Catatan 花火 Hana-bi: Drama Bukan Sekadar Hiburan

KDrama 2002 - Winter Sonata: Drama Pencetus Hallyu

Sejak Hallyu () atau ‘Korean Wave‘ / Gelombang Korea melanda dunia sekitar 10 tahun yang lalu, arus yang dibawa oleh negara yang suatu masa dahulu agak asing di mata masyarakat dunia ini berjaya melangkaui batas bahasa dan budaya menerusi drama-dramanya yang memukau hati penonton. Selaras dengan perkembangan budaya KPop yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati peminat hiburan di serata dunia, KDrama hari ini dilihat semakin rancak apabila drama-dramanya kini memuatkan bukan sekadar satu atau dua lagu yang ‘catchy‘ (menarik) sebagai runut atau ‘soundtrack’ rasmi drama. Apakah yang membuatkan ramai penonton begitu obses dengan drama-drama dari Korea sehingga hampir-hampir mengetepikan drama dari negara lain termasuk dari negara kelahiran sendiri? Ubat guna-guna apakah yang dipakai oleh pihak produksi KDrama sehingga berjaya membuatkan hati penonton tertawan dan tertambat? Seandainya anda adalah seorang peminat setia KDrama, anda pasti tahu akan jawapannya pada persoalan-persoalan ini.

Keupayaan untuk memukau hati penonton adalah kekuatan utama yang sering ada pada KDrama. Faktor inilah yang berjaya membuatkan KDrama berupaya menembusi benteng antarabangsa. Seperti sebuah hidangan yang lazat, KDrama bukan sahaja nampak menyelerakan malah ramuan yang digunakan juga cukup menepati selera masyarakat dunia. Namun bagi 花火 Hana-bi, KDrama yang bermutu bukanlah sekadar ibarat hidangan yang memukau pandangan mata, memuaskan selera dan mengenyangkan perut, tetapi juga adalah ibarat sebuah hidangan yang berkhasiat untuk tubuh dan minda. Drama yang baik bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi harus memuatkan pengajaran dan memberikan inspirasi. Inilah yang berjaya diterapkan di dalam kebanyakan drama-drama Korea. Menerusi jalan cerita yang dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat, KDrama berjaya membuatkan penonton berasa begitu terkesan sewaktu menontonnya.

Adegan Dalam Episod 07 KDrama 2011 - 49 Days

Seandainya anda adalah salah-seorang peminat setia KDrama seperti 花火 Hana-bi, anda pastinya pernah ‘bersua’ dengan adegan-adegan dalam drama yang membuatkan hati anda tersentuh dan berasa terpanggil. Jika pada awal tahun yang lalu KDrama 2011 – Dream High berjaya memberikan sedikit inspirasi, pada minggu lepas pula, 花火 Hana-bi sekali lagi berasa begitu terpanggil sewaktu menonton episod ke-7 KDrama 2011 – 49 Days. Meskipun banyak yang masih perlu diperbaiki daripada aspek kualiti penerbitan, namun drama ini berjaya membuatkan hati 花火 Hana-bi terpaut padanya. Mungkin kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak dugaan yang perlu ditempuh, maka kata-kata Shin Ji Hyeon (Nam Gyu Ri) kepada Song Yi Kyeong (Lee Yo Won), iaitu wanita yang tubuhnya dipinjam oleh Ji Hyeon, terasa seolah-olah seperti ditujukan kepada diri sendiri.

You don’t know how precious it is to have a body, do you?
Being able to touch and feel the warmth.

Mendengarkan kata-kata Ji Hyeon membuatkan 花火 Hana-bi terasa ingin lebih menghargai perkara-perkara yang sebelum ini tidak begitu dihargai atau tidak terasa kepentingannya dalam hidup. Sebenarnya, dalam menjalani hidup yang serba mencabar ini, terkadang kita lupa untuk menghargai apa yang sedang kita miliki. Oleh kerana terlalu taksub untuk mengejar sesuatu yang belum dimiliki, atau oleh kerana terlalu berduka mengenangkan sesuatu yang telah hilang, maka kita mungkin terlupa akan apa yang sedang kita genggam saat ini. Sememangnya adalah tidak salah untuk memasang impian ataupun menoleh sejenak ke belakang, namun jangan jadikan ia sebagai batu penghalang untuk tidak memandang akan apa yang ada di sisi kita pada saat ini. Tolehlah sejenak ke kiri dan ke kanan anda, pasti anda akan temui sesuatu yang berharga yang mungkin tidak anda sedari kewujudannya selama ini.

KMovie 2009 - Haeundae

Sebenarnya, pada tiga minggu yang lalu, 花火 Hana-bi ditimpa satu lagi musibah. Meskipun musibah tersebut tidak sehebat tsunami yang pernah melanda diri pada penghujung Julai tahun yang lalu, tidak sehebat tsunami yang digambarkan menerusi KMovie 2009 – Haeundae, malah tidak sehebat tsunami sebenar yang melanda Jepun bulan Mac lalu, namun disebabkan ianya datang bertimpa-timpa selama dua hari berturut-turut, maka kesabaran 花火 Hana-bi pada waktu itu benar-benar teruji. Apabila mengenangkan kembali insiden-insiden yang berlaku itu, dan apabila dikaitkan pula dengan kata-kata Ji Hyeon terhadap Yi Kyeong itu, terasa betapa bertuahnya hidup ini dan betapa besarnya setiap nikmat yang dikurniakan Tuhan. Insan bernama 花火 Hana-bi ini yang sering berduka kerana impian yang tidak kesampaian, pada hari ini terpaksa mengakui yang dirinya sebenarnya telah terlalu banyak menikmati kemanisan yang mungkin tidak pernah terjangkau dek sesetengah insan. Insan yang bernama 花火 Hana-bi ini, meskipun merasakan dirinya serba kekurangan, sebenarnya telah terlalu banyak memiliki kelebihan yang selama ini tidak terlihat dek pandangan mata kasarnya.

Begitulah hebatnya kesan daripada menonton drama. Jika ada yang menyatakan bahawa menonton drama adalah sesuatu yang sia-sia dan membazirkan masa, maka 花火 Hana-bi adalah orang yang pertama yang akan bangkit untuk membangkang. Ini kerana, sebuah drama yang baik mampu memberikan inspirasi dan pengajaran berguna untuk penonton. Ketika kisah hidup insan lain dipertontonkan di hadapan mata, ketika itulah kita harus mengambil peluang untuk merenung kisah hidup kita sendiri. Sewaktu kita mengkritik watak di dalam drama yang kita tonton, apa salahnya jika kita turut mengkritik watak yang sedang kita bawa di dalam hidup ini? Apakah kita yang berlakon di dalam drama arahan kita sendiri ini merupakan watak yang menyumbang ke arah kebaikan, ataupun kita sebenarnya adalah dalang di sebalik kehancuran hidup kita sendiri?

Sama-samalah kita renungkan…

| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Thursday, 14 April 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, K-Drama, K-Pop and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s