Catatan 花火 Hana-bi: ‘Cinderella’s Sister’ Akhirnya Mampu Kembali Tersenyum

Ki Hoon akhirnya 'berani' memeluk Eun Jo ketika Eun Jo dalam kesedihan

KDrama 2010 – Cinderella’s Sister (CS) berjaya membuktikan bahawa sesebuah kisah percintaan tidak memerlukan adegan-adegan yang panas serta hangat untuk menonjolkan kepada penonton tentang betapa dalamnya cinta sepasang kekasih. Cinta yang dizahirkan dari redup pandangan serta kilauan mata yang berkaca sudah mampu untuk membuatkan hati penonton tersentuh. Pasangan Eun-Ki (Eun Jo dan Ki Hoon) dalam drama yang dilanjutkan sebanyak 4 episod ini berjaya membawa penonton kembali mengenal tentang erti sebuah percintaan yang tulus dan suci, yang mungkin dikategorikan oleh sesetengah pihak sebagai cinta ‘platonik’.

花火 Hana-bi sebenarnya sengaja menangguhkan penulisan untuk paparan kali ini kerana ingin menunggu catatan ‘rating‘ penonton untuk minggu ke-9 dikeluarkan secara rasmi. Sebagaimana yang dijangka, catatan ‘rating‘ yang diperolehi untuk kedua-dua episod pada minggu ini, iaitu Episod 17 dan Episod 18, adalah jauh lebih tinggi daripada catatan yang pernah direkodkan untuk minggu-minggu sebelumnnya. Berdasarkan sumber yang dikeluarkan oleh TNS Media Korea yang dipetik dari laman web dramawiki drama ini, catatan ‘rating‘ yang diperolehi untuk Episod 17 dan Episod 18 masing-masing melonjak kepada 23.2 dan 21.0 peratus (purata seluruh Korea Selatan), dengan kedudukan di tempat paling tinggi dalam senarai pilihan penonton – satu pencapaian yang cukup membanggakan!

Mungkin ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa catatan ‘rating‘ pada minggu ini meningkat kerana saingan CS kini sudah berkurangan, memandangkan dua buah drama yang bermula serentak dengan drama ini, iaitu KDrama 2010 – Prosecutor’s Princess dan KDrama 2010 – Personal Preference/Taste telahpun tamat penyiarannya pada minggu lepas. Namun bagi 花火 Hana-bi, CS sememangnya layak untuk mendapat catatan sebaik ini. Ini kerana, kedua-dua episod pada minggu ini adalah antara episod terbaik yang pernah 花火 Hana-bi tonton. Mungkin kerana kedua-dua episod pada minggu ini tidaklah begitu berat berbanding sepanjang 12 minggu sebelumnya, jadi 花火 Hana-bi akhirnya dapat menonton drama ini dalam suasana yang lebih santai sedikit.

Ki Hoon akhirnya mampu tersenyum kembali meskipun masih terbayang kesedihan di matanya

花火 Hana-bi percaya peminat-peminat drama Korea yang setia mengikuti perkembangan drama ini saban minggu pastinya gembira dengan apa yang disajikan untuk minggu ini. Bukan sahaja hubungan antara Eun Jo dengan adik tirinya, Hyo Seon menjadi semakin rapat, malah hubungannya dengan Ki Hoon juga sudah semakin pulih. Dan, pada minggu ini, penonton dapat menyaksikan Ki Hoon sedikit demi sedikit kembali kepada dirinya yang asal sebagaimana 8 tahun lalu; akhirnya dapat kembali mengukirkan senyumannya yang mengancam itu (‘killer smile‘!) dan semakin berani meluahkan perasaannya terhadap Eun Jo – kerana dia kini tidak lagi dibebani rasa bersalah memandangkan semua rahsianya telah diketahui oleh Eun Jo (meskipun masih jelas terbayang kesedihan di matanya).

***Spoiler Alert***

Eun Jo akhirnya 'mengiktiraf' kepentingan Ki Hoon dalam hidupnya

Penonton pasti tersentuh dengan adegan-adegan romantis di dalam kereta dan di dalam bas sewaktu Eun-Ki dalam perjalanan mencari ibu Eun Jo yang menghilangkan diri, dan tersentuh melihatkan reaksi Eun Jo setelah surat yang ditulis oleh Ki Hoon 8 tahun lalu akhirnya dapat ditatapnya. Dan adegan yang paling menyentuh perasaan, pastinya adegan Eun Jo memeluk Ki Hoon di tengah-tengah jalanraya yang sibuk dengan kenderaan selepas Ki Hoon dilepaskan dari ‘kurungan’ abang tirinya.

花火 Hana-bi percaya, bukan sahaja peminat-peminat CS bergembira dengan suntikan adegan-adegan romantis ini, malah pihak produksi juga pastinya sedang tersenyum puas dengan pencapaian yang diperolehi untuk minggu ini. Akhirnya… semua orang dapat kembali tersenyum!

Nota: Minggu hadapan adalah minggu terakhir siaran drama ini. Walaupun berdebar menanti kesudahan drama ini (harap-harapnya berkesudahan dengan baik), 花火 Hana-bi sebenarnya agak keberatan untuk ‘melepaskan’ drama ini. Berat hati kerana tidak pasti bilakah agaknya akan muncul lagi sebuah drama sebaik ini pada masa akan datang…

| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Sunday, 30 May 2010, in Catatan 花火 Hana-bi and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s