Info Drama: KDrama 2010 – Happiness in The Wind

 

KDrama 2010 - Happiness in The Wind

Maklumat Am:

  • Tajuk (Hangeul): 바람 불어 좋은날
  • Tajuk (Rumi): Ba-ram Bur-eo Joh-eun-nal
  • Tajuk (Bahasa Inggeris): A Good Day For The Wind To Blow (KBS)
    / Happiness in the Wind (KBS World)
  • Tajuk Alternatif: Good Days When The Wind Blows / Windy But Pleasant Day
  • Genre: Percintaan, Kekeluargaan 
  • Penerbit: Moon Bo Hyeon (문보현)
  • Pengarah: Lee Deok Geon (이덕건)
  • Penulis Skrip: Lee Deok Jae (이덕재)
  • Bil. Episod: 173
  • Purata Rating Penonton: 19.5% (Korea)
    [Sumber: TNS Media Korea, dipetik dari DramaWiki]
  • Stesen Penyiaran:KBS1, KBS World
  • Tarikh Siaran: 01 Feb 2010 hingga 01 Okt 2010
  • Waktu Siaran: Isnin hingga Jumaat 20:25
  • Laman Web Rasmi: http://www.kbs.co.kr/drama/goodday/
  • Lagu Tema: 바람 불어 좋은 날 OST (Dikeluarkan: 28.05.2010)

Pelakon Utama:

  • Kim So Eun (김소은) sebagai Kwon Oh Bok (권오복)
Keluarga Jang:
  • Jin Yi Han (진이한) sebagai Jang Dae Han (장대한)
  • Lee Hyeon Jin (이현진) sebagai Jang Min Gook (장민국)
  • Seo Hyo Rim (서효림) sebagai Jang Man Se (장만세)
  • Kang In Deok (강인덕) sebagai Jang Jeong Nam (장정남) / Ayah
  • Yoon Mi Ra (윤미라) sebagai Yoon Seon Hee (윤선희) / Ibu
  • Na Moon Hee (나문희) sebagai Na Kkeut Soon (나끝순) / Nenek
  • Kang Han Byul (강한별) sebagai Jang Dong Nip (장독립) / Anak Dae Han
Keluarga Kang:
  • Kang Ji Seop (강지섭) sebagai Kang Sang Joon (강상준)
  • Kim Seong Hwan (김성환) sebagai Kang In Soo (강인수) / Ayah
  • Na Yeong Hee (나영희) sebagai Cha Yeon Shil (차연실) / Ibu
Keluarga Lee:
  • Kim Mi Sook (김미숙) sebagai Lee Kang Hee (이강희) / Cikgu Lee
  • Kwon Oh Hyeon (권오현) sebagai Seo Dong Shik (서동식) / Adik ipar Cikgu Lee
  • Ahn Hye Kyeong (안혜경) sebagai Kim Nam Sook (김남숙) / Isteri Dong Shik
  • Joo Hye Rin (주혜린) sebagai Seo Hyo Ri (서효리) / Anak Dong Shik
Keluarga Choi:
  • Lee Seong Min (이성민) sebagai Choi Mi Ran (최미란) / Ibu kandung Dok Lip
  • Yeon Kyoo Jin (연규진) sebagai Presiden Choi / Ayah
  • Won Jong Rye (원종례) sebagai Ibu
Pelakon-pelakon Tambahan:
  • Jeong Seung Ho (정승호) sebagai Kwon Yi Moon (권이문) / Ayah Kwon Oh Bok
  • Kang Eun Tak (강은탁) sebagai Han/ Choi Gi Cheol (기철) / Kawan sekampung Gwon Oh Bok
  • Jeong Da Yeong (정다영) sebagai Han Sol Ji (한솔지) / Rakan lama dan rakan niaga Jang Min Gook
  • Min Yeong Won (민영원) sebagai Hwa Yeong (화영) / Bakal tunang Kang Sang Joon
  • Maeng Sang Hoon (맹상훈) sebagai Doktor Park / Kawan mendiang suami Cikgu Lee
  • Choi Eun Seok (최은석) sebagai / Pemiutang (채권자)

Sinopsis Ringkas:
Drama ini mengisahkan tentang cabaran hidup yang terpaksa dihadapi oleh Kwon Oh Bok apabila dia berpindah ke Seoul dari sebuah bandar kecil. Memang sejak kecil lagi setelah dia kematian ibu, Oh Bok terpaksa berhenti sekolah dan bekerja untuk menyara hidup. Kini, gadis yang baru berusia 19 tahun ini dipaksa pula keluar pula dari rumah yang disewa akibat perbuatan bapanya yang ‘mencuri’ duit deposit rumah tersebut. Mujurlah Oh Bok adalah seorang gadis yang bersemangat kental. Berbekalkan pengalaman kerja sebagai pelukis grafik selama beberapa tahun, dia nekad untuk mencari kerja sebagai ilustrator di Seoul pula.

