Sinopsis Episod 11: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod
| 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 11

HTK dan Shin Woo berganding bahu cuba 'menyelamatkan' GMN

Go Mi Nam (GMN) sekali lagi nyaris-nyaris terjerumus ke dalam perangkap yang dipasang oleh Yoo He Yi (YHY). GMN yang naif itu tidak langsung menyangka yang tindakannya itu bakal membawa akibat yang buruk bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada ahli-ahli A.N.Jell yang lain. Mujurlah Shin Woo, buat kesekian kalinya, muncul menyelamatkan keadaan. Hwang Tae Kyeong (HTK) yang terkejut menyaksikan tindakan Shin Woo itu, hanya mampu melihat sahaja gadis yang disukainya berada dalam pelukan lelaki lain. Namun, oleh kerana dalam diam terpaksa menghargai tindakan Shin Woo itu, dia akhirnyamenghulurkan jaketnya kepada Shin Woo untuk digunakan bagi melindungi wajah GMN daripada tatapan wartawan yang pada waktu itu begitu galak mengambil gambar GMN dan Shin Woo.

Selepas akhirnya berjaya dibawa keluar dari dewan tersebut oleh Shin Woo dengan bantuan pengawal keselamatan, GMN tidak langsung berani untuk memandang mata Shin Woo kerana takut dimarahi kerana telah berbohong kepada Shin Woo selama ini. Dia tidak tahu yang Shin Woo telahpun lama mengetahui tentang identiti sebenarnya itu. Shin Woo pula berlagak seolah-olah dia marah kerana berasa tertipu. Tetapi Shin Woo yang baik hati itu tidak sanggup membiarkan GMN terus gelisah. Kerana memahami gelodak perasaan GMN tatkala itu, Shin Woo terus menyatakan sokongannya terhadap GMN. Tetapi, dia tidak mahu terus menjadi ‘hyeong’ atau abang yang baik kepada GMN, sepertimana sebelum ini. Dengan kata lain, dia ingin membuka lembaran baru dalam hubungannya dengan GMN (Nota: ‘hyeong’ adalah gelaran untuk abang yang biasa digunakan di kalangan lelaki. Shin Woo sebenarnya sedang memberi ‘hintkepada GMN yang mulai saat itu, dia ingin dilihat sebagai seorang lelaki dan bukannya sebagai seorang abang di mata GMN).

Sewaktu GMN baru sahaja berasa sedikit lega dengan pengakuan Shin Woo itu, pintu bilik persalinan diketuk orang. HTK dan Jeremy muncul dari balik pintu. Melihatkan Jeremy yang tergamam sambil merenung tajam ke arah GMN, HTK segera memohon maaf kepada Jeremy serta Shin Woo kerana menyembunyikan identiti sebenar GMN daripada pengetahuan mereka berdua selama ini. GMN hanya mampu tertunduk kerana takutkan reaksi Jeremy. Dia tambah takut apabila Jeremy mula memarahinya.

GMN takut apabila direnung tajam oleh Jeremy

Namun, Jeremy sebenarnya hanya berpura-pura marah. Selepas ‘memarahi’ GMN, dia tiba-tiba sahaja kemudiannya mencium dahi GMN dan menjerit kegembiraan. Jeremy begitu gembira kerana dilema yang dihadapinya selama ini (kerana menyangka dirinya telah tertarik kepada seorang lelaki) akhirnya telahpun terurai. Oleh kerana terlalu gembira apabila mengetahui GMN yang disukainya itu adalah seorang perempuan, Jeremy cuba untuk memeluk GMN. Walau bagaimanapun, tindakannya segera dihalang oleh HTK dan Shin Woo yang sebelum itu cemburu melihat gadis kesukaan mereka berjaya dicium oleh Jeremy meskipun hanya di dahi!

Akhirnya, ketiga-tiga ahli A.N.Jell bersepakat untuk terus melindungi identiti sebenar GMN. Bagi mengelabui mata wartawan, Koordinator Wang terpaksa menyamar selaku teman wanita Shin Woo dengan bertukar pakaian dengan GMN. Selepas ‘teman wanita Shin Woo’ dibawa keluar daripada bilik persalinan A.N.Jell itu, GMN yang telah bertukar imej kepada Go Mi Nam yang ‘asal’ itu pun berjalan keluar dari bangunan bersama ahli-ahli A.N.Jell yang lain, berlagak seolah-olah dia sememangnya telahpun ada di situ sejak awal.

