Catatan 花火 Hana-bi: Drama Wajib Tonton Minggu Ini

Loket 'air mata' milik Ji Hyeon dalam KDrama 2011 - 49 Days

Minggu ini adalah minggu yang menyeronokkan bagi 花火 Hana-bi selaku penggemar drama Korea. Ini kerana, pada minggu ini, 花火 Hana-bi berpeluang untuk menonton drama-drama menarik yang sedang bersiaran di kaca TV Korea Selatan. Baik yang baru bermula, mahupun yang sedang rancak ke udara, KDrama 2011 menjanjikan kepuasan kepada penonton dengan menyajikan drama-drama yang menyentuh hati. Antara drama-drama yang benar-benar berjaya menambat hati 花火 Hana-bi pada minggu ini adalah KDrama 49 Days, Can You Hear My Heart? dan dua drama baru iaitu The Greatest Love, dan Lie To Me.

KDrama 2011 - 49 Days

Jika anda masih belum menonton KDrama 2011 – 49 Days yang bakal melabuhkan tirai pada minggu hadapan, 花火 Hana-bi cadangkan agar anda segera menonton drama hebat ini. Jika anda adalah pengikut setia drama ini dan masih belum menonton episod ke-18nya yang baru sahaja ke udara dua hari yang lalu (14/05/11), maka segeralah menontonnya kerana 花火 Hana-bi yakin episod kali ini akan berjaya membuatkan air mata anda mengalir ataupun sekurang-kurangnya membuatkan hati anda tersentuh. 花火 Hana-bi tidak ingin mengulas lebih lanjut kerana tidak ingin merosakkan (spoil) keseronokan anda sewaktu menonton, tetapi 花火 Hana-bi ingin sekali lagi menyarankan kepada anda agar segera menontonnya bagi merasakan sendiri pengalaman yang baru sahaja 花火 Hana-bi lalui sewaktu menonton KDrama yang dikatakan mirip KDrama 2010 – Secret Garden ini.

KDrama 2011 - Can You Hear My Heart

Selain 49 Days, Can You Hear My Heart? adalah salah sebuah drama wajib tonton untuk minggu ini. Bukan sahaja kerana drama ini merupakan drama ‘comeback‘ bagi aktor Kim Jae Won selepas berehat daripada dunia lakonan selama hampir 5 tahun, tetapi juga kerana drama ini merupakan sebuah drama yang membuktikan bahawa Korea mempunyai ramai pelakon berbakat daripada setiap lapisan umur. Lakonan yang sangat berkesan yang ditunjukkan oleh aktres veteran Yoon Yeo Jeong  yang memegang watak sebagai nenek Bong Ma Roo di dalam episod ke-11 dan ke-12 pada hujung minggu lepas pasti akan membuatkan hati anda tersentuh. Sebagaimana hati 花火 Hana-bi tersentuh sewaktu menyaksikan lakonan hebat adik Kim Sae Ron (yang popular menerusi KMovie 2010 – Ajusshi / The Man From Nowhere) dan adik Kang Chan Hee (yang memegang watak Dong Joo sewaktu kecil) menerusi lima episod terawalnya, episod ke-11 dan ke-12 menyaksikan bintang-bintang dewasa pula bersinar. Meskipun jalan ceritanya agak sedikit ‘memenatkan’  kebelakangan ini, namun Can You Hear My Heart? menerusi episod-episod terkininya ini, berjaya membuatkan hati 花火 Hana-bi semakin terpaut. Meskipun bahangnya tidak sehebat 49 Days, namun seperti hujung-hujung minggu sebelumnya, 花火 Hana-bi berasa tidak sabar untuk menanti kemunculan episod-episod terbaru drama ini yang bakal bersiaran pada malam ini dan esok (drama ini bersiaran pada setiap hari Sabtu dan Ahad). Tambahan pula, episod-episod akan datang ini bakal memulakan lembaran baru dalam hubungan Dong Joo dan Woo Ri selepas Woo Ri menyedari tentang ‘ketidaksempurnaan’ yang ada pada Dong Joo. Malah, episod-episod akan datang ini bakal menyaksikan sejauh mana Joon Ha dapat terus menyembunyikan identiti sebenarnya sebagai Ma Roo, yang telah sedikit terbongkar di dalam episod ke-12.

