Sinopsis Episod 10: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod |
1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 10

Lakonan hebat YHY di hadapan HTK, Shin Woo serta Jeremy

Yoo He Yi (YHY) merupakan dalang utama di sebalik semua yang berlaku dalam episod kali ini. Setelah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana perlakuan Hwang Tea Kyeong (HTK) terhadap Go Mi Nam (GMN), dan kemudian menyedari yang GMN juga menaruh perasaan terhadap HTK, YHY mula merancang untuk menjatuhkan GMN. Tambahan pula, dia sememangnya sudah lama menaruh perasaan cemburu terhadap layanan istimewa yang diterima oleh GMN daripada orang-orang di sekelilingnya. Oleh itu, YHY cuba memaksa GMN untuk berterus-terang dengan semua pihak tentang identiti sebenarnya. Dia juga mahu GMN mengaku siapa di antara 3 ahli A.N.Jell yang sebenarnya disukainya.

Menyedari perbualan mereka sedang diperhatikan oleh HTK, Shin Woo dan juga Jeremy, YHY sengaja mengugut GMN agar menuruti segala arahannya seandainya dia tidak mahu semua rahsianya terbocor. Di hadapan mereka bertiga, YHY berlagak seolah-olah dia sedang mengambil berat tentang kesihatan GMN yang pada waktu itu sedang terduduk di atas lantai akibat ditarik oleh YHY. GMN yang pada waktu itu berada dalam keadaan lemah kerana kurang sihat, tidak mampu untuk melawan YHY (dan dia sememangnya bukan seorang yang suka melawan).

Malah, ketika Presiden Ahn menasihati GMN agar menjaga kesihatannya, YHY sengaja mengambil kesempatan itu untuk mengancam GMN. Oleh kerana bimbang rahsianya itu bakal merosakkan imej A.N.Jell dan membawa kesan buruk kepada HTK terutamannya, GMN terpaksa akur dengan semua arahan YHY. Mungkin kerana tekanan yang dialaminya itu jugalah, GMN menjadi tertekan dan tubuhnya menjadi semakin kurang sihat.

3 jejaka cemas kerana GMN jatuh sakit

Apabila HTK, Shin Woo serta Jeremy pulang ke rumah selepas selesai sesi fotografi pada hari itu, mereka mendapati GMN sedang terbaring di atas katil. Ketika yang lain sibuk bertanyakan khabar GMN, HTK pula sebaliknya memarahi GMN kerana tidak diberitahu tentang keadaan kesihatan GMN. Dengan sinisnya, HTK menyatakan bahawa sesi penggambaran mereka pada hari itu ‘rosak’ disebabkan oleh GMN. HTK sebenarnya amat risaukan keadaan GMN, sejak di lokasi fotografi lagi, namun dia tidak pandai untuk meluahkan kebimbangannya itu. Apabila GMN mula memohon maaf dan menyatakan yang dia akan memastikan bahawa tidak akan ada apa-apa lagi yang ‘rosak’ pada masa yang akan datang disebabkan dirinya, jelas terbayang rasa kesal di wajah HTK. Dia tidak menyangka GMN tidak dapat menerima gurauan sinisnya itu sepertimana biasa.

Oleh itu, HTK cuba untuk menebus kesalahannya itu. Ketika dia turun ke dapur untuk menghiris buah limau nipis yang dibawanya pulang dari lokasi penggambaran khas buat, dia mendapati Jeremy serta Shin Woo juga turut membawa pulang buah yang sama untuk GMN. Mungkin kerana tidak mahu terpaksa bersaing sekali lagi dengan Shin Woo mahupun Jeremy, HTK membatalkan niat asalnya untuk memberikan buah tersebut kepada GMN. Apabila ditegur oleh Jeremy, HTK mengatakan yang dia membawa pulang limau nipis tersebut untuk dirinya sendiri, sedangkan dia sebenarnya telah ‘muak’ kerana telah sepanjang hari terpaksa memakan buah tersebut.

HTK tidak langsung menyangka yang tahap kesihatan GMN akan bertambah teruk pada malam itu. Dia terkejut apabila GMN tiba-tiba sahaja pengsan di hadapannya kerana suhu badannya yang terlalu tinggi. HTK menjadi bertambah bimbang serta sakit hati apabila GMN enggan dirawat di hospital meskipun pada waktu itu mereka sudahpun berada di hadapan bangunan hospital.

GMN enggan dirawat di hospital

GMN sebenarnya takut imej HTK akan terjejas seandainya identiti sebenarnya yang selama ini cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum itu akhirnya terbongkar. Dia tidak mahu HTK mendapat sebarang musibah disebabkan hal itu. Meskipun keadaannya pada waktu itu agak kritikal, dan meskipun telah cuba dipujuk oleh HTK, GMN yang biasanya berhati lembut itu tetap berkeras dengan keputusannya.