Sewaktu mereka berempat menghampiri van untuk dibawa pulang, YHY tiba-tiba muncul dan cuba berlagak ‘innocent‘, seolah-olah tidak bertanggung jawab langsung atas insiden yang baru berlaku itu. HTK yang menyedari bahawa punca insiden itu adalah hasil rancangan jahat YHY, menyuruh YHY agar berhenti dari lakonannya.

YHY pula, yang selalu berlagak baik di hadapan semua orang itu, akhirnya terpaksa menunjukkan belang sebenarnya setelah niat jahatnya itu didedahkan oleh HTK. Dia mengejek Shin Woo dan Jeremy yang dikatakan berlagak seperti malaikat kerana terlalu marah dengan sikap ahli-ahli A.N.Jell yang bersedia menerima baik kehadiran GMN meskipun telah mengetahui tentang ‘penipuan’ GMN itu. Kerana tindakannya itu, barulah Shin Woo dan Jeremy sedar sikap sebenar YHY yang berselindung di sebalik imej ‘Bidadari Negara’ itu. Dan barulah mereka tahu bahawa YHY dan HTK bukanlah pasangan kekasih sebenar sebagaimana yang dihebahkan media.

HTK pula hanya berlagak ‘kool’ selepas semua yang ada di situ menyedari bahawa selama ini, HTK terpaksa berlakon sebagai kekasih YHY demi melindungi identiti GMN. Menyedari hakikat itu, GMN berasa sungguh terharu kerana HTK sanggup berkorban demi kepentingan dirinya. Jeremy juga tersentuh dengan kebaikan HTK itu yang selama ini dirasakan lebih banyak mementingkan diri sendiri. Hanya Shin Woo yang berasa kurang senang, kerana berasa tercabar disebabkan tindakan (pengorbanan) HTK itu.

Jeremy menggunakan 'kuasa veto'nya untuk mengarahkan GMN berpindah keluar dari bilik HTK

Apabila mereka kembali ke rumah, Jeremy yang cemburu tidak membenarkan GMN tidur di bilik HTK lagi. GMN hanya menurut sahaja ‘arahan’ Jeremy itu. Sewaktu hendak berpindah keluar dari bilik HTK, dia ingin membawa keluar ‘pig-rabbit’ bersamanya tetapi tidak berani menyatakan keinginannya itu kerana takut kepada HTK.

Disebabkan tindakan GMN itu, HTK berasa tersinggung. Dia menyangka GMN sengaja tidak membawa keluar ‘pig-rabbit‘ bersamanya sewaktu berpindah kerana GMN tidak begitu menghargai ‘pig-rabbit‘, sepertimana dia tidak menghargai dan terlupa tentang pin rambut pemberian HTK yang tercicir di dalam dewan itu. HTK sebenarnya ternampak pin rambut tersebut terjatuh ke lantai sewaktu GMN sedang bergegas keluar dari dewan. Namun, sebelum sempat dicapainya, pin tersebut dipijak oleh wartawan-wartawan yang sedang mengejar GMN waktu itu. Oleh kerana menyangka GMN tidak menghargai kedua-dua pemberiannya itu, HTK mencampakkan pin yang telah rosak itu ke dalam tong sampah. Dia tidak tahu yang GMN sebenarnya sedang bersedih kerana kehilangan pin rambut kesayangannya itu. Malah, GMN juga tidak tahu yang pin tersebut berada dalam simpanan HTK.

Sempena pelancaran ‘single’ pertama GMN, sepertimana biasa, Jeremy ingin mengadakan parti untuk meraikannya. Malangnya, makanan di dalam peti sejuk telahpun kehabisan. Oleh itu, Jeremy mencadangkan kepada Shin Woo agar mereka keluar membeli-belah bersama GMN. Ketika itu, HTK tiba-tiba muncul dan menyuruh Jeremy membatalkan niatnya jika tidak mahu sebarang kemalangan menimpa dirinya disebabkan GMN. Ini kerana GMN disifatkan oleh HTK sebagai ‘zon kemalangan bergerak’. Shin Woo bagaimanapun, segera meningkas saranan HTK itu dan mencadangkan agar hanya HTK seorang sahaja yang tinggal di rumah sementara mereka yang lain keluar ke pasaraya bersama-sama GMN, sendainya HTK benar-benar takut ditimpa kemalangan disebabkan GMN.

