Info Drama: KDrama 2010 – Cinderella’s Sister

KDrama 2010 - Cinderella's Sister

Maklumat Am:

  • Tajuk (Hangeul): 신데렐라 언니
  • Tajuk (Rumi): Shin-de-rel-la Eon-ni
  • Tajuk (Bahasa Inggeris): Cinderella’s Sister
  • Tajuk Alternatif: Cinderella Unni / Cinderella’s Stepsister /
    Cinderella’s Like Fate / A Modern Story of Revenge
  • Genre: Melodrama
  • Penerbit: Lee Sang Baek (이상백)
  • Pengarah: Kim Yeong Jo (김영조)
  • Penulis Skrip: Kim Gyu Wan (김규완)
  • Bil. Episod: 16+4
  • Purata Rating Penonton: 19.2% (Korea)
    [Sumber: TNS Media Korea, dipetik dari DramaWiki]
  • Stesen Penyiaran: KBS2
  • Tarikh Siaran: 31 Mac 2010 hingga 03 Jun 2010
  • Waktu Siaran: Rabu & Khamis 21:55
  • Lagu Tema: Cinderella’s Sister OST, Cinderella’s Sister OST 2

Pelakon-Pelakon Utama:

  • Moon Geun Young (문 근영) sebagai Song Eun Jo (송은조) /
    Goo Eun Jo (구은조)
  • Seo Woo (서우) sebagai Goo Hyo Seon (구효선)
  • Cheon Jeong Myeong (천정명) sebagai Hong Ki Hoon (홍기훈)
  • Taecyeon / Ok Taek Yeon (옥택연) sebagai Han Jeong Woo (한정우)
    • Yoon Seok Hyeon (윤석현) / Moon Seok Hwan (문 석환) sebagai Jeong Woo versi remaja

Pelakon-Pelakon Tambahan:

  • Lee Mi Sook (이미숙) sebagai Song Kang Sook (송강숙) / Ibu Eun Jo
  • Kim Gap Soo (김갑수) sebagai Goo Dae Seong (구대성) / Bapa Hyo Seon
  • Kang Seong Jin (강성진) sebagai Yang Hae Jin (양해진) / Bapa Saudara Hyo Seon
  • Seo Hyeon Cheol (서현철) sebagai Encik Jang a.k.a Jang Sshi (장씨) / Kekasih Kang Sook
  • Choi Il Hwa (최일화) sebagai Pengerusi Hong a.k.a. Hong Hoe Jang (홍회장) / Bapa Ki Hoon
  • Go Se Won (고세원) sebagai Hong Ki Jeong (홍기정) / Abang Tiri Ki Hoon
  • Kim Cheong (김청) sebagai Ibu Tiri Ki Hoon
  • Yeon Woo Jin (연우진) / Seo Ji Hoo (서지후) sebagai Dong Soo (동수) / Cinta pertama Hyo Seon
  • Seo Ji Eun (서지은) sebagai Nam I (남이) / Kawan sekolah Eun Jo dan Hyo Seon

Sinopsis Ringkas:
Drama ini mengisahkan tentang dua gadis yang berlainan tingkah-laku serta latar-belakang yang akhirnya bersatu dalam satu ikatan yang dinamakan kekeluargaan. Song Eun Jo adalah seorang gadis miskin yang sepanjang hidupnya sentiasa diburu keresahan kerana tidak menyenangi sikap ibunya yang kasar serta sering bertukar-tukar pasangan. Oleh kerana dia terpaksa berdikari sejak kecil, Eun Jo membesar sebagai seorang gadis yang keras hatinya. Kehidupannya jauh berbeza dengan kehidupan Goo Hyo Seon, seorang gadis dari keluarga berada yang dibesarkan dengan penuh kasih-sayang. Oleh kerana dia telah kehilangan ibu sejak kecil, dia begitu dimanjakan oleh semua orang, terutama oleh ayahnya, seorang pengusaha kilang arak beras.