Apabila sampai di Seoul, Kwon Oh Bok berkenalan secara tidak sengaja dengan Jang Min Gook, seorang pemuda yang baru putus cinta. Dan dengan bantuan Min Gook, dia berjaya mendapatkan tempat berteduh dengan menumpang di sebuah rumah seorang kenalan baik Min Gook. Dalam masa yang sama, Oh Bok berkenalan pula dengan Jang Dae Han, seorang lelaki di awal usia 30-an. Meskipun perkenalan ini pada awalnya tidak berjalan lancar dan mereka saling bermusuhan disebabkan satu insiden, namun lama-kelamaan, hubungan mereka menjadi akrab apabila Oh Bok diterima bekerja di syarikat yang sama tempat Dae Han bekerja.

Tanpa disedari Oh Bok, Jang Dae Han dan Jang Min Gook sebenarnya adalah adik-beradik. Dan perkenalannya dengan kedua beradik ini sedikit demi sedikit mendekatkan dia kepada keluarga Jang. Keluarga inilah yang kemudiannya membuatkan Oh Bok yang selama ini hidup kesunyian, kembali mengenal tentang erti kasih-sayang dan kebahagiaan hidup berkeluarga.

Fakta Menarik:
Kim So Eun yang namanya melonjak naik sejak berlakon dalam KDrama 2009 – Boys  Over Flowers,  buat pertama kalinya diberi kepercayaan untuk memegang watak utama menerusi drama ini. Kejayaannya merangkul anugerah Bintang Harapan (Female Newcomer Award) sewaktu “The 2009 KBS Drama Awards” menerusi tiga buah drama iaitu KDrama 2009 – Empress Chun Chu, KDrama 2009 – Boys  Over Flowers, dan KDrama 2009 – The Man Who Can’t Get Married, nampaknya berjaya membuka mata pihak produksi drama untuk mengambilnya berlakon dalam drama bersiri keluarga yang panjang ini.
[Sumber: DramaWiki]

Fakta Menarik:
Drama ini begitu mendapat sambutan daripada penonton sejak di awal penayangannya lagi. Berdasarkan rating penonton yang direkodkan oleh TNS Media, drama ini merupakan antara drama pilihan penonton dengan mengekalkan kedudukan tertinggi (1-4) hampir pada setiap minggu. Sewaktu penayangan episod pertamanya pada 1 Febuari 2010, drama ini berjaya mencatat peratusan kedua tertinggi untuk drama paling ditonton seluruh Korea Selatan. Sewaktu penayangan episod terakhirnya pada 1 Oktober 2010 pula, drama ini masih mengekalkan keputusan cemerlang dengan berjaya menduduki tempat teratas.
[Sumber: DramaWiki]

Sumber Utama Info: DramaWikiHanCinema

Sumber Video: AZNV.TV

Ulasan Ringkas 花火 Hana-bi:
Sarat dengan mesej kekeluargaan sesuai dengan temanya sebagai sebuah drama keluarga, Happiness in The Wind (HiTW) membawa penonton menghayati kebahagiaan di sebalik hidup berkeluarga. Meskipun banyak cabaran yang terpaksa dihadapi, baik oleh golongan muda mahupun golongan tua/dewasa, mereka akhirnya tetap bersatu atas dasar nama sebuah keluarga. Drama ini memaparkan bagaimana golongan muda serta golongan tua/dewasa berinteraksi dan bertindak balas apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.

Keluarga Jang iaitu keluarga yang mana Kwon Oh Bok kemudiannya menjadi sebahagian daripadanya, adalah keluarga yang menjadi fokus utama di dalam drama HiTW ini. Selain Keluarga Jang, terdapat juga tiga keluarga lain iaitu Keluarga Kang, Keluarga Lee dan Keluarga Choi. Setiap keluarga ini mempunyai perkaitan antara satu sama lain dengan Keluarga Jang. Keluarga Kang adalah keluarga yang berbesan dengan keluarga Jang. Keluarga Lee pula adalah keluarga yang berkawan rapat dengan keluarga Jang. Manakala, Keluarga Choi adalah keluarga kepada ibu kandung Jang Dong Nip (장독립), iaitu cucu dalam keluarga Jang. Oleh kerana terdapat banyak keluarga di dalam drama ini dan setiap ahli keluarga mempunyai cerita masing-masing, maka penonton disajikan dengan kepelbagaian kisah yang adakalanya mencuit hati dan adakalanya menyentuh perasaan.