Oleh kerana tidak mahu ditinggalkan keseorangan, HTK terpaksa turut serta dalam ‘ekspedisi’ A.N.Jell ke pasaraya. Sewaktu di pasaraya, HTK yang masih tersinggung dengan GMN itu hanya memandang dari jauh dengan perasaan sebal sewaktu melihat GMN dengan gembiranya memilih sayuran serta buah-buahan. Apa sahaja tindakan GMN, ada sahaja cemuhan serta ejekannya. Sewaktu GMN sedang memilih buah epal bersama-sama Shin Woo, HTK mengejeknya kerana tidak pandai menggunakan hidung ‘cik babe’nya dalam memilih buah yang baik. Sewaktu dia mendengar GMN berjanji akan membantu Jeremy menyediakan jus lobak merah setiap pagi, HTK mengejek yang selepas ini, dia akan melihat ‘si arnab’ meminum jus lobak merah setiap pagi. Sebenarnya setiap kata-kata sinisnya sekadar melepaskan perasaan tidak puas hati yang bersarang di hati.

Adegan lucu di pasaraya ketika sedang cuba melakonkan semula iklan mi segera

Mujurlah ada Jeremy yang berjaya menceriakan suasana. Sewaktu sedang memilih ais krim yang hendak dibeli, Jeremy terjumpa produk pertama yang pernah mereka iklankan sewaktu di awal kemunculan A.N.Jell dahulu. Dia mencadangkan agar mereka bertiga (dia, Shin Woo dan juga HTK) melakonkan semula iklan tersebut. Oleh kerana tidak mahu ditertawakan oleh GMN disebabkan aksi mereka dahulu yang kebudak-budakan, HTK dan Shin Woo kedua-duanya bersepakat untuk menegah Jeremy daripada meneruskan niatnya itu. Tetapi, Jeremy tidak langsung ambil pusing akan larangan mereka. Malah, bukan setakat iklan ais lolipop sahaja yang cuba lakonkannya semula, tetapi satu demi satu pengalaman yang pernah ditempuh A.N.Jell dalam mengiklankan produk diterokainya. Mahu tidak mahu, HTK serta Shin Woo terpaksa melayan keletah Jeremy itu.

Selesai membeli-belah, GMN menghampiri HTK yang waktu itu sedang berdiri berhampiran kaunter pembayaran. Waktu itu HTK sedang menunggu Jeremy dan Shin Woo yang masih belum selesai membeli-belah. Sebaik sahaja dia menghampiri HTK, dia diejek oleh HTK kerana terdapat pelekat tanda harga yang melekat pada rambut rambutnya. Melihatkan harga 3000 Won pada tanda harga itu segera mengingatkan dia pada pin pemberian HTK yang juga berharga 3000 Won (lebih kurang AS$3). Oleh kerana berasa bersalah dan sedih kerana telah kehilangan pin tersebut buat kali kedua, GMN terpaksa berterus-terang kepada HTK yang dia telah terhilangkan pin pemberian HTK itu sekali lagi. Dia terkejut apabila HTK memberitahunya yang pin tersebut tercicir di dalam dewan dan telah rosak dipijak orang.

Ada sesuatu yang cuba dikatakan oleh GMN tetapi HTK tidak menghiraukannya

Apabila HTK menyatakan agar dia membuang sahaja pin yang telah rosak itu, GMN ingin menyatakan yang dia tidak akan berbuat demikian kerana pin tersebut sangat berharga baginya, Namun, niatnya untuk meluahkan kata-kata tersebut terhalang apabila sederetan troli tiba-tiba muncul. Jika tidak kerana Shin Woo membantu dan menariknya ke tepi dengan memeluk pinggang GMN, sudah pasti GMN akan terjatuh sewaktu cuba mengelak daripada dirempuh oleh troli-troli tersebut. HTK yang cemburu melihatkan tindakan Shin Woo bertindak ‘memulaukan’ GMN yang masih belum sempat meluahkan pendapatnya tentang pin rambut kesayangannya itu.