Kehidupan mereka bermula apabila ibu Eun Jo, Song Kang Sook mengahwini ayah Hyo Seon, Goo Dae Seong. Hyo Seon yang gembira kerana mendapat seorang ibu yang begitu didambakan selama ini, bertambah gembira kerana turut mendapat seorang kakak. Walau bagaimanapun, harapan Hyo Seon untuk hidup bahagia bersama dua ahli baru dalam keluarganya itu berkecai apabila dia mendapat layanan yang terlalu dingin daripada kakak tirinya. Hyo Seon yang sepanjang hayatnya tidak pernah mengenal erti kesusahan itu, tidak dapat menerima hakikat apabila mendapati kakak tirinya bukan sahaja melayannya dengan kasar malah begitu membenci dirinya.

Eun Jo sebenarnya adalah seorang gadis yang tidak pernah tahu tentang erti menyayangi dan disayangi. Sejak kecil, dia tidak pernah dilayan dengan baik oleh sesiapa, termasuk daripada ibunya sendiri. Oleh itu, dia merasa kekok apabila mendapati Hyo Seon dan bapanya menerima baik kedatangan dia dan ibunya. Dia juga bimbang seandainya kesenangan hidup yang dikecapinya saat itu akan berakhir dengan tiba-tiba kerana dia tahu ibunya sebenarnya tidak ikhlas mengahwini bapa Hyo Seon dan hanya berpura-pura menyayangi Hyo Seon. Dia bimbang seandainya rahsia ibunya terbocor, mereka akan dihalau keluar dari rumah tersebut dan terpaksa menempuh kehidupan yang perit sekali lagi.

Oleh kerana berasa bersalah terhadap Hyo Seon dan bapanya kerana penipuan ibunya itu, Eun Jo tidak dapat hidup dengan bersenang-lenang di rumah besar tersebut sebagaimana ibunya. Perasaan itu dizahirkan menerusi tingkah-lakunya yang kasar. Dia tidak mahu berpura-pura baik sepertimana ibunya kerana dia tidak mahu dikatakan hipokrit tentang perasaannya sendiri.

Walau bagaimanapun, di Dae Seong Do Ga itu, selain Hyo Seon dan bapanya, terdapat seorang lagi insan yang cuba untuk mendekati Eun Jo. Insan tersebut adalah Hong Ki Hoon, anak angkat Dae Seong yang bekerja sambilan di kilang arak tersebut. Ki Hoon juga, sebagaimana Eun Jo, datang daripada sebuah keluarga yang bermasalah. Meskipun pernah terbeban kerana ditindas oleh keluarga sendiri, Ki Hoon tidak bersikap pesimis seperti Eun Jo. Malah, Ki Hoon adalah seorang pemuda yang periang serta sentiasa positif dalam hidupnya.

Sebenarnya, Ki Hoon pernah berdepan dengan banyak kesulitan sebelum dia ‘diselamatkan’ oleh Dae Seong. Kerana dilahirkan sebagai anak luar nikah, dia mendapat layanan buruk daripada keluarga tirinya setelah dia dipisahkan daripada ibu kandungnya sendiri sejak kecil. Namun, Ki Hoon bernasib baik kerana Dae Seong telah membantunya keluar daripada semua kemelut itu. Oleh itu, apabila Ki Hoon bersua dengan Eun Jo, yang mengingatkan dia dengan dirinya yang lampau, Ki Hoon bertekad untuk membantu Eun Jo. Dia ingin melihat Eun Jo yang tidak pernah tersenyum itu berubah menjadi insan yang lebih optimis.

Fakta Menarik:
Seo Woo (SW) yang memegang watak sebagai adik Moon Geun Yeong (MGY) dalam drama ini sebenarnya adalah lebih tua daripada MGY. Di dalam drama, usia watak yang dipegang SW adalah 2 tahun lebih muda daripada usia watak yang dipegang MGY, sedangkan SW sebenarnya adalah 2 tahun lebih tua daripada MGY. Mungkin kerana wajahnya yang kebudak-budakan, SW yang sudah berusia 25 tahun itu kelihatan sebaya atau lebih muda daripada MGY yang baru berusia 23 tahun. Secara kebetulan pula, watak SW dalam drama ini berusia 23 tahun manakala watak MGY berusia 25 tahun (26 tahun usia Korea).