Oleh kerana GMN enggan dirawat di hospital, HTK dengan berat hati terpaksa membawa GMN pulang. Pada malam tersebut, dia berusaha sebaik mungkin untuk ‘merawat’ GMN. Sebelum bertolak pulang, HTK menyelimutkan GMN dengan kot yang dipakainya bagi memastikan GMN tidak kesejukan. Sebaik sahaja sampai ke rumah, dia menyediakan pula ubat serta pelbagai keperluan lain. Sepanjang malam dia tidak berhenti berusaha untuk memastikan suhu badan GMN turun. Dia beredar dari bilik tersebut hanya selepas memastikan keadaan GMN telah beransur pulih.

Sebenarnya, selain daripada HTK, Shin Woo juga turut berjaga malam pada malam itu. Dia ingin menjengah GMN setelah mendapat tahu tentang keadaan GMN, tetapi niatnya itu dihalang oleh HTK. Meskipun terlalu risaukan keadaan GMN, Shin Woo hanya mampu memandang dari luar bilik.

Imej wanita pilihan HTK

Keesokan harinya, HTK pergi ke sebuah gedung pakaian untuk membelikan hadiah kepada GMN, iaitu sepasang pakaian wanita. Apabila kembali ke rumah, dia mendapati YHY turut berada di situ. YHY sebenarnya datang kerana hendak menjenguk HTK untuk menyatakan rasa tidak puas hati kerana HTK tidak pernah melayan panggilan telefonnya. Sambil itu, dia ada membawa sepasang cincin yang diperolehi daripada penaja. Cincin tersebut adalah cincin yang sama yang pernah mereka pakai sewaktu penggambaran MV bagi ‘single’ pertama GMN.

Namun, betapa sakitnya hati YHY apabila HTK menolak mentah-mentah permintaannya agar mereka masing-masing memakai cincin tersebut sebagai tanda mereka adalah pasangan kekasih. Berita tentang HTK membeli sepasang pakaian wanita itu juga sebenarnya telah sampai ke telinga YHY. Oleh itu, YHY menjadi bertambah sakit hati terhadap GMN kerana dia tahu pakaian tersebut dibelikan HTK untuk GMN.

Selain daripada untuk bertemu HTK, YHY juga mempunyai satu lagi agenda iaitu untuk mengenakan GMN. Di hadapan Jeremy serta Shin Woo, dia berpura-pura datang melawat GMN yang sakit. Tetapi sebaik sahaja berjaya ‘mengusir’ Shin Woo serta Jeremy dari sisi GMN dengan cara yang halus buat seketika, YHY dengan beraninya sekali lagi cuba hendak menakut-nakutkan GMN.

Malangnya, cubaannya itu gagal apabila GMN seakan-akan tidak takut dengan ancaman itu dan bersedia untuk berterus-terang. Bukan sahaja sahaja tentang siapa dirinya yang sebenar, tetapi juga tentang siapa lelaki yang disukainya. Selain daripada itu, YHY juga cuba memancing reaksi Shin Woo serta Jeremy seandainya mereka tahu tentang rahsia besar GMN itu. Namun, respon yang diterima daripada Shin Woo dan Jeremy membuatkan YHY semakin merasakan yang cubaannya untuk menjatuhkan GMN itu tidak akan berjaya. Ini kerana, Shin Woo dan Jeremy begitu terbuka dan bersedia menerima GMN seadanya. Malah, HTK juga seolah-olah turut mempunyai perasaan yang sama terhadap GMN.

Satu lagi lakonan hebat YHY

Oleh itu, YHY terpaksa menghalang GMN daripada berterus-terang kepada HTK, Shin Woo serta Jeremy. Ketika itu, GMN hampir-hampir sahaja hendak meluahkan semuanya kepada mereka bertiga. Untuk menghalang GMN daripada meneruskan niatnya itu, YHY mencipta sebuah drama baru yang mana pelakon utamanya adalah dirinya sendiri. Di hadapan semua orang, YHY melakonkan aksi loya seolah-olah dia sedang mengandung waktu itu. Dengan lakonannya itu, selain daripada dapat menghalang GMN, dia juga berjaya membalas dendam terhadap HTK kerana menolak permintaannya untuk sama-sama memakai ‘cincin pasangan’ yang diterimanya daripada penganjur itu.

Namun, YHY tidak menyangka yang HTK akan membalas perbuatannya itu dengan lebih teruk lagi. Disebabkan geram kerana dimalukan di hadapan rakan-rakannya yang menyangka YHY sedang mengandungkan anaknya, HTK, selepas berjaya mengumpan YHY dengan senyumannya, berjaya mengenakan YHY kembali. Dia menghantar sms palsu kepada bapa YHY menerusi telefon bimbit YHY sendiri. Mesej yang berbunyi, “Ayah, saya mengandung!” itu sememangnya umpama sebiji bom bagi YHY kerana YHY memang sangat takut kepada ayahnya. Malah, sebaik sahaja HTK berjaya menghantar mesej tersebut, YHY segera mendapat panggilan daripada ayahnya. Terkial-kial si YHY cuba untuk menafikan berita tersebut.

