Info Drama: KDrama 2010 – Oh! My Lady

KDrama 2010 - Oh! My Lady

Maklumat Am:

  • Tajuk (Hangeul): 오! 마이 레이디
  • Tajuk (Rumi): O! Ma-i Le-i-di
  • Tajuk (Bahasa Inggeris): Oh! My Lady
  • Tajuk Alternatif: Oh! My Lady
  • Genre: Komedi Percintaan 

     

  • Pengarah: Park Yeong Soo (박영수)
  • Penulis Skrip: Goo Seo Yeong (구선영)
  • Bil. Episod: 16
  • Purata Rating Penonton: 10.3% (Korea) [Sumber: TNS Media Korea]
  • Stesen Penyiaran: SBS
  • Tarikh Siaran: 22 Mac 2010 hingga 11 Mei 2010
  • Waktu Siaran: Isnin & Selasa 20:55
  • Lagu Tema: Oh! My Lady OST

Pelakon-Pelakon Utama:

  • Chae Rim (채림) sebagai Yoon Gae Hwa (윤개화), 35 tahun
  • Choi Si Won (최시원) sebagai Seong Min Woo (성민우), lewat 20-an
  • Lee Hyeon Woo (이현우) sebagai Yoo Shi Joon (유시준) / pemilik The Show Company
  • Park Han Byeol (박한별) sebagai Hong Yoo Ra (홍유라) / Cinta pertama Min Woo
  • Moon Jeong Hee (문정희) sebagai Han Jeong Ah (한정아) / Isteri Yoo Shi Joon / Pereka Tari

Pelakon-Pelakon Tambahan:

  • Kim Yoo Bin (김유빈) sebagai Seong Ye Eun (예 은) / anak Min Woo
  • Yoo Seo Jin (유서진) sebagai Lee Bok Nim (이복님) / kawan baik Gae Hwa
  • Yoo Tae Woong (유태웅) sebagai Kim Byeong Hak (김병학) / bekas suami Gae Hwa
  • Bang Joon Seo (방준서) sebagai Kim Min Ji (김민지) / anak Gae Hwa
  • Heo Joon Seok (허준석) sebagai Choi Tae Goo (최태구) / kawan Min Woo
  • Kim Hee Won (김희원) sebagai Jeong Yoon Seok (정윤석) / Pengurus Min Woo
  • Hwang Hyo Eun (황효은) sebagai Oh Jae Hee (오재희) / Kakitangan The Show Company
  • Hong Jong Hyeon (홍종현) sebagai Kim Jin Ho (김진호) / Kakitangan The Show Company
  • Lee Dae Yeon (이대연) sebagai Eom Dae Yong (엄대용) / Penerbit Teater
  • Chu Hun Yub (추헌엽) sebagai Chae Ho Seok (채호석) / Teman lelaki Han Jeong Ah
  • Kim Hee Joon (김희준) sebagai Pegawai Keselamatan di kondo Min Woo
  • Yeo Ji Hyo (여지효) sebagai pelajar sekolah/peminat Min Woo (Penampilan istimewa, Ep.02-03)
  • Lee Han Wie (이한위) sebagai pengarah drama (Penampilan istimewa, Ep.01)
  • Jeon Hye Jin (전혜진) sebagai pelakon drama (Penampilan istimewa, Ep.01)
  • Na Yeong Hee (나영희) sebagai bekas majikan Gae Hwa Penampilan istimewa, Ep.01)
  • Choi Seol Ri (최설리) / Sulli f(x) sebagai dirinya sendiri (Penampilan istimewa sebagai model bersama Min Woo dalam pertunjukan fesyen Andre Kim, Ep.01)
  • Jessica (제시카) Girls’ Generation/SNSD sebagai dirinya sendiri (Penampilan istimewa, Ep.07)
  • Hyo Yeon (효연) Girls’ Generation/SNSD sebagai dirinya sendiri (Penampilan istimewa, Ep.07)
  • Choi Soo Young (최수영) Girls’ Generation/SNSD sebagai dirinya sendiri (Penampilan istimewa, Ep.07)
  • Seo Myeong Gyoo (서명규) sebagai kawan Min Woo (Penampilan istimewa)

Sinopsis Ringkas:
Drama ini merupakan cerita di sebalik tabir tentang kisah kehidupan seorang artis yang popularitinya banyak bergantung kepada susuk tubuh yang sasa serta rupa paras yang menawan. Meskipun kurang berbakat dalam bidang lakonan, namun lakonannya tetap mendapat sambutan hangat daripada para peminat. Oleh kerana itu jugalah, dia sering diburu oleh peminat serta media yang  sentiasa ingin mencungkil apa sahaja berita tentang dirinya. Maka, apabila seorang anak kecil tiba-tiba muncul dalam hidupnya, artis ini sedaya-upaya cuba untuk menyembunyikan rahsia tersebut daripada semua pihak kerana bimbang imejnya selaku artis yang masih bujang akan tercalar, dan seterusnya menjejaskan kariernya.

