Adegan Menarik Episod 10: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Adegan Menarik: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod
|
1 || 2 || 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 10

Senarai Adegan Menarik

Adegan YHY yang menyedari bahawa GMN menyukai HTK, cuba memaksa GMN berterus-terang tentang siapa sebenarnya lelaki yang disukainya:

  • YHY memaksa GMN mengaku siapa di antara 3 ahli A.N.Jell yang disukainya
  • Ketika menyedari kemunculan HTK, Shin Woo serta Jeremy, YHY sengaja mengugut GMN yang dia akan memberitahu HTK tentang GMN yang menyimpan perasaan terhadap HTK
  • GMN cuba menahan YHY daripada membocorkan rahsianya kepada HTK, dan oleh kerana dia kurang sihat pada waktu itu, GMN jatuh terduduk
  • YHY pula, apabila menyedari HTK, Shin Woo serta Jeremy semakin hampir dengan mereka, berpura-pura sedang mengambil-berat tentang kesihatan GMN
  • Sebelum itu, dia sempat mengancam GMN agar menuruti segala arahannya sekiranya GMN tidak mahu rahsianya terbocor

Adegan di dalam kereta sewaktu YHY menemani Presiden Ahn untuk menghantar GMN pulang berehat di rumah:

  • Presiden Ahn menasihati GMN agar menjaga kesihatan kerana A.N.Jell sekarang sibuk dengan pelbagai projek
  • YHY sengaja mengambil kesempatan  itu untuk ‘mengingatkan’ GMN tentang betapa pentingnya menjaga imej A.N.Jell serta tidak menimbulkan masalah terutamanya terhadap HTK
  • YHY secara halus mengugut GMN agar berdiam diri tentang insiden sebelumnya demi kebaikan semua
  • Setelah selesai ‘menasihati’ GMN, YHY minta agar Presiden Ahn menurunkannya di studio (menunjukkan yang sebenarnya dia hanya berpura-pura mengambil berat tentang GMN di hadapan HTK)

Aksi 3 jejaka A.N.Jell  cuba menunjukkan keprihatinan mereka terhadap GMN dengan membawa pulang ‘buah tangan’ untuk GMN:

  • Oleh kerana sesi fotografi pada hari itu telah selesai dan masih terdapat banyak buah limau nipis yang berbaki, HTK meminta kebenaran daripada kru penggambaran untuk membawa pulang beberapa biji limau nipis untuk GMN
  • Shin Woo serta Jeremy juga rupa-rupanya mempunyai idea yang sama
  • Sewaktu di dalam kereta, Koordinator Wang memberitahu yang dia terhidu bau buah yang tajam, akan tetapi ketiga-tiga mereka hanya berdiam diri dan berpura-pura tidak tahu dari mana datangnya bau itu

Perbualan antara Mo Hwa Ran dengan ibu saudara GMN tentang isu pemberian royalti bagi lagu ciptaan bapa GMN:

  • Ibu saudara GMN mengatakan yang dia tidak tahu di mana anak-anak saudaranya berada
  • Ibu saudara GMN menyarankan agar royalti tersebut diberikan kepadanya selaku pewaris tunggal

Adegan GMN bersedih kerana mula risaukan tentang impak yang bakal menimpa HTK seandainya rahsia tentang identiti sebenarnya terbongkar

Adegan di rumah sewaktu HTK, Shin Woo serta Jeremy meninjau keadaan GMN sebaik sahaja sampai ke rumah:

  • Jeremy serta Shin Woo segera mendapatkan GMN untuk bertanya khabar tentang kesihatannya
  • HTK pula, sebaliknya membuatkan GMN sakit hati dengan kata-kata sinisnya
  • GMN yang tersinggung, berjanji tidak akan menyusahkan HTK lagi pada masa akan datang
  • HTK menyesal dengan perbuatannya sendiri (dia tidak menyangka GMN tidak dapat menerima gurauan sinisnya sepertimana biasa)

Adegan HTK, Jeremy serta Shin Woo berebut-rebut untuk memberikan layanan istimewa kepada GMN yang jatuh sakit:

  • HTK turun ke dapur kerana dia ingin menghiris limau nipis yang dibawanya pulang untuk GMN
  • Niat HTK terbantut apabila dia mendapati Jeremy serta Shin Woo juga turut membawa pulang limau nipis untuk GMN
  • Jeremy serta Shin Woo masing-masing sedang sibuk menyediakan jus limau dan teh limau panas untuk GMN
  • Apabila ditegur oleh Jeremy, HTK yang tidak mahu niatnya diketahui mereka (mungkin kerana takut kalah sekali lagi kepada Shin Woo), menyatakan yang dia membawa pulang limau nipis tersebut untuk dimakannya sendiri
  • Untuk cuba meyakinkan Jeremy serta Shin Woo, HTK sengaja memakannya di hadapan mereka tetapi gagal menyembunyikan rasa masam limau tersebut
  • Jeremy yang menyangka HTK benar-benar sukakan buah limau nipis itu, segera menghulurkan sebakul kecil buah yang pada asalnya dibawanya pulang untuk GMN
  • HTK pula, mahu tidak mahu, terpaksa menerima pemberian Jeremy itu
  • Apabila pulang ke biliknya, barulah HTK dapat meluahkan perasaan sebenarnya, iaitu giginya serasa akan seperti hendak tercabut kerana terlalu banyak memakan limau nipis pada hari itu
  • HTK ‘menyuruh’ 돼지 토끼 (Dwae-ji-to-kki / ‘Pig-Rabbit’ / Arnab ‘Cik Babe’) memakan limau nipis yang berada di genggamannya untuk melepaskan rasa geram kerana tidak dapat berbuat apa-apa terhadap GMN yang sakit itu

Adegan Shin Woo masuk ke bilik GMN untuk meletakkan teh limau panas yang disediakan khas buat GMNn dan kemudiannya membelai/membetulkan rambut GMN sambil memerhatikan GMN yang sedang tidur

Adegan GMN pengsan di hadapan HTK kerana suhu badannya terlalu panas dan dibawa ke hospital oleh HTK

Adegan pertengkaran antara HTK dengan GMN apabila GMN enggan dirawat di hospital meskipun keadaannya agak serius waktu itu:

  • GMN enggan dirawat kerana takut identitinya akan terbongkar dan seterusnya memberikan impak negatif terhadap HTK
  • HTK cuba untuk memujuk GMN tetapi GMN tetap berkeras dengan keputusannya
  • HTK menghentakkan kakinya kerana marah serta geram dengan situasi yang sedang mereka hadapi itu

Adegan HTK mengambil berat tentang keadaan GMN serta berusaha agar GMN kembali sembuh:

  • Sewaktu di dalam kereta sebelum bertolak pulang semula ke rumah, HTK menyelimutkan GMN dengan kot yang dipakainya bagi memastikan GMN tidak kesejukan
  • Sebaik sahaja sampai ke rumah, HTK menyediakan ubat serta pelbagai keperluan lain buat GMN
  • Apabila Shin Woo ingin menjengah GMN setelah mendapat tahu tentang keadaan GMN, HTK segera menghalangnya kerana dia ingin menjaga GMN pada malam itu
  • Sepanjang malam itu, HTK berusaha untuk memastikan suhu badan GMN turun – dia memberikan GMN ubat melegakan demam, mendemah kepalanya dengan ais yang dibalut dengan kain serta memeriksa suhu badan GMN dari masa ke semasa
  • HTK juga memastikan tubuh GMN tidak mengalami dehidrasi dengan memberinya minum air dan kemudian memasang alat pelembap udara (humidifier) untuk membantu proses penyembuhan

Perbualan antara HTK dengan GMN selepas demam GMN kebah sedikit:

  • HTK mengakui yang kini dia sudah mulai dapat menerima kehadiran GMN dalam hidupnya dan dia juga bersedia untuk membantu GMN
  • HTK terharu dengan ‘kesetiaan’ GMN – meskipun diri sendiri berada dalam kesakitan, GMN masih tetap mengambil berat tentang dirinya
  • HTK juga terharu dengan ‘keberanian’ yang ditunjukkan oleh GMN sewaktu cuba menahan kesakitan dalam melawan penyakitnya
  • GMN berterima kasih dengan pengakuan itu dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam tindakannya pada masa depan
  • Kata-kata GMN selepas HTK keluar daripada bilik tersebut: GMN ingin pergi dari situ sebelum semuanya terbongkar dan menyebabkan HTK menerima padahnya

Adegan Shin Woo yang dalam diam, turut berjaga sepanjang malam itu kerana risaukan keadaan GMN

Perbualan antara Pengurus Ma dengan Koordinator Wang berkenaan dengan lagenda GMN: Sebagaimana ahli-ahli A.N.Jell yang lain, Pengurus Ma kini mereka lagenda untuk GMN pula, kononnya…

  • GMN mempunyai kebolehan berkungfu kerana dia rupa-rupanya adalah dari keturunan Bruce Lee (lagenda yang hampir sama dengan lagenda Shin Woo)
    => Koordinator Wang menolak idea itu kerana generasi muda masa kini sudah kurang mengenali lagenda kungfu tersebut
  • GMN mempunyai hubungan rapat dengan Puteri Diraja India (lagenda yang hampir sama dengan lagenda Jeremy)
    => Koordinator Wang menolak idea itu kerana India kini tidak mempunyai puteri  raja
  • Terdapat misteri di sebalik kelahiran GMN iaitu ibunya adalah seorang wanita bangsawan yang mati dibunuh pemberontak (lagenda yang hampir sama dengan HTK)
    => Koordinator Wang menolak idea itu kerana ianya tidak realistik dan kebudak-budakan

Imaginasi HTK ketika memilih pakaian wanita untuk GMN di sebuah gedung pakaian, kononnya untuk digunakan waktu kecemasan:

  • Gaya wanita seksi dan ranggi dengan skirt pendek serta baju ketat
    => HTK tidak sukakan gadis dengan imej sebegitu
  • Gaya wanita ayu dengan  kain les merah jambu dan berenda
    => Bukan seleranya!
  • Gaya wanita anggun yang kelihatan kemas serta sopan
    => Sememangnya dia suka seandainya GMN berpakaian begitu!

HTK kemudiannya hairan dengan dirinya sendiri… kenapa dia menjadi begitu teliti dalam memilih pakaian untuk GMN

Adegan Jeremy serta Shin Woo berebut-rebut untuk memberikan layanan istimewa kepada GMN yang baru sembuh daripada sakit:

  • Jeremy cuba menghiburkan GMN dengan mengajaknya mengambil udara segar di luar rumah
  • Jeremy menyediakan air jus limau nipis yang dicampur madu, khas buat GMN
  • Shin Woo pula datang membawa selimut kerana bimbang GMN kesejukan

Adegan  YHY datang ke rumah A.N.Jell kononnya untuk melawat GMN yang sakit tetapi kemudiannya menyakiti hati GMN:

  • YHY masih cemburukan GMN dan bercadang untuk mengenakan GMN
  • Dia sebenarnya ingin berjumpa dengan HTK kerana HTK tidak menjawab panggilannya
  • Bukan GMN seorang sahaja yang ternyata terganggu dengan kemunculan YHY itu, tetapi juga Shin Woo serta Jeremy
  • YHY menggunakan cara halus untuk ‘mengusir’ Shin Woo serta Jeremy dari sisi GMN buat seketika:
  • Shin Woo disuruhnya mengambil buah-buahan dari kereta, kononnya dibeli untuk GMN
  • Jeremy pula diminta mengambilkan air minuman untuknya, kononnya kerana dia haus (YHY inginkan air yang sama seperti yang diminum oleh GMN kerana dia cemburukan layanan istimewa yang diterima oleh GMN)
  • Selepas berjaya ‘mengusir’ Shin Woo serta Jeremy. YHY mengajak GMN ke biliknya untuk ‘berbincang’
  • YHY mengancam akan membocorkan rahsia GMN kepada Shin Woo dan Jeremy jika GMN tidak merayu kepadanya
  • GMN pula sebaliknya memberitahu yang dia memang bercadang untuk berterus-terang kepada Shin Woo dan juga Jeremy
  • YHY memaksa GMN turut berterus-terang tentang perasaannya terhadap HTK kerana GMN dikatakan lupa daratan disebabkan dia menyukai HTK
  • YHY naik berang apabila GMN akhirnya menyatakan persetujuan untuk berterus-terang dengan semua orang tentang perasaannya terhadap HTK
  • Untuk melepaskan geram, YHY menarik selimut yang ada di bahu GMN dan menolak gelas yang dipegang GMN hingga jatuh lalu pecah
  • Apabila Shin Woo tiba-tiba muncul, YHY berlagak seperti GMNlah yang sedang membulinya
  • GMN yang masih lemah kerana belum sembuh sepenuhnya dari demam hanya mampu mengutip serpihan kaca dari gelas yang pecah itu
  • YHY kemudiannya cuba meracuni fikiran Shin Woo tetapi Shin Wooo tidak termakan dengan kata-katanya itu
  • Dia cuba memancing pendapat Shin Woo tentang GMN yang dikatakan mempunyai rahsia itu, tetapi gagal kerana Shin Woo tidak berminat untuk mengorek rahsia peribadi sesiapa
  • Apabila YHY memberitahu Jeremy yang GMN telah melakukan kesilapan terhadap dirinya, Jeremy membela GMN dan meminta YHY memaafkan sahaja kesilapan GMN itu
  • YHY kecewa kerana bagi Jeremy, GMN tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan selama ini dan seandainya ada, dia bersedia untuk memaafkan GMN

Adegan antara YHY dengan HTK yang menyebabkan YHY bertambah sakit hati:

  • YHY mendapat tahu HTK ada membeli pakaian wanita tetapi dia kemudiannya jelas yang pakaian tersebut bukan dibeli untuknya
  • YHY cuba memujuk HTK memakai ‘cincin pasangan’ (couple rings) sebagai tanda HTK adalah miliknya, tetapi ditolak mentah-mentah oleh HTK
    Cincin tersebut adalah cincin yang sama yang pernah disarungkan ke jarinya oleh HTK sewaktu penggambaran MV ‘single’ pertama GMN
  • HTK memberitahu YHY bahawa dia bukannya milik YHY
  • Kemarahan YHY semakin membara kerana HTK terlalu kerap menghampakannya

Adegan GMN cuba untuk berterus-terang tentang rahsia yang disimpan selama ini:

  • GMN memberitahu Shin Woo dan Jeremy yang dia ada sesuatu yang ingin diperkatakan kepada mereka
  • HTK muncul dan menggesa GMN segera memberitahu mereka tentang apa yang ingin diluahkan apabila dilihatnya GMN seperti teragak-agak
  • Sewaktu GMN hampir-hampir sahaja meluahkan semuanya, YHY tiba-tiba muncul

Lakonan YHY dalam usahanya untuk menghalang GMN daripada berterus-terang tentang identiti sebenarnya:

  • YHY bimbang seandainya Jeremy serta Shin Woo bersedia menerima GMN meskipun mengetahui identiti sebenar GMN
  • YHY tambah bimbang andainya HTK bersedia menerima cinta GMN setelah GMN meluahkan perasaannya
  • Untuk menghalang GMN daripada meneruskan niatnya itu, YHY mencipta sebuah drama baru yang mana pelakon utamanya adalah dirinya sendiri: YHY melakonkan aksi loya seolah-olah dia benar-benar mengandung
  • Dengan lakonannya itu, selain daripada dapat menghalang GMN, dia juga dapat membalas dendam terhadap HTK kerana menolak permintaannya untuk sama-sama memakai ‘cincin pasangan’
  • Sewaktu ‘bersembunyi’ di dalam tandas, YHY menelefon GMN dan mengarahkan GMN agar berterus-terang tentang identitinya sewaktu majlis pelancaran MV untuk ‘single’ pertama GMN nanti – GMN yang naif, hanya bersetuju

Adegan HTK pula yang membalas dendam terhadap YHY kerana mengenakannya:

  • HTK berlagak seolah-olah ingin memujuk YHY dan membelek-belek telefon bimbit YHY
  • YHY tidak menyedari yang HTK waktu itu sedang menaip SMS untuk bapa YHY yang juga merupakan orang yang paling ditakuti oleh YHY
  • Ayah YHY segera menelefon YHY apabila mendapat mesej itu yang berbunyi, “Ayah, saya mengandung!”