Sementara itu, rahsia di sebalik lagu Otteokhajyo mula tersingkap sedikit demi sedikit. Go Mi Jae, ibu saudara GMN selepas pertemuannya dengan Mo Hwa Ran untuk membincangkan isu pemberian royalti bagi lagu ciptaan Go Jae Hyeon, mula meragui hubungan sebenar antara Mo Hwa Ran dengan mendiang adiknya itu. Meskipun dia menyembunyikan hakikat yang dia sekarang ini tinggal bersama salah-seorang anak Go Jae Hyeon (untuk membolot semua duit royalti), Go Mi Jae tidak dapat menyembunyikan rasa hairannya apabila Mo Hwa Ran menyatakan keinginan untuk bertemu dengan anak-anak Go Jae Hyeon.

Menerusi perbualan dengan kawan-kawannya, Go Mi Jae yakin yang Mo Hwa Ran mempunyai kaitan dengan anak-anak saudaranya itu. Malah, ibu saudara GMN itu mula membuat andaian yang Mo Hwa Ran berkemungkinan adalah ibu kandung kepada dua beradik kembar itu. Ataupun, sekurang-kurangnya mengenali ibu mereka.

Mo Hwa Ran pula, sejak pertemuan itu, semakin terkenangkan Go Jae Hyeon. Dia sebenarnya masih tenggelam dalam angan-angannya sendiri. Mo Hwa Ran beranggapan yang lagu ‘Otteokhajo’ dicipta oleh Go Jae Hyeon untuk memujuknya kembali kepada lelaki tersebut selepas mereka berpisah.

Dalam masa yang sama, HTK, setelah menghayati lirik lagu tersebut, akhirnya sedar kenapa ibunya begitu beria-ia ingin menyanyikan semula lagu tersebut. HTK mula memikirkan tentang kaitan antara lagu tersebut dengan tindakan ibunya mengabaikannya selama ini. Ternyata, si ibu terlalu ingin kembali kepada lelaki yang dicintainya itu dan sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali kepada lelaki tersebut, termasuk ‘membuang’ anak sendiri dari hidupnya. Malangnya, hajat si ibu tidak kesampaian kerana lelaki tersebut sudahpun meninggal dunia. Oleh itu, kekecewaan tersebut turut disalurkan kepada si anak.

HTK cuba mengubat kedukaannya dengan berbual-bual dengan 'pig-rabbit'

Hakikat itu membuatkan HTK berasa terganggu. Dia cuba meluahkan perasaannya kepada anak patung ‘pig-rabbit’ tetapi tidak berkesan. Ketika itulah dia menyedari kepentingan GMN dalam hidupnya kerana hanya GMN yang mampu menceriakan hidupnya dan memulihkan ‘mood’nya itu. Sewaktu keluar mencari GMN, dia terjumpa GMN sedang merenung langit yang kelam di beranda rumah.HTK menyangka GMN sedang cemas memikirkan tentang majlis pelancaran ‘single’ pertamanya yang bakal berlangsung keesokan harinya. Oleh kerana dia dan juga Shin Woo serta Jeremy tidak akan hadir untuk majlis tersebut atas permintaan Presiden Ahn, HTK berpendapat GMN mungkin agak gementar untuk menghadapinya.

GMN sebenarnya sedang bersedih kerana pada besok hari , dia bercadang untuk mendedahkan identiti sebenarnya dan kemudian meninggalkan kumpulan tersebut. Sewaktu berbual dengan HTK di beranda, GMN sebenarnya memberikan ‘amanat terakhir’ kepada HTK, tetapi HTK tidak menyedarinya. Dia meminta HTK berjanji akan berpura-pura saling tidak mengenali selepas dia kembali ke identiti sebenarnya. HTK pula meskipun berasa tidak senang dengan permintaan itu, tetapi kerana ego, dia bersetuju dan berjanji akan berlagak seolah-olah mereka langsung tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Selamat tinggal semua...

HTK langsung tidak menyangka yang GMN pada waktu itu sedang mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Sebenarnya, sejak pada malam dia pengsan akibat demam panas itu lagi, GMN dalam diam telah membuat keputusan untuk meninggalkan A.N.Jell. Meskipun hatinya berat, dia merasakan yang keputusan itu adalah yang terbaik buat HTK. Ini kerana, GMN merasakan yang dia perlu pergi dari situ sebelum semuanya terbongkar dan menyebabkan HTK menerima bahananya. Dan, apabila dia terus-terusan diancam oleh YHY, GMN merasakan saatnya telah tiba untuk dia menghentikan semua itu.

