting yang UEE berjaya lakonkan dengan baik.

Kim Seong Ryeong (김성령)
sebagai
Mo Hwa Ran (
모화란) – Ibu Tae Kyeong

Watak: Mo Hwa Ran barangkali adalah seorang ibu yang paling mementingkan diri sendiri yang pernah ada di muka bumi ini. Hanya kerana ingin memenuhi kemahuan diri, dia sanggup mengorbankan serta mempergunakan sesiapa sahaja termasuk anaknya sendiri. Malah, dia adalah seorang wanita yang penuh dengan tipu helah serta suka bermuka-muka, dan dia tahu bagaimana untuk memanipulasi kelemahan orang lain demi manfaat diri sendiri. Walaupun begitu, dia menganggap dirinya sebagai manusia paling tidak bernasib baik yang memerlukan simpati dan sokongan daripada orang lain, terutama daripada si anak yang malang itu.

Pelakon: Watak Kim Seong Ryeong ini adalah salah-satu watak yang paling dibenci dalam drama ini, selain daripada watak UEE. Wataknya memberikan justifikasi kepada personaliti Hwang Tae Kyeong yang eksentrik itu. Walaupun Kim Seong Ryeong tidak dikreditkan sebagai salah-seorang pelakon utama drama ini dan walaupun beliau tidak menerima sebarang anugerah menerusi watak ini, namun kemampuan beliau untuk melakonkan watak Mo Hwa Ran harus dipuji kerana beliau benar-benar berjaya membuatkan penonton meluat serta benci kepada watak tersebut.


———————————————————————————————————————

Pos Berkaitan:

———————————————————————————————————————

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Saturday, 18 June 2011, in K-Drama, Ulasan Drama and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s