Perbualan ibu saudara GMN dengan kawan-kawannya: Oleh kerana Mo Hwa Ran berminat untuk mengetahui perihal anak-anak saudaranya, ibu saudara GMN mula membuat andaian yang Mo Hwa Ran berkemungkinan adalah ibu kandung kepada dua beradik kembar itu, ataupun sekurang-kurangnya mengenali ibu mereka

Rahsia di sebalik lagu 어떡 하죠 (Eot-teo-kha-jyo / ‘What Should I Do?‘) tersingkap sedikit demi sedikit:

  • Mo Hwa Ran beranggapan lagu tersebut dicipta oleh Go Jae Hyeon untuk memujuknya kembali kepada lelaki tersebut selepas mereka berpisah
  • HTK, setelah menghayati lirik lagu tersebut, menyedari kenapa ibunya begitu beria-ia ingin menyanyikan semula lagu tersebut
  • HTK mula memikirkan tentang kaitan antara lagu tersebut dengan tindakan ibunya mengabaikannya selama ini

Adegan HTK bercakap-cakap dengan anak patung 돼지 토끼 (Dwae-ji-to-kki) tentang ibunya dan kemudian mengakui bahawa hanya GMN yang sebenar mampu menceriakan hidupnya ketika ‘mood’nya kurang baik, lalu keluar mencari GMN

Adegan perbualan antara HTK dengan GMN sewaktu HTK terjumpa GMN sedang merenung langit/bintang di beranda rumah :

  • HTK menyuruh GMN memadamkan lampu untuk membolehkannya melihat bintang dengan lebih jelas
  • Selepas lampu dipadamkan, HTK berkata dia tidak dapat melihat apa-apa kerana malam terlalu gelap (oleh kerana dia rabun malam)
  • GMN pula berkata, oleh kerana gelap, dia kini dapat melihat bintang dengan lebih jelas (GMN merujuk kepada HTK yang sedang berdiri di sebelahnya)
  • GMN cuba memberikan petunjuk yang dia bakal meninggalkan kumpulan tersebut, tetapi HTK tidak menyedarinya:
    • GMN menggambarkan HTK, Shin Woo serta Jeremy sebagai bintang-bintang yang bersinar jauh di langit
    • GMN meluahkan rasa bertuahnya kerana dapat berada di kalangan bintang-bintang itu
    • GMN juga meluahkan yang meskipun dia tiada lagi di situ, dia sentiasa akan dapat ‘melihat’ HTK oleh kerana dia sentiasa dapat melihat bintang di langit (GMN menganggap HTK sebagai bintang)
  • HTK pula meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana dia tidak dapat melihat GMN dengan jelas sewaktu dalam kegelapan, oleh itu dia menyuruh GMN supaya tidak berada di jarak yang jauh daripadanya agar dia sentiasa dapat melihat GMN
  • Tetapi GMN berkata, meskipun dia kini berada dekat dengan HTK, HTK masih tidak dapat melihatnya dengan jelas (merujuk kepada perasaannya terhadap HTK)
  • Ketika GMN cuba menguji sama ada HTK dapat melihatnya dengan jelas dengan tangannya, HTK segera menyambar tangan GMN dan berkata dia dapat melihat GMN dengan jelas
  • Apabila GMN bertanya adakah HTK benar-benar dapat melihatnya dengan jelas, HTK mengiyakan dan kemudian meminta agar GMN sentiasa berada  dalam jarak penglihatannya ketika gelap, iaitu dekat dengannya, supaya dia terus dapat melihat GMN
  • GMN membuat ‘permintaan terakhir’ kepada HTK:
    • GMN meminta agar HTK berlagak seolah-olah tidak melihat/mengenalinya seandainya mereka bertemu lagi kelak selepas dia berhenti dari menyamar sebagai abangnya dan kembali kepada dirinya yang asal
    • GMN memberitahu yang dia juga akan melakukan perkara yang sama, iaitu berlagak seolah-olah tidak melihat/mengenali HTK
  • HTK terkejut mendengar permintaan GMN itu, tetapi kerana egonya yang tinggi, dia bersetuju dengan permintaan GMN dan berjanji akan berlagak seolah-olah mereka langsung tidak pernah mengenali antara satu sama lain
  • Selepas GMN berlalu, HTK meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan permintaan GMN itu