Walau bagaimanapun, mungkin kerana faktor yang sama jugalah, adakalanya jalan cerita HiTW ini tidak terasa keunikannya. Ini kerana, kebanyakan isu yang cuba dibangkitkan menerusi setiap watak kelihatan lebih kurang sama sahaja dengan watak lain yang ada di dalam drama ini iaitu tentang percintaan yang terhalang. Di dalam drama ini, cinta ketiga-tiga anak dalam keluarga Jang mendapat bantahan keluarga, sama ada disebabkan oleh perbezaan darjat ataupun disebabkan oleh perbezaan usia. Memandangkan Keluarga Jang adalah keluarga yang menjadi fokus utama dalam drama ini, maka drama ini hilang ciri-ciri keunikannya.

Walau bagaimanapun, Selaind daripada itu, kelemahan yang sangat ketara yang ada pada HiTW adalah dari segi mutu lakonan dan pengarahannya. Meskipun terdapat beberapa babak yang begitu menyentuh hati, namun pada sesetengah babak, mutu lakonan sesetengah pelakon yang agak kurang memuaskan membuatkan babak tersebut tidak begitu meninggalkan kesan kepada hati penonton. Malah, lakonan pada sesetengah babak juga kelihatan janggal apabila kedudukan atau susun-atur pelakon begitu dikawal ketat agar semuanya menghadap kamera. Ini membuatkan lakonan kelihatan kaku, tidak realistik dan begitu tidak natural (tidak bersahaja). Meskipun penonton maklum bahawa semua mereka ini sedang berlakon, tetapi penonton mahukan lakonan yang hidup, seolah-olah babak yang mereka sedang saksikan itu benar-benar berlaku. Malangnya, drama ini gagal untuk memberikan impresi sedemikian kepada penonton.

Kurangnya kepelbagaian dalam pemilihan lagu tema sebagai ‘penyeri’ drama juga membuatkan adakalanya drama ini terasa agak membosankan. Mungkin kerana bilangan episodnya yang banyak, maka jalan ceritanya juga dirasakan agak meleret. Mujurlah ada Kim So Eun dan Kang Han Byul (강한별), yang memegang watak sebagai Jang Dong Nip (장독립), yang menjadi penyeri drama ini. Kemunculan Kim So Eun di dalam drama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat beliau. Maka, tidak hairanlah seandainya drama ini begitu mendapat perhatian meskipun jalan ceritanya secara keseluruhan boleh dianggap sebagai biasa atau klise (cliché). Dan mujur jugalah ada cerita tentang perebutan anak di pertengahan drama yang berjaya membuatkan HiTW ‘hidup’ kembali. Di samping itu, jenaka bersahaja yang turut diselitkan sekali-sekala pada sesetengah babak berjaya membuatkan penonton masih kekal di hadapan kaca tv atau monitor komputer .

Satu aspek yang boleh dipuji tentang drama ini adalah ia mempunyai kesinambungan babak yang baik. Memandangkan terdapat banyak watak dengan pelbagai cerita masing-masing di dalam drama ini, kesinambungan yang baik dari satu babak ke satu babak yang lain membuatkan jalan cerita secara keseluruhannya tampak licin dan tidak melompat-lompat. Malah, setiap watak yang dipaparkan di dalam drama ini dilihat mempunyai perkaitan antara satu sama lain.

Seandainya ketelitian sebegini turut diberikan kepada aspek pembikinan drama yang lain, maka HiTW pastinya dapat dihasilkan dengan lebih baik dan memuaskan hati penonton. Sayang sekali kerana drama ini hanya bergantung kepada populariti dan rupa-paras yang ada pada pelakon-pelakonnya untuk terus bertahan di hati peminat. Dan, sayang sekali juga kerana bakat yang ada pada pelakon utamanya iaitu Kim So Eun, serta bakat-bakat muda yang lain, nampaknya tidak begitu berjaya digilap menerusi drama ini. Satu lagi kerugian dalam dunia lakonan Korea Selatan…


Rating 花火 Hana-bi:

  • Kepuasan Menonton: [ OKlah ]
  • Kualiti Drama Secara Keseluruhan: [ Kurang Memuaskan ]

———————————————————————————————————————Penafian: 花火 Hana-bi tidak bertanggungjawab di atas kesahihan maklumat yang muatkan di sini. Penulisan dilakukan berdasarkan pemahaman dari sumber-sumber yang telah dinyatakan di atas. Sinopsis adalah berdasarkan pemahaman 花火 Hana-bi terhadap intipati drama yang ditonton. Ulasan yang diberikan pula adalah pendapat peribadi dan tidak mempunyai sebarang kepentingan lain.
———————————————————————————————————————

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Monday, 24 January 2011, in Info Drama, K-Drama and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s