Setelah kembali ke rumah, HTK mendapati dia sukar untuk melelapkan mata. Sewaktu ke dapur untuk mendapatkan minuman, dia terserempak dengan Go Mi Jae. Menerusi ibu saudara GMN itu, HTK mendapat tahu yang GMN pada waktu itu tidak berada di biliknya meskipun hari telah jauh malam. Setelah puas mencarinya di sekitar rumah, HTK mula risaukan keadaan GMN. Dia mula memikirkan tentang apa sebenarnya yang cuba diperkatakan oleh GMN sewaktu di pasaraya apabila HTK menyarankan agar GMN membuangkan sahaja pin rambut yang telah rosak itu.

Setelah puas berfikir dan membuat pelbagai andaian, akhirnya hati HTK berat mengatakan bahawa GMN pada waktu itu berada di dewan, iaitu tempat di mana pin rambutnya telah tercicir. HTK bergegas ke dewan tersebut meskipun dalam masa yang sama, dia cuba menyatakan pada dirinya yang GMN tidak mungkin akan pergi ke dewan berkenaan pada tengah-tengah malam itu semata-mata untuk mencari pin rambut. Apabila dia sampai di dewan tersebut, dia mendapati lampu terpasang tetapi GMN tiada di situ.

GMN berusaha mencari pin rambutnya yang tercicir di dewan

HTK menyangka bahawa telahannya sebelum ini adalah tepat, sedangkan dia tidak tahu bahawa GMN sedang bersembunyi di sebalik lipatan kerusi. GMN berbuat demikian kerana dia telah berjanji dengan pengawal keselamatan bertugas yang dia tidak akan membiarkan kehadirannya disedari oleh sesiapapun. Disebabkan tindakannya itu, GMN tidak langsung mengetahui bahawa lelaki yang datang itu sebenarnya adalah HTK. Dan HTK pula tidak langsung menyedari kehadiran GMN di situ.

Sebelum meninggalkan dewan tersebut, HTK sengaja meninggalkan pin di lantai dewan kerana dia dapat merasakan yang GMN akan datang mencari pin berkenaan. Sewaktu hendak meninggalkan dewan, dia ada terdengar bunyi bising dari dalam dewan, tetapi terpaksa bergegas meninggalkan dewan kerana mendapat panggilan penting berkenaan ibunya.

Ibu HTK, Mo Hwa Ran, memanggilnya datang kerana sekali lagi mahu memujuk HTK agar bersetuju menggubah semula lagu untuknya. Kali ini, Mo Hwa Ran menggunakan alasan dirinya kurang sihat untuk memancing simpati HTK. Malah, si ibu yang begitu mementingkan diri sendiri itu tidak langsung memikirkan tentang perasaan HTK. Malah, dia sibuk bercerita tentang tekanan yang dihadapinya disebabkan kehilangan cinta yang diagung-agungkannya itu. Menurut Mo Hwa Ran, hanya lagu itulah yang dapat memberikannya kekuatan pada dirinya yang kini sudah berputus asa untuk meneruskan hidup. Oleh kerana tidak mahu terus dilukai dan bagi mengelakkan diri daripada terus dipanggil berkali-kali atas alasan yang sama, HTK akhirnya terpaksa bersetuju dengan permintaan ibunya itu meskipun hatinya sangat terluka.

Apabila HTK pulang ke rumah, dia terserempak dengan GMN yang sedang duduk di dapur. Oleh kerana sebelum itu dia memang tercari-cari akan GMN, dia tidak percaya apabila GMN menyatakan yang dia berada di rumah sepanjang malam. Sewaktu sedang bersoal-jawab itu, GMN memberitahunya yang jarinya telah melekat antara satu sama lain sewaktu sedang cuba melekatkan cawan yang pecah.

Bukan sahaja berjaya mencantumkan semula pin rambutnya yang rosak, malah GMN juga 'berjaya' mencantumkan jari-jemarinya!

Jari GMN sebenarnya ‘tercantum’ sewaktu dia cuba mencantumkan semula pin rambutnya yang rosak (setelah berjaya menemui semula pin tersebut). Tetapi, kerana tidak mahu HTK tahu tentang hal itu, dia terpaksa berbohong kepada HTK. Sewaktu HTK sedang tekun membantu memisahkan dua jarinya yang ‘tercantum’ itu, GMN memohon maaf kepada HTK kerana terpaksa menyusahkan HTK sekali lagi. Tetapi, HTK yang baru pulang daripada menemui ibunya itu sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada GMN.

