Info Drama: KDrama 2010 – Mary Stayed Out All Night / Marry Me, Mary!

 

KDrama 2010 – Mary Stayed Out All Night / Marry Me, Mary!


Maklumat Am:

  • Tajuk (Hangeul):매리는 외박중
  • Tajuk (Rumi): Mae-ri-neun Oe-bak-joong
  • Tajuk (Bahasa Inggeris): Mary Stayed Out All Night
  • Tajuk Alternatif: Marry Me, Mary!
  • Genre: Komedi Percintaan
  • Penerbit Utama: Jeong Seong Hyo (정성효)
  • Penerbit: Han Sang Woo (한상우)
  • Pengarah: Hong Seok Goo (홍석구), Kim Yeong Kyun (김영균)
  • Penulis Asal: Won Soo Yeon (원수연)
  • Penulis Skrip: In Eun Ah (인은아) (Episod 1-10),
    Go Bong Hwang (고봉황) (Episod 11-16)
  • Bil. Episod: 16
  • Purata Rating Penonton: 6.0% (Korea)
    [Sumber: TNS Media Korea, dipetik dari DramaWiki]
  • Stesen Penyiaran: KBS2
  • Tarikh Siaran: 08 Nov 2010 hingga 28 Dis 2010
  • Waktu Siaran: Isnin & Selasa 21:55
  • Laman Web Rasmi: http://www.kbs.co.kr/drama/mary/index.html
  • Lagu Tema:
    [OST][Single] 매리는 외박중 Part 1 (Dikeluarkan: 08.11.2010)
    [OST][Single] 매리는 외박중 Part 2 (Dikeluarkan: 08.11.2010)
    [OST][Single] 매리는 외박중 Part 3 (Dikeluarkan: 06.12.2010)
    [OST][Single]매리는 외박중 Special Ver. (Dikeluarkan: 21.12.2010)
    [OST]매리는 외박중 Part 1 (Dikeluarkan: 15.11.2010)
    [OST]매리는 외박중 Part 2 (Dikeluarkan: 14.12.2010)

Pelakon-Pelakon Utama:

  • Moon Geun Yeong (문근영) sebagai Wi Mae Ri (위매리) / Mary
  • Jang Geun Seok (장근석) sebagai Kang Moo Gyeol (강무결)
  • Kim Jae Wook (김재욱) sebagai Byeon Jeong In (변정인)
  • Kim Hyo Jin (김효진) sebagai Seo Joon (서준)

Pelakon-Pelakon Tambahan:

  • Park Jun Gyu (박준규) sebagai Byeon Jeong Seok (변정석) / Ayah Jeong In
  • Park Sang Myeon (박상면) sebagai Wi Dae Han (위대한) / Ayah Mae Ri
  • Lee Ah Hyeon (이아현) sebagai Kam So Yeong (감소영) / Ibu Moo Gyeol
  • Shim Yi Yeong (심이영) sebagai Director Bang (방실장) / Pengurus Lee An
  • Lee Seon Ho (이선호) sebagai Lee An (이안) / Ian
  • Kim Min Gyu (김민규) sebagai Ri No (리노) / Pemain gitar kedua dalam kumpulan Indie Moo Gyeol
  • Geum Ho Seok (금호석) sebagai Yo Han (요한) / Pemain bass dalam kumpulan Indie Moo Gyeol
  • Park Cheol Hyeon(박철현) sebagai Re O (레오) / Pemain dram dalam kumpulan Indie Moo Gyeol
  • Kim Hae Rim (김해림) sebagai Ji Hye (지혜) / Kawan Mae Ri
  • Lee Eun (이은) sebagai So Ra (소라) / Kawan Mae Ri
  • Yoon Yoo Seon (윤유선) sebagai Lee Kang Hyeon (이강현) / Penulis Skrip

Sinopsis Ringkas:
Wi Mae Ri (Mary) adalah seorang gadis yang ceria meskipun dia membesar tanpa kasih-sayang seorang ibu. Hidupnya menjadi sukar apabila perniagaan bapanya menemui kegagalan dan hidup mereka menjadi buruan lintah darat yang menuntut hutang. Sewaktu sedang dipukul oleh Ah Long, bapa Mae Ri terserempak dengan seorang kenalan lama yang kini adalah seorang jutawan. Apabila kenalan tersebut menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan semua hutang dengan syarat anak masing-masing dijodohkan, bapa Mae Ri segera bersetuju. Tujuannya, agar hutangnya dengan Ah Long dapat diselesaikan dan agar Mae Ri dapat hidup di dalam kesenangan, tidak seperti mendiang ibunya.