Fakta Menarik:
Drama ini adalah drama pertama lakonan Cheon Jeong Myeong (CJM) sejak kembali ke dunia lakonan selepas berehat selama dua tahun kerana menjalani latihan ketenteraan. Sewaktu di latihan tentera, beliau pernah memegang jawatan selaku pembantu jurulatih kerana kebolehannya dalam pelbagai lapangan termasuk menembak dan berlari. Di dalam drama ini, CJM membuktikan yang latihan ketenteraan yang dijalaninya itu tidak sia-sia apabila dia mendemonstrasi kepantasannya berlari dalam beberapa adegan yang memerlukan dia memecut pantas mengejar seseorang/sesuatu.

Fakta Menarik:
Drama ini memerlukan watak yang dipegang oleh Taecyeon atau nama penuhnya Ok Taek Yeon (옥택연), bertutur di dalam dialek daerah Gyeongsang yang dinamakan ‘Saturi’ (사투리). Taecyeon adalah penyanyi ‘rap‘ dari Kumpulan 2PM yang dibesarkan di Amerika Syarikat dan terpaksa mempelajari dialek tersebut semata-mata untuk menghidupkan watak Jeong Woo. Mujurlah dua daripada rakan sekumpulannya yang bertutur di dalam dialek ‘Saturi’ bersedia membantu Taecyeon mempelajari dialek tersebut. [Sumber: AllkPop dipetik dari NATE News]

Fakta Menarik:
Sewaktu ‘The 2010 KBS Drama Awards’ yang berlangsung pada 31 Disember 2010, Moon Geun Yeong dan Kim Gap Soo (yang memegang watak sebagai ayah) dinobatkan sebagai pelakon wanita dan lelaki paling cemerlang untuk tahun 2010. Berikut adalah anugerah-anugerah yang dimenangi mereka menerusi drama ini:

  • Anugerah Pelakon Wanita Paling Cemerlang (Top Excellence Award – Actress): Moon Geun Yeong
  • Anugerah Pelakon Lelaki Paling Cemerlang (Top Excellence Award – Actor): Kim Gap Soo
  • Anugerah Bintang Popular (Popularity Award): Moon Geun Yeong

[Sumber: DramaWiki]

Sumber Utama Info: DramaWiki, HanCinema, Crunchyroll

Sumber Video: Viikii

Ulasan Ringkas 花火 Hana-bi:
Drama ini padat dengan isu kekeluargaan yang menyentuh perasaan. Ia memaparkan tentang  keinginan seseorang anak untuk memperolehi kasih-sayang daripada keluarga sehingga membawa kepada situasi yang akhirnya membuatkan mereka berada dalam keadaan tertekan. Drama ini juga mengetengahkan tentang sifat semulajadi manusia yang serba lemah. Apabila berdepan dengan situasi yang meruncing, adakalanya seseorang insan yang pada lumrahnya berperilaku baik, bertukar menjadi insan yang bertentangan terus dengan sifat azalinya semata-mata demi kelangsungan hidup.

Drama ini begitu berkesan di hati penonton kerana setiap watak utamanya digarap dengan baik. Lakonan yang berkesan bukan sahaja daripada pelakon-pelakon utama, malah daripada pelakon-pelakon pembantu membuatkan drama ini kelihatan begitu realistik. Jalan cerita yang unik, pilihan lagu tema yang tepat serta teknik sinematografi yang baik membuatkan drama ini begitu menarik meskipun ia sarat dengan adegan yang mencengkam perasaan.


Rating 花火 Hana-bi:

  • Kepuasan Menonton: [ Wajib Tonton! ]
  • Kualiti Drama Secara Keseluruhan: [ Hebat! ]

———————————————————————————————————————Penafian: 花火 Hana-bi tidak bertanggungjawab di atas kesahihan maklumat yang muatkan di sini. Penulisan dilakukan berdasarkan pemahaman dari sumber-sumber yang telah dinyatakan di atas. Sinopsis adalah berdasarkan pemahaman 花火 Hana-bi terhadap intipati drama yang ditonton. Ulasan yang diberikan pula adalah pendapat peribadi dan tidak mempunyai sebarang kepentingan lain.
———————————————————————————————————————

*Nota: Bahagian berwarna biru dikemaskini pada 22 Januari 2011

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Monday, 7 June 2010, in Info Drama, K-Drama and tagged , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 1 Comment.

  1. i agree, en joo tak tahu wahat is love…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s