Catatan 花火 Hana-bi: Dahulu Mereka Berganding, Sekarang Mereka Bersaing
Dahulu lain, sekarang lain. Jika dahulu mereka serasi bergandingan, sama-sama berusaha untuk menawan hati penonton, kini mereka bersaingan pula untuk merebut tahta tertinggi di hati peminat-peminat drama. Mempertaruhkan bakat seni serta kepopularitian masing-masing, aktor dan aktres yang suatu masa dahulu pernah serasi digandingkan sebagai pasangan di dalam drama, kini terpaksa pula bersaing sesama sendiri untuk meraih minat dan tumpuan penonton bagi drama masing-masing. Jika sejak beberapa minggu yang lepas, kita menyaksikan pasangan kekasih di dalam KDrama 2002 – My Love Patzzi iaitu Kim Jae Won dan Jang Na Ra muncul di dalam dua drama berasingan, pada minggu yang akan datang ini, kita bakal pula menyaksikan pasangan kekasih di dalam KDrama 2010 – Sungkyunkwan Scandal iaitu Micky Yoochun dan Park Min Yeong turut ‘bertarung’ sesama sendiri.
Bagi aktor Kim Jae Won dan penyanyi yang juga bergelar aktres Jang Na Ra, pertarungan kali ini bukan sekadar untuk menguji sejauh mana bakat mereka di dalam dunia lakonan, tetapi turut menguji sejauh mana peminat-peminat KDrama masih mengingati dan menyanjungi mereka. Kedua-dua pelakon ini sudah lama tidak terlibat dalam dunia lakonan TV tempatan. Mereka berdua yang suatu masa dahulu begitu popular kerana memiliki senyuman yang comel (‘cute‘) dan wajah yang keanak-anakan ini (‘baby face‘), dipertemukan sekali lagi di atas pentas yang sama, tetapi kali ini di bawah produksi yang berlainan. Kim Jae Won yang telah hampir lima tahun tidak muncul di dalam drama, kini kembali dengan KDrama 2011 – Can You Hear My Heart? yang telahpun ke udara sejak 2 April yang lalu.
Bintang Hallyu Jang Na Ra pula, yang karier seninya sejak beberapa tahun kebelakangan ini lebih tertumpu di negara jiran iaitu China, kini kembali ke negara kelahiran menerusi KDrama 2011 – Baby-faced Beauty. Meskipun tidak bersaing secara langsung kerana drama mereka disiarkan pada slot masa dan hari yang berbeza, namun kedua-dua pelakon yang sudah mencecah usia 30 tahun tetapi masih memiliki wajah comel keanak-anakan ini tetap boleh dianggap sebagai bertarung sesama sendiri kerana kedua-dua drama tersebut merupakan drama ‘comeback‘ bagi mereka.
Bagi ‘pasangan’ Micky Yoochun dan Park Min Yeong, KDrama 2011 – Miss Ripley dan KDrama 2011 – City Hunter masing-masing adalah drama pertama mereka sejak digandingkan bersama menerusi KDrama 2010 – Sungkyunkwan Scandal. Jika pada tahun lepas mereka muncul dalam drama berunsurkan komedi percintaan, kali ini kedua-dua mereka memilih untuk muncul di dalam drama yang lebih serius. Pasangan penyanyi bergelar aktor dan aktres muda yang bakat mereka telah diiktiraf antaranya menerusi ‘The 2010 KBS Drama Awards‘ ini, mungkin ingin mengasah bakat dan menguji kemampuan masing-masing dengan memilih watak yang lebih mencabar.
Sepertimana drama-drama terbaru lakonan ‘pasangan’ Kim Jae Won + Jang Na Ra, drama-drama lakonan Micky Yoochun + Park Min Yeong tidak akan bersaing secara langsung kerana disiarkan pada slot dan hari yang berbeza. Namun, kerana kedua-dua drama yang masing-masing bakal memulakan penyiaran pada malam ini (Rabu, 25 Mei) dan minggu depan (Isnin, 30 Mei) adalah drama pertama mereka sejak Sungkyunkwan Scandal, maka kemunculan Micky Yoochun serta Park Min Yeong dalam drama-drama terbaru ini bakal menyaksikan pertarungan kepopularitian yang cukup sengit. Tambahan pula, mereka bakal muncul atau digandingkan bersama dengan aktor dan aktres terkenal seperti Lee Min Ho (Boys Over Flowers, Personal Preference), Lee Da Hae (My Girl, East of Eden, Chuno) dan Kim Seung Woo (Hotelier, IRIS, Athena).
Lebih-lebih lagi Miss Ripley ada sebuah drama yang idea asalnya diperolehi daripada sebuah kisah benar yang pernah menimbulkan satu kontroversi besar di Korea Selatan. Manakala, City Hunter pula adalah produksi pertama yang mengadaptasi ‘manga’ atau komik Jepun yang cukup popular serata dunia dengan judul yang sama ini ke bentuk drama aksi langsung (‘live action‘). Meskipun ‘manga’ hasil nukilan Hojo Tsukasa tersebut telah banyak kali diadaptasi ke dalam bentuk filem animasi dan filem aksi langsung, namun ini adalah kali pertama ianya dihasilkan dalam bentuk drama. Malah, sejak syarikat produksi dari Korea diberikan penghormatan untuk mengadaptasi ‘manga’ ini dalam bentuk drama aksi langsung, ia telah mendapat perhatian dan liputan meluas daripada pelbagai pihak. Tambahan pula, drama ini bakal dibintangi oleh aktor Lee Min Ho yang cukup popular sejak membintangi KDrama 2009 – Boys Over Flowers. Dan, Goo Ha Ra, penyanyi dari kumpulan K-Pop yang sememangnya popular di Jepun iaitu KARA, akan turut muncul dalam drama Korea pertamanya ini.
Tidak sabar rasanya menunggu kemunculan kedua-dua drama yang sudah cukup popular meskipun belum disiarkan. Sememangnya bulan Mei ini padat dengan drama-drama yang menarik.
‘Stars overloaded!‘
| 花火 Hana-bi |
Posted on Wednesday, 25 May 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Drama, K-Pop, K-Star and tagged Baby-faced Beauty, Can You Hear My Heart?, City Hunter, Drama Adaptasi, Hallyu, Hojo Tsukasa, Jang Na Ra, KARA Goo Ha Ra, KDrama, Kim Jae Won, Kim Seung Woo, Lee Da Hae, Lee Min Ho, Micky Yoochun, Miss Ripley, Park Min Yeong, Park Yoo Cheon. Bookmark the permalink. Leave a comment.
Leave a comment
Comments 0