Apabila mendapat tahu tentang hal itu, Mae Ri dengan keras membantah kerana dia tidak ingin berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya. Tambahan pula, dia masih terlalu muda untuk berbuat demikian. Oleh itu, atas cadangan teman-temannya, Mae Ri berpakat dengan Moo Gyeol untuk menipu bapanya yang kononnya mereka sedang bercinta. Sebenarnya, Moo Gyeol, seorang penyanyi rock dari sebuah kumpulan Indie, adalah seorang pemuda yang baru sahaja dikenali oleh Mae Ri secara tidak sengaja.

Walau bagaimanapun, taktik Mae Ri itu langsung tidak berjaya mematahkan niat bapa Mae Ri untuk mengahwinkan Mae Ri dengan Jeong In, anak kenalannya. Melihatkan sikap bapanya yang masih berkeras itu, Mae Ri terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengatakan yang kononnya dia sudahpun berkahwin dengan Moo Gyeol. Mereka sebenarnya belum berkahwin dan cuma bergambar sambil memakai pakaian pengantin bagi mengelabui mata bapa Mae Ri.

Malangnya, bapa Mae Ri mengambil langkah yang lebih drastik dengan mendaftarkan perkahwinan antara Mae Ri dengan Jeong In tanpa pengetahuan Mae Ri. Perbuatan bapanya itu membuatkan Mae Ri, dari segi undang-undang, telahpun sah berkahwin dengan Jeong In. Meskipun marah dengan tindakan bapanya itu, Mae Ri tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mahu bapanya dipenjara disebabkan membuat pendaftaran palsu.

Setelah dipujuk, Mae Ri akhirnya bersetuju untuk mengekalkan ‘perkahwinannya’ dengan Jeong In selama 100 hari, dengan syarat ‘perkahwinannya’ dengan Moo Gyeol juga tidak dihalang oleh bapanya. Bagaimanakah kehidupan Mae Ri setelah bergelar ‘isteri’ kepada dua orang lelaki? Apakah sebenarnya rahsia yang terselindung di sebalik perkahwinan antara Mae Ri dengan Jeong In? Siapakah yang akhirnya berjaya menawan hati Mae Ri: Jeong In, seorang anak jutawan yang berkaliber atau Moo Gyeol, seorang penyanyi bebas yang tiada pendapatan tetap?

Fakta Menarik:
Mary Stayed Out All Night / Marry Me, Mary! (MSOAN/MMM) adalah drama yang diadaptasi daripada sebuah Manhwa/komik popular yang disiarkan menerusi Internet. Cerita asal ditulis oleh Won Soo Yeon (원수연), penulis sama yang pernah menulis Manhwa Full House (풀하우스), komik popular yang kemudiannya diadaptasi kepada sebuah drama iaitu KDrama 2004 – Full House. Manhwa yang menggunakan judul 매리는 외박중 (Mary Stayed Out All Night) ini mula disiarkan secara dalam talian menerusi daum.net pada 6 Febuari 2009, sebelum ia kemudiannya dicetak dalam bentuk buku dan dilancarkan paa 24 November tahun yang sama.
[Sumber: AsianMediaWiki]

Fakta Menarik:
MSOAN/MMM adalah drama pertama yang menggandingkan Jang Geun Seok (JGS) dengan Moon Geun Yeong (MGY). Gandingan ini bukan sahaja telah lama dinanti-nantikan oleh peminat pasangan Geun-Geun ini serta oleh peminat setia KDrama, tetapi turut dinantikan-nantikan oleh JGS dan juga MGY. JGS dan MGY secara terbuka mengaku bahawa sebab utama mereka menerima tawaran untuk berlakon di dalam drama ini adalah kerana mereka bakal digandingkan bersama.

