Catatan 花火 Hana-bi: Hadiah Istimewa Dari Korea

Sisipan Dari Korea

Minggu ini adalah minggu yang cukup istimewa bagi 花火 Hana-bi. Semalam, 花火 Hana-bi mengenakan pakaian ala Hanbok, iaitu sepasang pakaian yang berinspirasikan baju kebangsaan Korea. Dan pada hujung minggu ini pula, 花火 Hana-bi akan berkunjung buat pertama kali ke sebuah restoran bufet ala Korea kerana seseorang ingin membelanja 花火 Hana-bi makan di sana. Namun, yang paling istimewa, pada awal minggu yang lalu, 花火 Hana-bi telah menerima sebuah hadiah yang didatangkan khas dari Korea. Melihatkan kertas pembalut hadiah yang bercirikan kesenian Korea itu sudah cukup untuk membuatkan senyuman terukir di bibir, apatah lagi apabila tulisan ‘Hangeul‘ dan perkataan ‘Made in Korea‘ terpampang pada kotak hadiah sebaik sahaja kertas pembalutnya dibuka. Dan, apabila kotak tersebut dibuka,sebuah kipas tangan yang mengandungi sebuah lukisan lama dihidangkan di hadapan mata.

Sebaik sahaja terpandang lukisan tersebut, ia mengingatkan 花火 Hana-bi kepada sebuah drama yang ditonton pada tahun lepas. Bagi peminat-peminat setia KDrama, anda pasti masih ingat akan sebuah drama yang menceritakan tentang kehidupan seorang pelukis kontroversial di zaman Dinasti Joseon bernama Shin Yoon Bok (신윤복), atau juga dikenali dengan nama penanya, Hye Won (혜원). Di dalam KDrama 2008 – The Painter of the Wind (바람의 화원) yang dilakonkan oleh Moon Geun Yeong itu, Shin Yoon Bok adalah seorang pelukis Diraja yang banyak melakarkan ceritera kehidupan sebenar masyarakat Korea pada awal abad ke-19, dalam gayanya yang unik dan tersendiri.

Nama Pelukis Sebenar Tertera Pada Sebelah Kanan Kipas

Pada mulanya, 花火 Hana-bi langsung tidak menyedari akan kaitan antara pelukis tersohor ini dengan lukisan yang ada pada kipas tangan yang dihadiahkan kepada 花火 Hana-bi ini. Namun, oleh kerana perasaan ingin tahu lebih lanjut tentang produk keluaran DooRe Art (www.dooreart.co.kr) ini begitu membuak, maka 花火 Hana-bi mengambil keputusan untuk melawati laman web rasmi syarikat pengeluar kipas berkenaan. Terkedu 花火 Hana-bi seketika dibuatnya. Terkedu bukan kerana terkejut melihatkan harga kipas tangan yang hampir mencecah RM50 (KRW17,000 atau IDR 140,000) itu, tetapi terkedu kerana terkejut apabila terlihatkan nama pelukis asal lukisan berkenaan yang terpampang pada sudut sebelah kanan kipas (di dalam gambar yang diiklankan di dalam laman web DooRe Art).

Lukisan Asal Shin Yoon Bok: A Boat Party on The Clean River

Meskipun lukisan yang terdapat pada kipas ini tidak 100% sama dengan lukisan sebenar yang dihasilkan oleh Shin Yoon Bok yang kini disimpan di Gansong Art Museum, di Seoul, namun ia tetap memberikan satu perasaan yang cukup istimewa setiap kali 花火 Hana-bi menghayatinya. Lukisan berjudul Ju Yu Cheong Gang (주유청강) / A Boat Party on The Clean River ini menggambarkan salah-satu aktiviti kegemaran rakyat Korea pada zaman lebih 200 tahun yang lalu. Selaku peminat seni yang gemar melukis, keupayaan untuk ‘memiliki’ lukisan sebegini adalah satu pengalaman yang sukar untuk digambarkan oleh 花火 Hana-bi. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ‘chin-gu’ (친구) / teman yang menghadiahkan hadiah yang sangat bermakna ini.

Kam-sa-ham-ni-da! 감사합니다! Terima kasih!

| 花火 Hana-bi |

 

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Friday, 14 January 2011, in Catatan 花火 Hana-bi and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s