Catatan 花火 Hana-bi: Cepatnya Masa Berlalu

Hari ini genaplah setahun laman blog 花火 Hana-bi [Bunga Api] ini dilancarkan. Dengan bilangan klik yang menjangkau 35,000 kali ini, bagi 花火 Hana-bi, ianya adalah satu pencapaian yang tidak pernah diduga sama sekali. Terima kasih 花火 Hana-bi ucapkan kepada semua pembaca blog ini, terutama kepada pengunjung-pengunjung yang masih setia mengunjungi blog ini meskipun 花火 Hana-bi sudah semakin jarang memaparkan pos terkini disebabkan masa yang begitu mencemburui.

Sewaktu idea untuk menghasilkan blog ini diutarakan, ada pihak yang kurang berkeyakinan ia akan mendapat sambutan disebabkan sasaran pembacanya yang amat terhad. Ada yang berpendapat, adalah lebih baik seandainya blog ini ditulis di dalam Bahasa Inggeris agar dapat menarik perhatian lebih ramai pembaca. Ada juga yang berpendapat, tidak ramai yang ingin menatap hasil kerja 花火 Hana-bi, iaitu  berkenaan olahan lagu di dalam Bahasa Melayu kerana mungkin tidak ramai yang berminat untuk menyanyikan lagu tersebut dalam Bahasa Melayu.

Namun, semua pandangan negatif itu 花火 Hana-bi tolak ke tepi kerana bagi 花火 Hana-bi, yang paling penting adalah kepuasan diri sendiri kerana setiap paparan sebenarnya adalah untuk tatapan diri 花火 Hana-bi sendiri. Sebenarnya, idea untuk menghasilkan blog ini timbul daripada keinginan 花火 Hana-bi untuk menyanyikan lagu-lagu OST KDrama kegemaran 花火 Hana-bi di dalam Bahasa Melayu. Oleh kerana 花火 Hana-bi kurang berpuas hati dengan lagu-lagu OST KDrama yang telah dimelayukan oleh sesetengah pihak (yang langsung tidak merujuk kepada lirik asal), maka 花火 Hana-bi mengambil inisiatif untuk mengolah sendiri lagu-lagu kegemaran 花火 Hana-bi berdasarkan maksud sebenar lirik lagu tersebut. Selain dapat menyanyikan lagu tersebut dalam irama dan dalam bahasa yang difahami, 花火 Hana-bi secara tidak langsung juga dapat belajar tentang Bahasa Korea. Malah, KDrama yang ditonton juga akan kelihatan lebih menarik dan babak di dalam cerita akan lebih mengesankan, terutama apabila setiap kali lagu yang telah diolah tersebut, diselitkan di dalam drama berkenaan.

Salah-sebuah drama yang OSTnya diolah oleh 花火 Hana-bi: KDrama 2009 - You're Beautiful

Cabaran yang paling besar dalam mengolah sesebuah lagu adalah untuk cuba mengekalkan maksud asal lirik lagu tersebut tanpa merosakkan keindahan iramanya. Oleh kerana 花火 Hana-bi sedaya-upaya berusaha untuk mengolah setiap baris lirik dengan mengekalkan maksud asal hampir setiap perkataan, maka adakalanya, olahan yang dilakukan kedengaran agak canggung di telinga pembaca. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa adakalanya lirik yang diolah kedengaran kurang tepat dari segi tatabahasanya atau dari segi konteks penggunaannya atau dari segi norma masyarakat kita. Ini kerana, 花火 Hana-bi seboleh mungkin cuba mengekalkan maksud asal setiap baris lirik dan setiap perkataan yang digunakan agar ianya tidak lari daripada maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh penulis lirik asal lagu tersebut.

Kepada peminat-peminat setia KDrama, 花火 Hana-bi berharap agar anda akan terus menyokong usaha 花火 Hana-bi ini dengan berkunjung ke blog ini dari masa ke semasa. Jika masa mengizinkan dan jika terdapat sumber yang mencukupi, 花火 Hana-bi akan meneruskan usaha untuk memaparkan pos-pos yang lebih menarik pada masa yang akan datang. Teruskan sokongan anda. Terima kasih!

| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Tuesday, 7 December 2010, in Catatan 花火 Hana-bi and tagged , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Comments are closed.