Fakta Menarik:
Meskipun sibuk dengan pelbagai urusan, JGS dan MGY bersedia mengorbankan masa dan mengatur-semula jadual penggambaran/aktiviti masing-masing bagi membolehkan mereka terlibat di bawah satu produksi. MGY baru sahaja selesai mementaskan teater berjudul ‘Closer‘ manakala JGS pula begitu sibuk dengan jadual pertemuannya dengan peminat-peminat di Jepun. Sewaktu sibuk dengan penggambaran MSOAN/MMM, JGS terpaksa terbang berkali-kali ke Jepun untuk menghadiri majlis pertemuan dengan peminat (fan meeting) di empat buah bandar di sana dan kemudiannya terbang semula ke Seoul untuk meneruskan penggambaran.
[Sumber: Korea.com]

Fakta Menarik:
Sempena ‘The 2010 KBS Drama Awards‘, pasangan Geun-Geun ini memenangi Anugerah Pasangan Terbaik (Best Couple Award) menerusi drama ini.

Fakta Menarik:
JGS berjaya memenangi Anugerah Netizen (Netizen’s Award) sempena ‘The 2010 KBS Drama Awards‘. Kemenangan ini membuktikan yang JGS masih tetap popular di kalangan penonton Internet meskipun wataknya di dalam drama ini dikritik kerana dikatakan kurang menonjolkan kemampuan sebenarnya sebagai pelakon.

Fakta Menarik:
JGS sekali lagi menunjukkan kebolehannya dalam menyanyi apabila menyumbangkan suara ’emas’nya menerusi beberapa buah lagu yang dijadikan soundtrack rasmi drama ini.

Fakta Menarik:
MGY terpaksa mengenakan rambut palsu sepanjang penggambaran drama ini kerana watak Mae Ri di dalam Manhwa asal digambarkan sebagai seorang gadis yang berambut panjang. MGY sebenarnya sebelum ini memiliki rambut yang panjang dan cantik tetapi rambutnya telah dipotong pendek separas bahu sewaktu dia berlakon di dalam KDrama 2010 – Cinderella’s Sister (CS). Oleh kerana penggambaran MSOAN/MMM ini berlangsung hanya beberapa bulan selepas CS tamat penggambaran, maka rambut MGY tidak sempat tumbuh dan digantikan dengan rambut palsu. Yang uniknya, rambut palsu MGY ini menjadi tumpuan penonton kerana gaya serta saiznya yang agak luar biasa. Setiap kali MGY mengenakan gaya rambut yang berbeza, setiap kali itu jugalah penampilannya turut berubah. Kerana rambut palsu ini jugalah, MGY kelihatan begitu comel sewaktu membawakan watak Mae Ri di dalam drama MSOAN/MMM ini.

Fakta Menarik:
Selain daripada rambut, pakaian MGY di dalam drama ini juga turut menjadi tumpuan penonton. Watak Mae Ri di dalam Manhwa yang asal digambarkan sebagai seorang gadis yang berpakaian ala Bohemian (Bohemian Chick). Maka, di dalam drama ini, penonton disajikan dengan pelbagai gaya Bohemian yang pada mulanya mungkin kelihatan pelik di mata penonton tetapi kemudiannya menjadi salah-satu tumpuan/keunikan yang ada pada drama ini.

Fakta Menarik / Kurang Menarik:
Watak Seo Joon, bekas kekasih Moo Gyeol, sebenarnya tidak wujud di dalam Manhwa yang asal. Ia sengaja diwujudkan bagi menyemarakkan lagi drama ini. Secara peribadi, 花火 Hana-bi merasakan bahawa watak Seo Joon ini mungkin adalah antara faktor yang menyebabkan penonton agak bosan dengan MSOAN/MMM. Ditambah pula dengan mutu lakonan yang agak kurang memberangsangkan yang ditunjukkan oleh Kim Hyo Jin, pelakon yang memegang watak Seo Joon, maka watak ini dirasakan tidak terlalu memberikan impak yang positif untuk drama ini.

Fakta Kurang Menarik:
In Eun Ah (인은아), penulis skrip drama MSOAN/MMM, menarik diri sewaktu drama ini masih lagi sedang dalam proses penggambaran. In Eun Ah dikhabarkan tidak berpuashati dengan ‘rating‘ yang dicatat oleh drama ini saban minggu. Tempat beliau kemudiannya digantikan dengan Go Bong Hwang (고봉황), penulis yang pernah menulis skrip untuk KDrama 2005 – 18 vs 29.

