Catatan 花火 Hana-bi: Alangkah Besarnya Tsunami Yang Melanda Hidup

Tsunami dalam KMovie 2009 - Haeundae

Aduhai! Betapa hebatnya dugaan hidup ini. Betapa besarnya tsunami yang pernah melanda hidup suatu masa dahulu. Kita mungkin pernah tersasar tatkala ia melambungkan kita jauh dari dasar tempat yang selama ini kita berpijak. Kita juga mungkin pernah terpaksa bertatih untuk bangkit semula tatkala tubuh yang suatu masa dahulu kukuh berdiri menjadi lumpuh akibat hentaman ombak ganas itu. Biar sesukar manapun, kita tetap bangkit semula, menguatkan iltizam demi meneruskan perjalanan yang masih belum berakhir.

Namun, dalam kesibukan meniti hari, terkadang kita terlupa untuk mengambil iktibar akan kesulitan lampau. Terkadang kita terlupa untuk menoleh sejenak ke belakang agar tsunami yang pernah melanda tidak akan berulang lagi. Malangnya, kita hanya akan terpanggil untuk menoleh tatkala tsunami yang ganas itu kembali menjenguk diri. Pada saat itu, barulah kita sedar bahawa tanda-tanda awal kedatangan tsunami itu sebenarnya telahpun terbentang luas di hadapan mata sejak sekian lama.

Itulah yang berlaku kepada 花火 Hana-bi pada tanggal 30 Julai 2010 yang lalu. Tarikh yang membawa titik hitam dalam hidup yang sukar untuk dilupakan. Beberapa hari sebelum kemunculan tsunami itu, memang telahpun ada tanda-tanda awal kedatangannya. Namun, mungkin kerana sering diuji dengan beberapa tsunami kecil sejak kebelakangan ini, 花火 Hana-bi menjadi alpa dan tenggelam dalam keasyikan duniawi. Malah, 花火 Hana-bi langsung tidak menyangka yang ianya merupakan tanda-tanda yang menunjukkan tsunami besar bakal menjelma.

KMovie 2009 - Haeundae

Setelah dilanda tsunami sebegini, setelah akhirnya terpaksa menoleh sejenak ke belakang, barulah 花火 Hana-bi sedar akan kealpaan diri ini. Alangkah baiknya seandainya masa dapat diundur semula. Alangkah baiknya seandainya hidup dapat dicatur semula. Namun, semua itu adalah mustahil untuk berlaku kerana masa akan terus beredar dan jantung akan terus berdegup sehingga sampai waktunya dipanggil Tuhan. Lalu, apa yang mampu di lakukan hanyalah berdoa agar diberikan kekuatan untuk menempuh ujian ini dan berdoa agar tidak akan berulang lagi tsunami yang sama.

花火 Hana-bi percaya, setiap manusia ada cabaran dan kesulitan masing-masing. Apa yang membezakan kita adalah bagaimana kita berdepan dengan situasi tersebut. Ada yang terlalu terbawa-bawa dengan permasalahan diri sehingga menjejaskan masa hadapannya. Ada yang mengambil jalan singkat dengan mendekatkan diri kepada perkara-perkara yang mendatangkan mudarat di kemudian hari. Dan, yang paling menyedihkan, ada yang mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat sendiri kerana berpendapat kesengsaraan hidup akan berakhir dengan kematian.

Dunia hiburan Korea kehilangan seorang lagi bintang...

Bagi yang mengikuti perkembangan semasa dunia hiburan di Korea, pastinya terkejut dan bersedih dengan berita pemergian Park Yong Ha (박용하), seorang bintang Hallyu (한류) yang suatu masa dahulu terkenal menerusi KDrama 2002 – Winter Sonata. Aktor yang kembali menyinar menerusi KDrama 2008 – On Air dan KDrama 2009 – A Man’s Story ini dikatakan membunuh diri pada 30 Jun yang lalu disebabkan tekanan hidup selepas perniagaannya berhadapan dengan bermasalah dan bapanya pula disahkan mengidap kanser perut pada peringkat kritikal.

Kematian Park Yong Ha merupakan satu lagi kehilangan besar bagi dunia hiburan Korea kerana mendiang sebenarnya masih bergiat aktif dalam dunia lakonan. Malah, mendiang juga bakal digandingkan dengan aktres tersohor, Yoon Eun Hye, menerusi KMovie 2010 – Love Song, sebuah filem yang akan dirakamkan semula berdasarkan sebuah filem Hong Kong terkenal. Melihatkan perjalanan hidup Park Yong Ha, pastinya ramai yang tidak menyangka mendiang akan mengambil tindakan drastik sebegini meskipun mendiang dikhabarkan menderita insomnia sejak 14 tahun yang lalu (mungkin kerana tekanan hidup). Dan, meskipun perbuatan membunuh diri bukanlah satu perkara yang terlalu asing di kalangan artis Korea, namun tindakan menamatkan riwayatnya oleh pelakon berusia 33 tahun ini tetap dilihat oleh rakan-rakan seperjuangan mendiang sebagai satu hakikat yang sukar untuk diterima.

Park Yong Ha

Selaku peminat drama/filem Korea, 花火 Hana-bi berharap agar tidak akan ada lagi artis Korea yang mengikut jejak-langkah aktor terkenal ini. 花火 Hana-bi juga berharap agar kisah ini dapat dijadikan iktibar kepada kita semua, pembaca blog ini. Walau sehebat manapun dugaan hidup ini, walau sebesar manapun tsunami yang melanda, kita tidak harus membiarkan diri kita hanyut dibawa ombak meskipun berkali-kali kita hampir lemas dipukul badai. Semoga kita senantiasa diberikan kekuatan untuk berdepan dengan apa jua cabaran yang mendatang.


|花火 Hana-bi|

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Thursday, 5 August 2010, in Catatan 花火 Hana-bi, Info Artis, K-Star and tagged , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s