Adegan apabila GMN kembali ke biliknya dan mendapati terdapat beg kertas berisi pakaian wanita di atas meja:

  • Sewaktu sedang meneliti pakaian tersebut, GMN menerima sms daripada HTK yang memberitahunya pakaian itu adalah untuk kegunaan kecemasan seandainya GMN tiba-tiba memerlukan pakaian wanita
  • HTK juga memberitahu menerusi sms yang dia akan berlagak seolah-olah dia benar-benar tidak mengenali GMN
  • Selepas membaca sms tersebut, GMN berharap agar HTK akan benar-benar mengotakan janjinya itu (GMN berharap sebegitu kerana dia merasakan adalah tidak mungkin HTK dapat menerima dirinya yang asal dan berharap HTK akan dapat melupakannya)

Adegan sewaktu GMN bersedia untuk meninggalkan rumah pada keesokan harinya:

  • Jelas terbayang di wajah GMN yang dia keberatan untuk meninggalkan rumah tersebut (atau sebenarnya keberatan untuk meninggalkan A.N.Jell selepas mendedahkan identiti sebenarnya sewaktu di majlis pelancaran itu nanti)
  • Mereka yang lain menyangkakan dia pergi untuk menghadiri majlis pelancaran ‘single’ pertamanya:
    • Jeremy memberikan ucapan selamat kepada GMN dan berjanji akan menganjurkan parti bagi meraikan kejayaan GMN
    • Shin Woo memberikan kata semangat agar GMN tidak cemas sewaktu di majlis pelancaran tersebut
    • HTK (sebaliknya) dengan sinisnya menyuruh agar GMN cemas! (Sebenarnya bermaksud agar GMN lebih berhati-hati dalam tindakannya)
  • GMN meminta izin untuk pergi dan kemudiannya tunduk sebagai tanda hormat (GMN sebenarnya sedang mengucapkan selamat tinggal tetapi mereka bertiga tidak menyedarinya)

Adegan sebelum majlis pelancaran ‘single’ pertama GMN berlangsung apabila Pengurus Ma mula menyedari ‘kehilangan’ GMN:

  • Pengurus Ma cemas kerana majlis sudah hampir bermula tetapi GMN tiba-tiba ‘hilang’
  • YHY menelefon GMN dan bertanya sama ada dia telah bersiap-sedia (YHY sebenarnya mempunyai rancangan tertentu untuk GMN)
  • Berita kehilangan GMN itu sampai ke telinga Presiden Ahn serta ahli A.N.Jell yang lain
  • HTK menyarankan agar mereka pergi ke majlis pelancaran tersebut bagi menyelamatkan keadaan seandainya GMN benar-benar tidak muncul
  • Sewaktu bersiap-sedia untuk menghadiri majlis tersebut, HTK menyedari yang pin rambut pemberiannya tidak berada di telinga 돼지 토끼 (Dwae-ji-to-kki sebagaimana biasa
  • HTK kemudian menyelongkar almari di bilik GMN dan mendapati beg kertas yang sepatutnya mengandungi pakaian pemberiannya kini telah kosong!
  • Ketika itu, barulah HTK sedar tentang maksud yang tersirat di sebalik kata-kata GMN pada malam sebelumnya dan mula rasa tidak sedap hati
  • HTK berusaha untuk menelefon GMN untuk menghalangnya daripada meneruskan niatnya itu akan tetapi telefon bimbit GMN telah dimatikan