Artis yang disebutkan adalah Seong Min Woo, seorang model, penyanyi dan pelakon yang disukai ramai tetapi sebenarnya tidaklah begitu berbakat dalam bidang lakonan. Oleh kerana terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi dan sebagainya, dia tidak mempunyai banyak masa untuk mempelajari tentang selok-belok dunia lakonan. Meskipun dalam diam dia mengakui terdapat banyak kelemahan dalam lakonannya, Min Woo tidak begitu mengambil serius tentang hal itu sehinggalah muncul seorang wanita yang dengan berani mengkritik tentang mutu lakonannya selama ini.

Yoon Gae Hwa, adalah bekas pembantu rumah yang pernah dipecat oleh Min Woo kerana cuai dalam kerja. Tetapi, wanita tersebut muncul kembali dalam hidup Min Woo sebagai seorang kakitangan di sebuah syarikat penerbitan teater muzikal yang berminat untuk mengambil Min Woo sebagai pelakon utama mereka. Yoon Gae Hwa sebenarnya adalah seorang janda beranak satu yang terpaksa memulakan hidup baru selepas bercerai dengan suaminya yang bermain kayu tiga. Oleh kerana telah lama meninggalkan alam pekerjaan, Gae Hwa menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan sehinggalah dia bertemu dengan pemilik The Show Company, sebuah syarikat penerbitan teater.

The Show Company sebenarnya sedang berdepan dengan masalah kewangan. Demi menarik minat pelabur, pemilik syarikat terpaksa mengambil langkah drastik dengan menjemput Min Woo menyertai projek syarikat mereka meskipun dia sendiri meragui kebolehan Min Woo selaku pelakon. Dan apabila Gae Hwa mengaku yang dia mengenali Min Woo, dia diterima sebagai kakitangan baru tetapi dengan syarat, Min Woo harus bersetuju menyertai teater muzikal terbaru syarikat tersebut.

Sewaktu dalam proses cuba memujuk Min Woo yang enggan menyertai teater tersebut kerana bermusuhan dengan pemilik The Show Company itu sendiri, Gae Hwa secara tidak sengaja mendapat tahu tentang kewujudan anak Min Woo. Menyedari bahawa ianya adalah satu rahsia besar yang bisa menggugat kedudukan Min Woo sebagai artis ternama, oleh kerana terdesak, Gae Hwa terpaksa menggunakan rahsia tersebut sebagai kunci untuk mendapatkan persetujuan daripada Min Woo bagi menyertai syarikatnya. Maka, dari situlah bermulanya perhubungan baru antara Gae Hwa dengan Min Woo yang akhirnya berjaya mengubah persepsi Min Woo terhadap kehidupan serta kerjayanya.

Fakta Menarik:
Watak Seong Min Woo yang dilakonkan oleh Choi Si Won dalam drama ini begitu mirip dengan dirinya yang sebenar kerana beliau adalah seorang penyanyi terkenal (dari kumpulan idola SuJu / Super Junior) yang juga sedang berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Sebagaimana dengan wataknya,  Si Won juga terkenal kerana mempunyai aset luaran yang menarik. Ironisnya tentang drama ini adalah dari aspek persamaan yang ada antara Choi Si Won dengan watak yang dibawanya itu. Kedua-dua artis ini bukan sahaja mempunyai bilangan peminat yang sangat ramai, malah mereka juga mempunyai keinginan untuk menonjolkan kepada semua pihak yang mereka bukanlah artis yang bergantung kepada faktor fizikal yang menarik semata-mata. Choi Si Won sebagaimana Seong Min Woo cuba membuktikan bahawa mereka juga mempunyai bakat dalam bidang lakonan seandainya mereka diberi peluang untuk memperbaiki diri serta bakat mereka diasah dengan baik.

Fakta Menarik:
Selaku salah-seorang ahli kumpulan SuJu, bakat Choi Si Won dalam bidang nyanyian tidak begitu menyerlah oleh kerana bilangan ahlinya yang ramai (melebihi 10 anggota). Namun, dalam drama ini, Si Won berjaya membuktikan yang dia adalah seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang baik dengan menyumbangkan suaranya untuk drama ini menerusi lagu 못났죠 (Mo-nat-jjyo / Aren’t I Stupid? / Am I Not Stupid? / Worthless). Lagu tersebut merupakan salah-satu lagu tema rasmi (OST) drama ini dan pada asalnya dinyanyikan oleh Jo Seong Wook (조성욱). Lagu versi nyanyian Si Won kemudiannya dimuatkan dalam album OST Oh! My Lady bahagian ke-3 dan dilancarkan pada minggu terakhir penayangan drama, iaitu pada 10 Mei 2010, untuk mengiktiraf sumbangan Si Won dalam drama ini.
[Sumber: AllKPop, DramaWiki
]

