Catatan 花火 Hana-bi: Patah Tumbuh Hilang Berganti

Selamat Tinggal, Tuan Puteri!

Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Itulah antara pepatah yang mungkin sering kita baca atau dengari dari mulut seseorang apabila kita kehilangan sesuatu. Meskipun pada hakikatnya yang tumbuh dan yang berganti itu mungkin tidak sama dengan apa yang telah patah ataupun yang telah hilang, namun sedikit-sebanyak ia berfungsi sebagai penghibur hati yang sedang rawan. Seandainya kita bernasib baik, maka yang tumbuh dan yang berganti itu bukan sahaja mampu menjadi penawar malah mampu untuk membangkitkan kembali semangat yang hilang. Itulah yang dirasai oleh 花火 Hana-bi setiap kali drama kegemaran 花火 Hana-bi tamat disiarkan. 花火 Hana-bi percaya, anda selaku peminat setia KDrama juga pastinya pernah mengalami pengalaman yang sama. Bagi peminat-peminat KDrama 2011 – My Princess dan KDrama 2011 – Dream High, anda pastinya sedang bersedih kerana bukan sahaja terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Puteri Lee Seol dan ‘putera’nya P Goon (P ) / Mr.P, tetapi terpaksa pula mengucapkan selamat tinggal kepada bintang-bintang Dream High dari Akademi Seni Kirin dalam tempoh tidak sampai satu minggu.

Namun, bak kata pepatah di atas, setiap yang pergi itu akan ada penggantinya. Minggu lepas menyaksikan dua buah drama diperkenalkan sebagai pengganti KDrama 2011 – My Princess dan KDrama 2011 – President yang disiarkan di slot Rabu & Khamis 9:55 malam (waktu Korea). Drama tersebut adalah KDrama 2011 – Royal Family dan KDrama 2011 – Thorn Birds yang masing-masing disiarkan di stesen penyiaran MBC dan KBS2. Pada minggu ini pula, atau lebih tepat lagi, pada malam ini, sebuah drama baru berjudul ‘Crime Squad‘ bakal muncul bagi mengisi slot yang dikosongkan oleh KDrama 2011 – Dream High. Dan, tidak sampai 10 hari sahaja lagi, sebuah drama berjudul ‘49 Days‘ pula bakal menyusul bagi menggantikan KDrama 2011 – Sign.

Thorn Birds: Drama Terbaru di KBs2

Keempat-empat drama baru ini nampaknya membawa mesej yang berat, tidak seperti KDrama 2011 – My Princess dan KDrama 2011 – Dream High yang lebih ringan serta menghiburkan. Meskipun isu yang cuba diketengahkan mungkin lebih menarik perhatian golongan yang lebih dewasa, namun 花火 Hana-bi percaya drama-drama ini mempunyai daya tarikan masing-masing serta berpotensi untuk menyerlah dan menarik perhatian semua golongan penonton, termasuk golongan muda. 花火 Hana-bi sebenarnya pada mulanya berasa agak kecewa dengan senarai drama yang disediakan kerana menyangka tidak mempunyai pilihan drama yang sesuai dengan citarasa sendiri selepas berakhirnya ‘My Princess‘ dan ‘Dream High‘. Namun, selepas menonton episod pertama dan kedua KDrama 2011 – Royal Family dan KDrama 2011 – Thorn Birds, 花火 Hana-bi berpendapat yang drama-drama ini patut diberikan peluang kerana cerita yang cuba disampaikan, meskipun berat, entah bagaimana, ternyata berjaya menarik perhatian 花火 Hana-bi.

花火 Hana-bi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga DarkSmurf yang telah bersatu hati menghasilkan sarikata Bahasa Inggeris untuk KDrama kegemaran 花火 Hana-bi. Dengan wujudnya komuniti sebegini, telah memungkinkan drama-drama terkini Korea Selatan dapat ditonton dan difahami di seluruh dunia dalam tempoh tidak sampai 48 jam selepas disiarkan di stesen tv tempatan Korea Selatan. Meskipun sarikata Bahasa Inggeris yang dihasilkan oleh warga DarkSmurf mungkin tidak setara dari segi kualiti jika dibandingkan dengan sarikata yang dikeluarkan oleh kumpulan penterjemah ‘profesional’ yang telah lama bertapak seperti Withs2 dan Haru2subS, kerana diterjemahkan oleh komputer dari Bahasa Cina ke Bahasa Inggeris, namun sarikata yang dikeluarkan oleh DarkSmurf sudah cukup untuk membolehkan 花火 Hana-bi memahami jalan cerita serta mesej yang cuba disampaikan oleh drama-drama tersebut.

Salah-sebuah KDrama terkini yang sarikatanya terdapat di DarkSmurf

Sebenarnya 花火 Hana-bi juga berminat untuk terlibat sebagai salah-seorang penterjemah ataupun penyunting, namun disebabkan oleh penguasaan Bahasa Cina 花火 Hana-bi yang berada pada tahap yang tidak boleh langsung dibanggakan, maka 花火 Hana-bi terpaksa membatalkan niat tersebut. Tambahan pula, masa begitu mencemburui 花火 Hana-bi. Lihat sahajalah melalui apa yang terjadi pada blog ini. Disebabkan kesuntukan masa, maka paparan untuk blog ini tidak dapat disediakan sebagaimana yang dirancang. Namun, seandainya berkesempatan, 花火 Hana-bi memang ingin turut serta bersama warga DarkSmurf yang lain menyumbangkan sesuatu untuk KDrama. Kepada pembaca blog ini yang fasih berbahasa Cina dan boleh memahami tulisan Cina serta mempunyai masa yang terluang,  花火 Hana-bi berharap agar anda dapat membantu dalam kerja-kerja penterjemahan di DarkSmurf. Kepada yang telah sedia terlibat, terima kasih sekali lagi 花火 Hana-bi ucapkan atas sumbangan anda. 谢谢! 감사합니다! Kamsahamnida!

p/s: Meskipun sibuk dengan tanggung jawab lain, tidak sabar rasanya menantikan kemunculan drama-drama baru serta terjemahan-terjemahan terkini di DarkSmurf

| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Monday, 7 March 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, K-Drama and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s