Adegan sewaktu majlis pelancaran ‘single’ pertama GMN berlangsung tetapi GMN masih tidak ditemui:

  • Oleh kerana GMN tidak juga-juga muncul, pihak pengurusan A.N.Jell terpaksa menukar perancangan dan memainkan muzik video ‘single’ tersebut terlebih dahulu
  • Ketika lampu dewan ditutup, HTK semakin cemas kerana dia yakin saat yang ditakutinya itu telah hampir tiba
  • Oleh kerana dewan tersebut gelap dan HTK sukar untuk melihat, dia terpaksa meminta bantuan Shin Woo dan Jeremy untuk membantunya mencari GMN – bukan dalam imej biasanya tetapi dalam imej seorang gadis berkot putih gading serta berskirt merah jambu!
  • Ketika itulah, Shin Woo akhirnya sedar tentang apa yang sedang berlaku, manakala Jeremy pula terpinga-pinga kehairanan
  • Jeremy terkejut apabila HTK memberitahu bahawa GMN adalah gadis yang dicari tetapi HTK tidak mempunyai masa untuk menjelaskan semua itu
  • Jeremy cuba mendapatkan penjelasan daripada Shin Woo tetapi Shin Woo yang sememangnya tahu tentang identiti sebenar GMN juga tidak mempunyai masa untuk menjelaskan semua itu kepada Jeremy
  • HTK keluar dari dewan untuk mencari GMN dan kemudiannya ternampak kelibat GMN sedang cuba memasuki dewan dari arah berbeza

Adegan di dalam dewan apabila HTK masuk semula ke dalam dewan tetapi gagal mencari GMN kerana keadaan dalam dewan yang gelap:

  • Lantaran cemas serta kecewa kerana tidak dapat mencari GMN, HTK menjerit, “Bukan aku sudahpun  memberitahu kamu agar tidak berada di tempat yang aku tidak dapat melihat kamu?!”
  • GMN yang baru sahaja hendak melangkah, terhenti dan menoleh ke arah HTK yang sebenarnya berada hanya beberapa meter sahaja di belakang
  • Ketika itu lampu dewan dinyalakan dan ketika itulah HTK menyedari GMN sebenarnya sedang memandang ke arahnya dengan mata yang berkaca
  • Mereka berdua hanya terpaku di situ dan tidak menyedari yang gelagat mereka diperhatikan
  • Sebelum sempat HTK berbuat apa-apa, Shin Woo tiba-tiba datang dan memeluk GMN (Shin Woo memeluk cuba menyembunyikan wajah GMN di sebalik bahunya untuk mengelakkan wartawan mengambil gambar GMN dalam imejnya sebagai seorang gadis)
  • Perbuatan Shin Woo itu membuatkan semua yang ada di situ terkejut
  • Sewaktu wartawan sedang sibuk mengambil gambar mereka, Shin Woo mengumumkan bahawa gadis yang dalam pelukannya itu adalah kekasihnya yang selama ini disembunyikan identitinya daripada pengetahuan semua pihak (Shin Woo sebenarnya masih cuba untuk melindungi identiti sebenar GMN)
  • HTK pula hanya mampu memandang dan menahan perasaan marahnya di dalam hati

Adegan Paling Diminati (Menyentuh Perasaan)

GMN enggan dirawat di hospital kerana bimbang identitinya akan terbongkar dan seterusnya membawa musibah kepada HTK. Meskipun pada waktu itu, dia berada dalam keadaan sangat lemah disebabkan demam panas yang dihidapinya, dia masih sempat memikirkan tentang kepentingan insan yang disayanginya. Dalam episod ini, GMN menunjukkan betapa dia menyayangi HTK dan tidak mahu HTK berdepan dengan sebarang kesulitan disebabkan dirinya, meskipun dia terpaksa menahan kesakitan sepanjang malam itu…

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Saturday, 15 May 2010, in K-Drama, Plot Drama and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s