Fakta Menarik:
Meskipun Choi Si Won baru berusia 23 tahun (24 tahun bagi umur Korea), Chae Rim yang kini berusia 32 tahun (33 tahun umur Korea) menyifatkan Choi Si Won sebagai seorang lelaki yang sudah berusia 35 tahun kerana kematangannya.
[Sumber: Baidu, diterjemahkan dari snowyelf @ SJ-WORLD.NET, dipetik oleh
icepluscoffee]

Sumber Utama Info: DramaWiki, HanCinema

Sumber Video: Viikii

Ulasan Ringkas 花火 Hana-bi:
Drama ini secara tidak langsung menyindir pihak-pihak tertentu yang terlalu ghairah dalam menzahirkan impian masing-masing. Si artis dengan impiannya untuk menjadi terkenal serta kekal sebagai artis popular. Si pengurus artis (atau pihak pengurusan) dengan kerakusannya untuk mengaut keuntungan hasil populariti seseorang artis. Si wartawan pula, dengan keghairahannya untuk mencungkil cerita-cerita panas tentang diri seseorang artis demi kepentingan diri sendiri.

Isu-isu yang cuba ditonjolkan ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah, setiap artis pastinya ada cerita masing-masing bagaimana mereka (dan pihak pengurusan mereka) terpaksa menempuh onak dan duri untuk menjadi terkenal dan kemudiannya berusaha mengekalkan kepopularitian itu. Drama ini, walau bagaimanapun, kurang berjaya dalam memaparkan isu-isu ini dengan cara yang berkesan. Ternyata banyak yang perlu dimantapkan lagi dari aspek mutu lakonan, jalan cerita serta penerbitan.

Bagi Choi Si Won yang baru pertama kali memegang teraju utama, mutu lakonannya adalah di tahap sederhana. Dan, adalah masih terlalu awal untuk mengatakan yang bakat Choi Si Won telah berjaya diasah dengan baik dalam drama ini. Mungkin kerana dia membawakan watak utama dalam drama ini, maka kelemahan yang ada dalam lakonannya nampak lebih jelas berbanding lakonan-lakonannya yang sebelum ini.

Namun, jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon utama lain yang kebanyakannya jauh lebih lama terlibat dalam dunia lakonan, lakonan Choi Si Won boleh dianggap sebagai memberangsangkan. Malah, Chae Rim yang telah lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan juga kelihatan kurang bermaya dalam drama ini. Mungkin kerana imej ‘nyonya’ atau ‘makcik-makcik’ (아줌마 / a-jum-ma) yang dibawanya menyebabkan penonton mudah berasa ‘penat’ dengan lakonannya.

Satu-satunya watak penyeri bagi drama ini pastinya adalah watak Seong Ye Eun, iaitu anak kepada Seong Min Woo, yang dilakonkan oleh Kim Yoon Bi. Meskipun tidak banyak dialog yang diucapkan, namun si kecil-molek ini berjaya membangkitkan ‘mood‘ penonton dengan lakonannya yang bersahaja.

Sayang sekali, gandingan antara artis sepopular Choi Si Won dengan pelakon sehebat Chae Rim masih lagi gagal menghasilkan sebuah fenomena sebagaimana yang diharapkan. Secara peribadi, 花火 Hana-bi sememangnya suka dengan drama atau filem lakonan kedua-dua artis ini sebelum ini, tetapi KDrama 2010 – Oh! My Lady ini ternyata tidak sebaik yang diharapkan. Perkembangan watak yang tidak digarap dengan baik menyebabkan jalan cerita seakan-akan hambar. Nasib baik jugalah, ada OST yang bisa membuatkan fokus 花火 Hana-bi kembali tertumpu kepada jalan cerita drama ini, selain adik Yoon Bi kita yang comel.😛


Rating 花火 Hana-bi:

  • Kepuasan Menonton: [ OKlah ]
  • Kualiti Drama Secara Keseluruhan: [ Memuaskan ]

———————————————————————————————————————Penafian: 花火 Hana-bi tidak bertanggungjawab di atas kesahihan maklumat yang muatkan di sini. Penulisan dilakukan berdasarkan pemahaman dari sumber-sumber yang telah dinyatakan di atas. Sinopsis adalah berdasarkan pemahaman 花火 Hana-bi terhadap intipati drama yang ditonton. Ulasan yang diberikan pula adalah pendapat peribadi dan tidak mempunyai sebarang kepentingan lain.
———————————————————————————————————————

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Wednesday, 19 May 2010, in Info Drama, K-Drama and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. secara peribadinya citer ni boleh gak la dianggap mnarik. mnerusi episd 11, kita dapat melihat ksih syg yg terpancar dari mata seorg ayah tunggal. wau!!! special 2, bukan senang….

    • Benar tu. Ceritanya agak menarik dan agak menyentuh hati. Cuma, kalau gaya persembahannya diperkemaskan lagi dan mutu lakonannya dipertingkatkan, cerita ini pastinya akan lebih menarik. Sayang sekali kerana bakat Choi Si Won tidak begitu berjaya diasah dengan baik dalam drama ini. Dan Chae Rim pula, secara peribadi, lakonannya dirasakan kurang berkesan berbanding lakonannya dalam drama-drama yang lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s