Catatan 花火 Hana-bi: Bintang Idola vs Pelakon Popular Beraksi Dalam KDrama Pembuka Tirai 2011

Drama Idola Taiwan: Autumn's Concerto

Pernahkah anda menonton drama-drama idola dari Taiwan seperti TWDrama 2001, 2002 – Meteor Garden I & II, TWDrama 2006 – Smiling Pasta, TWDrama 2008 Fated To Love You, TWDrama 2009 – Autumn’s Concerto atau TWDrama 2010 – Down With Love? Drama-drama yang mana watak-watak utamanya disandang oleh penyanyi-penyanyi popular atau bintang-bintang idola ini menggunakan sepenuhnya populariti yang dimiliki oleh artis terbabit untuk meraih minat penonton. Kini, wabak drama idola bukan sahaja sudah menular ke Malaysia, tetapi juga ke Korea Selatan. Jika tahun 2009 dan 2010 merupakan medan percubaan bagi bintang-bintang idola Korea untuk  berjinak-jinak dalam dunia lakonan, tahun 2011 pula menyaksikan lebih ramai lagi bintang-bintang idola yang sedang meningkat naik nama-nama mereka ini mula mengorak langkah yang lebih berani dengan memegang watak-watak yang lebih besar dalam drama-drama tempatan.

KDrama 2011 - Dream High

Malah, KBS, salah-sebuah stesen penyiaran di Korea Selatan, mengambil langkah berani dengan menyiarkan sebuah drama berunsurkan muzikal yang majoriti watak-watak utamanya dipegang oleh bintang-bintang idola Korea yang baru mula hendak mengorak langkah ke dalam dunia lakonan. Drama berjudul Dream High ini mempertaruhkan kepopularitian para aktornya untuk menarik minat penonton. Meskipun daripada aspek mutu lakonan memang banyak yang perlu diperbaiki memandangkan majoriti aktornya baru pertama kali muncul di kaca TV selaku pelakon, namun disebabkan mereka memiliki ‘star power‘ yang begitu kuat, maka drama ini begitu mendapat tempat di hati penonton terutamanya golongan remaja dan belia. Malah, pihak produksi drama ini tidak perlu melipat-gandakan usaha untuk mempromosi drama ini kerana kemunculan bintang-bintang idola dalam drama yang disokong kuat oleh 3 syarikat hiburan ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat masing-masing.

Mungkin disebabkan faktor ini jugalah, maka muncul sebilangan produser drama yang mengadaptasi formula yang sama untuk melariskan drama masing-masing. Dengan menggabungkan dua aktor popular yang terhangat di pasaran, produser drama dapat menarik minat penonton. Jika penggal terakhir tahun 2010 menyaksikan gandingan aktor tersohor Hyeon Bin dan Ha Ji Won berjaya meraih penonton menerusi KDrama 2010 – Secret Garden, penggal pertama tahun 2011 ini pula menyaksikan satu lagi gandingan aktor yang ditunggu-tunggu oleh peminat. Seong Seung Heon yang terkenal dengan wajah tampannya digandingkan dengan aktres jelita, Kim Tae Hee di dalam KDrama 2011 – My Princess. Gandingan aktor dan aktres yang masing-masing dinobatkan sebagai antara lelaki dan wanita terhangat di Korea ini merupakan satu strategi bijak yang digunapakai oleh pihak penerbitan drama. Malangnya, disebabkan jalan cerita drama tersebut tidak begitu berkembang dengan baik, maka drama yang pada awalnya begitu menarik perhatian penonton, gagal mengekalkan catatan rating penonton yang membanggakan.

KDrama 2011 - My Princess

Sebenarnya, KDrama 2011 – My Princess dan KDrama 2011 – Dream High telahpun memulakan penyiaran di Korea sejak minggu pertama bulan Januari 2011 lagi, namun kerana 花火 Hana-bi berasa sedikit sangsi tentang keupayaan drama-drama ini daripada aspek kualiti penerbitannya, maka Hana-bi menunggu hingga ke saat-saat akhir begini sebelum mula memberikan sebarang komen tentang drama-drama yang bakal berakhir tidak lama lagi ini. Daripada aspek keupayaan untuk menarik perhatian penonton, 花火 Hana-bi tidak pernah sangsi kerana 花火 Hana-bi percaya peminat-peminat artis terbabit pastinya akan teruja untuk menonton, tetapi daripada aspek kualiti drama secara keseluruhan, 花火 Hana-bi tidak begitu optimis.

Sebagai seorang penonton yang mementingkan aspek kualiti dalam sesebuah drama, 花火 Hana-bi sebenarnya agak kecewa dengan kedua-dua drama ini. Banyak yang perlu diperbaiki daripada aspek jalan cerita dan mutu lakonan. Bagaikan lauk yang dimasak, drama-drama ini meskipun nampak ‘menyelerakan’ dan agak ‘enak’ bila dimakan, namun disebabkan kurangnya elemen-elemen tertentu di dalam ‘ramuan’ drama ini, maka lauk yang hidangkan terasa hambar. Sayang sekali kerana seandainya dihasilkan dengan lebih baik, drama-drama ini berpotensi untuk menambat hati bukan sahaja di kalangan peminat-peminat artis yang sedia ada tetapi juga di kalangan penggemar-penggemar drama Korea.

KDrama 2011 - Paradise Ranch

Sebuah lagi drama baru yang 花火 Hana-bi rasakan agak mengecewakan untuk penggal pertama tahun ini adalah KDrama 2011 – Paradise Ranch. Drama ini adalah satu lagi contoh drama yang mempertaruhkan kepopularitian seseorang artis tetapi tidak begitu berjaya menambat hati penonton disebabkan jalan ceritanya yang lemah serta mutu lakonan yang kurang memberangsangkan. Meskipun watak utamanya dipegang oleh Sham Chang Min atau Max, seorang artis popular daripada sebuah kumpulan K-Pop yang cukup tersohor di Jepun dan Korea iaitu Dong Bang Shin Ki / DBSK / TVXQ, drama ini nampaknya tidak begitu menyerlah. Malah, kemunculan pelakon Lee Yeon Hee yang terkenal dengan wajah comel serta keletah manjanya juga gagal untuk menyerikan lagi Paradise Ranch meskipun kemunculan gadis muda ini pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat selepas beliau menyepi dari dunia lakonan selama hampir 2 tahun.

Ternyata, populariti seseorang artis bukanlah satu-satunya penentu kejayaan sesebuah drama. Seandainya sesebuah produksi hanya bersandarkan kepada faktor tersebut untuk melariskan drama masing-masing tanpa menitik-beratkan faktor-faktor utama yang lain, maka drama yang dihasilkan mungkin hanya berjaya menarik penonton pada peringkat awal tetapi tidak berupaya untuk membuatkan penonton terus teruja untuk menonton episod-episod berikutnya. Pihak penerbitan drama seharusnya mengambil-kira semua faktor yang menentukan kejayaan sesebuah drama, selain faktor pemilihan pelakon, bagi memastikan sesebuah drama mampu menambat hati penonton bermula dari minggu pertama hinggalah ke minggu terakhir penyiarannya.

Nota: Setakat ini, 花火 Hana-bi masih belum menemui sebarang KDrama 2011 yang benar-benar berjaya menawan hati.


| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Saturday, 19 February 2011, in Catatan 花火 Hana-bi, K-Drama and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s