HTK sebenarnya masih berada dalam keadaan tertekan kerana terpaksa memenuhi permintaan ibunya yang tidak munasabah itu. Namun, disebabkan leka ‘bermain’ dengan  GMN, dia berjaya meletakkan ke tepi konflik yang melanda hatinya saat itu. Malah tanpa sedar, dia meluahkan apa yang terbuku di dada.

Meskipun HTK tidak menyatakan siapa yang telah menyebabkan dia berasa tertekan saat itu, namun daripada apa yang diceritakan oleh HTK kepadanya, GMN dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh HTK itu. Ini kerana, GMN sendiri pernah terdengar perbualan antara HTK dengan ibunya mengenai permintaan tersebut. Mengingati semula kata-kata mengguris hati yang pernah diluahkan oleh ibu HTK membuatkan GMN turut bersedih dan bersimpati dengan HTK.

HTK membantu menanggalkan gam dari jari GMN

Oleh itu, untuk cuba menghiburkan HTK, GMN cuba bergurau dengan HTK. Menurut GMN, dia bersedia melekatkan kesepuluh-sepuluh jarinya seandainya perbuatan itu dapat membantu mengalihkan perhatian HTK daripada masalah yang dihadapinya. Kata-kata GMN itu membuatkan hati HTK tersentuh. HTK sebenarnya dalam tidak sedar, semakin menghargai kehadiran GMN di sisinya. Setiap kali dia berada dalam kesedihan, dia dapat merasakan kehadiran GMN dalam hidupnya dan beroleh ketenangan disebabkan adanya GMN. Oleh kerana tersentuh dengan jenaka GMN itu, HTK beberapa kali menghadiahkan senyuman kepada GMN.

Tindakan HTK yang jarang tersenyum itu membuatkan hati GMN menjadi berdebar-debar. Dan, dia segera melakukan aksi hidung ‘cik babe’ sekali lagi bagi mengawal perasaannya. HTK yang berasa tidak senang hati setiap kali GMN mengamalkan teknik mengawal perasaan itu di hadapannya, akhirnya bertanya kepada GMN tentang sebab sebenar dia berbuat demikian. Namun, GMN yang takut hatinya dapat dibaca oleh HTK segera menafikan adanya rahsia di sebalik perbuatannya itu.

Sementara itu, berita tentang Shin Woo mempunyai teman wanita akhirnya sampai ke telinga peminat-peminat A.N.Jell. Mereka menangis sambil melaungkan ucapan tahniah kepada Shin Woo (sebagaimana yang dilakukan sebelum ini sewaktu mereka mendapat tahu tentang ‘hubungan cinta’ antara HTK dengan YHY). Melihatkan semua itu, GMN berasa tidak senang hati. Malah, dia berasa bersalah terhadap Shin Woo kerana bimbang berita itu akan menjejaskan hubungan antara Shin Woo dengan ‘gadis idamannya’. Apabila Shin Woo meminta bantuan GMN untuk bersemuka dengan gadis idamannya itu bagi menjelaskan hal sebenar, GMN terus bersetuju untuk membantu tanpa menyangka sedikitpun bahawa dialah sebenarnya gadis yang diminatinya oleh Shin Woo.

HTK dan Pengurus Ma terdengar perbualan antara GMN dengan Shin Woo

Pengurus Ma yang terdengar perbualan antara GMN dengan Shin Woo itu, mula risaukan keadaan GMN kerana dia menyangka GMN benar-benar menaruh perasaan terhadap Shin Woo. HTK yang turut terdengar perbualan itu cuba meyakinkan Pengurus Ma yang GMN tidak akan berani berdepan dengan gadis idaman Shin Woo atas dasar mempertahankan maruah dan kepentingan diri. HTK sebenarnya cuba untuk meyakinkan dirinya sendiri kerana dia tahu, GMN yang dikenalinya akan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan orang lain. Tambahan pula, Shin Woo telah banyak berjasa dalam hidupnya.