Beberapa jam sebelum majlis pelancaran ‘single’ pertamanya berlangsung, GMN tiba-tiba menghilangkan diri. Tidak ada sesiapapun yang mengetahui di mana dan apa yang bakal dilakukan oleh GMN, kecuali YHY. GMN yang naif itu, oleh kerana termakan dek hasutan YHY, akur dengan perancangan yang dirangka oleh YHY.

Menurut YHY, saat yang paling sesuai untuk menyelesaikan segala kekusutan selama ini adalah sewaktu majlis pelancaran ‘single’ pertama GMN. Dalam majlis tersebut, GMN harus muncul sebagai dirinya yang sebenar. Secara kebetulan pula, GMN mendapat hadiah sepasang pakaian wanita daripada HTK. Maka, pakaian tersebut adalah pakaian yang paling sesuai untuk mendedahkan identiti sebenarnya.

Ke mana perginya pin rambut?

Hal itu hanya disedari oleh HTK sewaktu dia sedang bersiap-siap untuk menghadiri majlis pelancaran tersebut selepas dimaklumkan oleh Jeremy tentang berita kehilangan GMN. HTK mendapati pin rambut pemberiannya tidak lagi berada di telinga ‘pig-rabbit’ sebagaimana biasa. Malah, selepas menyelongkar almari di bilik GMN, dia mendapati beg kertas yang sepatutnya mengandungi pakaian pemberiannya juga kini telah kosong! Ketika itu, barulah HTK sedar tentang maksud yang tersirat di sebalik kata-kata GMN pada malam sebelumnya dan dia mula merasa resah.

HTK berkali-kali berusaha untuk menelefon GMN. Dia ingin menghalang GMN daripada meneruskan niatnya itu akan tetapi telefon bimbit GMN telah dimatikan. HTK menjadi semakin cemas apabila GMN masih lagi gagal ditemuinya meskipun majlis tersebut sudah bermula.

Sebaik sahaja HTK masuk ke dalam dewan, lampu dewanpun ditutup. Oleh kerana dia sukar untuk melihat dalam kegelapan, HTK akhirnya terpaksa meminta bantuan Shin Woo dan Jeremy untuk mencari GMN. Bukan dalam imej biasanya tetapi dalam imej seorang gadis berkot putih gading serta berskirt merah jambu! Ketika itulah, Shin Woo akhirnya sedar tentang apa yang sedang berlaku.

HTK cemas mencari GMN

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, HTK tiada pilihan lain selain daripada terpaksa keluar dari dewan untuk mencari GMN. Setelah puas mencari, dia akhirnya ternampak kelibat GMN sedang cuba memasuki dewan dari arah berbeza. Tetapi, apabila dia masuk semula ke dalam dewan, HTK gagal untuk menjejak GMN kerana keadaan dalam dewan yang gelap itu.

Lantaran cemas serta kecewa kerana tidak dapat mencari GMN, HTK akhirnya menjerit. “Bukan aku sudahpun memberitahu kamu agar tidak berada di tempat yang aku tidak dapat melihat kamu?!” GMN yang baru sahaja hendak melangkah ke hadapan dewan, terhenti dan menoleh ke arah HTK yang sebenarnya berada hanya beberapa meter sahaja di belakang. Seketika kemudian, lampu dewan dinyalakan dan ketika itulah HTK menyedari GMN sebenarnya sedang memandang ke arahnya dengan mata yang berkaca.

Mereka berdua hanya terpaku di situ memandang ke arah satu sama lain tanpa menyedari yang gelagat mereka sedang diperhatikan oleh semua orang yang berada di dewan tersebut. Dengan tidak semena-mena, Shin Woo tiba-tiba datang dan memeluk kepala GMN. Shin Woo berbuat demikian kerana dia cuba untuk menyembunyikan wajah GMN di sebalik bahunya bagi mengelakkan wartawan mengambil gambar GMN dalam imejnya sebagai seorang gadis.

Shin Woo cuba melindungi identiti GMN

Perbuatan Shin Woo itu membuatkan semua yang ada di situ terkejut. Namun, mereka tambah terkejut apabila Shin Woo mengumumkan bahawa gadis yang dalam pelukannya itu adalah kekasihnya yang selama ini disembunyikan identitinya daripada pengetahuan semua pihak. Shin Woo sebenarnya masih cuba untuk melindungi identiti sebenar GMN kerana pada waktu itu para wartawan sedang sibuk mengambil gambar mereka. HTK pula hanya mampu memandang dan menahan perasaan marahnya di dalam hati, tanpa mampu berbuat apa-apa…

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Thursday, 13 May 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s