Sumber Utama Info: DramaWikiHanCinema

Sumber Video: YellowCinema, Midnight Dreams

Ulasan Ringkas 花火 Hana-bi:
Drama ini memang menarik untuk ditonton kerana ia pertama kali menggandingkan dua bakat besar dalam dunia lakonan Korea Selatan, iaitu Jang Gen Seok (JGS) dan Moon Geun Yeong (MGY). Kemunculan pasangan Geun-Geun yang bakat mereka telah dicungkil sejak di awal remaja ini sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai peminat setia KDrama. Mungkin kerana telah terlalu banyak melakonkan watak-watak yang serius, yang adakalanya kurang sesuai dengan usia sebenar mereka, maka kemunculan JGS dan MGY dalam drama MSOAN/MMM ini dengan watak yang lebih ringan sememangnya ditunggu-tunggu.

Walau bagaimanapun, mungkin kerana jalan ceritanya yang terlalu ringan, dan mungkin juga kerana gaya persembahannya yang kurang kemas, maka kemampuan sebenar kedua-dua pelakon ini tidak begitu menonjol. Maka, tidak hairanlah jika ramai yang kurang berpuashati dengan lakonan yang ditunjukkan oleh JGS serta MGY di dalam drama ini. 花火 Hana-bi secara peribadi tetap menganggap drama ini sebagai sebuah drama yang menarik dan menghiburkan kerana sudah agak lama 花火 Hana-bi tidak melihat MGY dalam aksi lincah dan kebudak-budakan, sesuai dengan wajah serta usianya. Meskipun tidak berjaya mengutip catatan ‘rating‘ yang tinggi, namun bagi 花火 Hana-bi, drama ini tetap berjaya menambat hati penonton yang inginkan hiburan yang ringan serta jenaka yang bersahaja.

Isu yang cuba dibangkitkan di dalam drama MSOAN/MMM ini sebenarnya agak menarik dan seandainya jalan ceritanya dikembangkan dengan baik, drama ini berpotensi untuk menjadi salah-sebuah drama yang terbaik untuk tahun 2010. Malangnya, terdapat beberapa kelemahan dari aspek pembikinan drama yang membuatkan idea asal penulis tidak dapat dizahirkan dengan jelas kepada penonton. Meskipun terdapat banyak lagu soundtrack yang menambat hati 花火 Hana-bi di dalam drama ini, terutama di akhir-akhir cerita, namun ianya masih kurang mampu untuk membangkitkan mood penonton ke tahap yang bisa membuatkan penonton terpesona dengan drama ini. Ditambah pula dengan mutu lakonan beberapa pelakon yang dirasakan tidak begitu meyakinkan, maka cerita yang cuba disampaikan juga tidak begitu memberikan kesan kepada hati penonton.

Sayang seribu kali sayang! Drama ini nampaknya kurang ‘menyengat’ sebagaimana yang diharap-harapkan. Walau bagaimanapun, kehadiran dua bintang besar iaitu JGS dan juga MGY berjaya ‘menyelamatkan’ drama ini. Meskipun terdapat kelemahan dari aspek pembikinannya, penonton masih bisa terhibur dan masih bisa ketawa terbahak-bahak dengan aksi-aksi lucu yang bersahaja yang ditonjolkan di dalam drama ini.


Rating 花火 Hana-bi:

  • Kepuasan Menonton: [ Menarik ]
  • Kualiti Drama Secara Keseluruhan: [ Memuaskan ]

———————————————————————————————————————
Penafian花火 Hana-bi tidak bertanggungjawab di atas kesahihan maklumat yang muatkan di sini. Penulisan dilakukan berdasarkan pemahaman dari sumber-sumber yang telah dinyatakan di atas. Sinopsis adalah berdasarkan pemahaman 花火 Hana-bi terhadap intipati drama yang ditonton. Ulasan yang diberikan pula adalah pendapat peribadi dan tidak mempunyai sebarang kepentingan lain.
———————————————————————————————————————

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Sunday, 16 January 2011, in Info Drama, K-Drama and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Hello once again!
    Can u give some info about the drama Jungle fish 1….

    • FYI, I haven’t watch the drama but I’ll do so, soon. I’ll write some info n review on that drama if I do find it interesting (since I’m so pre-occupied lately).

      At this very moment, I’m obsessed with KDrama 2010 – Sungkyunkwan Scandal. So, for the next few days, I’ll be working on posts related to the drama (i.e drama info, OSTs, etc.).

      Anyway, here’s the link to the drama on dramawiki (just in case you haven’t found it): http://wiki.d-addicts.com/Jungle_Fish

      Good luck!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s