Oleh kerana dia mula berasa akan perhatian yang diberikan oleh GMN terhadap Shin Woo, HTK sengaja hendak mengenakan GMN sewaktu kesemua ahli A.N.Jell keluar beriadah ke sebuah taman rekreasi. Dalam satu perlawanan badminton, HTK sengaja meletakkan GMN di pasukan lawan bersama Jeremy. Untuk melepaskan rasa geram yang terbuku di dada, dia sengaja ‘menghentam’ bola tangkis sekuat-kuat hatinya ke arah GMN.

GMN cuba membuktikan bahawa dia bukanlah lemah sebagaimana yang didakwa HTK

GMN pula, kerana geram akan perbuatan HTK itu dan kerana diejek lemah dalam semua perkara oleh HTK, cuba untuk menunjukkan kehebatannya dengan bergayut di palang. Dia ingin membuktikan kepada HTK yang dia bukanlah seorang yang lemah sebagaimana yang didakwa. Meskipun cuba dijatuhkan oleh Jeremy dengan pelbagai cara, namun GMN tetap bertahan. Malangnya, percubaan GMN untuk bertahan menemui kegagalan apabila Shin Woo tiba-tiba sahaja mencium dahinya. Oleh kerana terkejut dengan tindakan Shin Woo itu, GMN akhirnya terjatuh.

Insiden tersebut bukan sahaja membuatkan hati HTK tersentap, malah ia juga membuatkan hati HTK bertambah yakin yang GMN memang menyukai Shin Woo. Oleh kerana sakit hati, sewaktu GMN datang menghantar jus limau nipis untuknya atas permintaan Jeremy, HTK meluahkan kata-kata sinis kepada GMN. HTK memperli GMN kononnya sanggup sanggup berbuat apa sahaja demi Shin Woo.

HTK langsung tidak menyangka yang kata-katanya itu membuatkan hati GMN terguris. Malah, hati GMN tambah terguris apabila HTK menyatakan, seandainya dia adalah Shin Woo, dia juga akan berasa tertekan dengan tindakan GMN yang dianggapnya terus-terusan cuba memikat Shin Woo itu. Kata-katanya HTK itu membuatkan GMN bersedih kerana dia beranggapan, HTK akan berasa tertekan seandainya dia tahu bahawa GMN menyukainya.

GMN terluka dek kata-kata HTK

GMN yang telah lama memendamkan perasaan kerana tidak mahu menyusahkan HTK, berasa sangat sedih apabila memikirkan hakikat yang cintanya pada HTK boleh membuatkan lelaki tersebut merasa terbeban. Kerana terluka dengan kata-kata HTK, GMN menyuruh HTK agar berhenti campur-tangan dalam halnya. Dan, dia juga mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut demi melupakan cintanya pada HTK.

Namun, sebelum meneruskan niatnya itu, ada misi yang perlu GMN diselesaikan. Sebagaimana yang telah dijanjikan dengan Shin Woo, dia akan pergi berjumpa dengan gadis idaman Shin Woo untuk berterus-terang tentang hubungan sebenar antara dia dengan Shin Woo. Sebelum bertolak, GMN sempat memberitahu Pengurus Ma akan niatnya itu.

Pengurus Ma yang risau GMN akan melukakan hatinya sendiri dengan berbuat demikian, meluahkan kebimbangannya pada HTK. HTK yang tidak menyangka GMN akan bertindak sebodoh itu (kerana menyangka GMN menaruh hati pada Shin Woo), cuba menghalang GMN daripada pergi menemui gadis tersebut. Dia memarahi GMN yang dianggapnya bakal menempah malang untuk diri sendiri. Malah, dengan berbuat demikian, GMN terpaksa mengorbankan perasaannya sendiri demi menyatukan Shin Woo dengan gadis idamannya itu.

HTK sendiri terkejut dengan tindakannya...

GMN walau bagaimanapun, enggan berganjak daripada keputusannya. Dia tidak mengerti mengapa HTK harus menghalangnya daripada bertemu dengan gadis tersebut. Malah, dia juga tidak mengerti mengapa HTK harus marah-marah sebegitu. HTK pula, oleh kerana terlalu sakit hati dengan kedegilan GMN itu, cuba untuk bekeras. Namun, sebaik sahaja dia melihat GMN sekali lagi menangis ketika cuba mempertahankan pendapatnya, HTK ‘hilang kawalan’ dan bertindak dengan melakukan sesuatu yang dia sendiri terkejut dengan perbuatan spontannya itu…

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Monday, 23 August 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s