KDrama 2011 - The Greatest Love

Dua lagi drama wajib tonton untuk minggu ini adalah KDrama 2011 – The Greatest Love dan KDrama 2011 – Lie To Me. The Greatest Love adalah drama terkini yang ditulis oleh Hong Sisters, pasangan adik-beradik yang drama hasil tulisan mereka sentiasa mendapat tempat di hati peminat-peminat drama Korea. Antara drama-drama popular yang pernah ditulis oleh penulis skrip yang pakar dalam ‘genre’ komedi percintaan ini adalah KDrama 2009 – You’re Beautiful, KDrama 2006 – Couple of Fantasy, KDrama 2005 – My Girl, dan pada tahun lepas, KDrama 2010 – My Girlfriend is a Gumiho. Seperti drama-drama hasil tulisan Hong Sisters yang lain, The Greatest Love menyajikan jenaka-jenaka yang mampu mencuit hati penonton. Malah, meskipun tidak mempertaruhkan pelakon-pelakon terhangat masa kini, 花火 Hana-bi percaya drama ini akan terus dapat menarik perhatian penonton menerusi adegan-adegannya yang melucukan.

KDrama 2011 - Lie To Me

Bagi peminat-peminat Yoon Eun Hye (YEH), jangan lepaskan peluang untuk menonton drama terkini daripada aktres berbakat yang namanya melonjak menerusi KDrama 2006 – Goong / Princess Hours dan KDrama 2007 – Coffee Prince ini. Kali ini, YEH sekali lagi muncul dengan drama ber’genre’ komedi percintaan yang berjudul Lie To Me. Drama ini baru sahaja memulakan penyiaran pada minggu ini, tetapi apabila melihatkan betapa cepatnya sarikata (‘subtitle‘) drama ini selesai diterjemahkan ke Bahasa Inggeris di Darksmurf, 花火 Hana-bi bukan sahaja yakin yang kemunculan drama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai peminat YEH tetapi drama ini juga bakal diminati oleh ramai penggemar drama.

KMovie 2011 - My Black Mini Dress

Tambahan pula, YEH, aktres popular yang suatu masa dahulu pernah bergelar penyanyi ini, sudah hampir 2 tahun tidak memegang watak utama di dalam sebarang drama. Meskipun pernah membuat penampilan istimewa  (‘cameo‘) pada tahun lepas menerusi KDrama 2010 – Personal Preference, namun kemunculan beliau yang hanya sekejap itu tidak cukup untuk memuaskan hati peminat-peminat YEH yang sentiasa menantikan kemunculan beliau. Peminat-peminat YEH walau bagaimanapun pastinya bergembira kerana pada tahun ini, YEH bukan sahaja muncul di dalam drama tetapi turut muncul di layar perak pada bulan Mac yang lalu menerusi KMovie 2011 – My Black Mini Dress. Meskipun My Black Mini Dress tidak begitu menonjol kerana jalan ceritanya yang dikatakan agak lemah, namun 花火 Hana-bi percaya kemunculan YEH di dalam filem tersebut dan juga di dalam drama terbarunya ini sememangnya bakal merancakkan lagi dunia lakonan Korea kerana YEH memiliki daya tarikan yang kuat untuk menarik ramai penonton. Oleh itu, drama Lie To Me ini memang layak diletakkan di dalam senarai drama ‘wajib tonton’ untuk minggu ini kerana ia adalah antara drama yang terhangat di pasaran.

Nota: Drama-drama lain yang sedang disiarkan yang turut wajar diberikan perhatian adalah Baby-faced Beauty lakonan Jang Na Ra, Manny (atau ‘Male Nanny‘) yang menampilkan adik Jeong Da Bin, serta drama yang baru menggantikan tempat KDrama 2011 – Thorn Birds, iaitu Romance Town lakonan Seong Yoo Ri.

Selamat menonton!


| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Saturday, 14 May 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, K-Drama and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s