Sinopsis Episod 9: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod | 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 9

Hati GMN tersentuh

Tiada siapa menyangka yang Hwang Tae Kyeong (HTK), di sebalik sikap kasarnya itu, sebenarnya mempunyai hati yang lembut. Pada malam hari jadi HTK itu, tersentuh hati Go Mi Nam (GMN) menyaksikan bintang kesayangannya itu menangis seorang diri di satu sudut yang gelap. Oleh itu, dia dalam diam, sedaya-upaya untuk membantu HTK memenuhi segala keperluan peribadinya.

Apabila air yang diminum oleh HTK dilihatnya telah kehabisan, GMN segera berkejar ke kedai runcit berdekatan untuk membeli air botol. Apabila HTK dilihatnya terganggu dek lampu di studio latihan yang berkelip, sekali lagi GMN berkejar ke kedai untuk membeli mentol baru dan kemudian menggantikannya. Perbuatannya itu membuatkan HTK mula mengesyaki sesuatu. Dia sengaja hendak menguji, kononnya terasa ingin minum kopi panas. GMN akhirnya terperangkap sewaktu pulang dari membeli kopi untuk HTK.

Selepas menempuh satu pengalaman pahit disebabkan oleh ibunya yang langsung tidak mengingati hari kelahirannya itu, HTK begitu terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh GMN itu. Meskipun dalam nada mengejek, HTK sebenarnya sangat gembira dengan kehadiran GMN meskipun kegembiraannya itu cuba disembunyikan. Dia berasa teruja apabila GMN mengucapkan selamat hari jadi kepadanya, cuba memberikan hadiah hari jadi kepadanya, malah menghabiskan masa bersamanya di taman selepas itu. Dia juga berterima kasih kepada GMN kerana telah menceriakan semula harinya itu.

Hadiah GMN sempena hari jadi HTK

Apabila mereka sampai di rumah, GMN juga turut memberikan ‘hadiah’ yang benar-benar membuatkan HTK terkesima seketika. GMN yang berasa kesal kerana tidak dapat menyediakan apa-apa untuk hari jadi HTK yang bakal berakhir itu, memberikan satu kejutan kepada HTK dengan melakukan sesuatu yang biasa dilakukan oleh Ketua Biarawati terhadapnya setiap kali di penghujung hari jadinya iaitu… memeluknya! Selain daripada pelukan, GMN juga menuturkan kata-kata perangsang yang benar-benar membuatkan HTK terharu. Kata GMN sambil memeluk HTK, “hari ini, hari kamu dilahirkan, adalah hari yang istimewa.Terima kasih kerana dilahirkan.”

Di sebalik kegembiraan yang dirasai oleh HTK itu, rupa-rupanya ada seseorang yang sedang bersedih. Shin Woo yang dalam diam memerhatikan perbuatan mereka dari beranda rumah, benar-benar kecewa melihat adegan itu. Dia yang selama ini berusaha melindungi GMN demi kebaikan kumpulan mereka serta demi kebaikan GMN sendiri berasa kecewa kerana kebaikan yang ditonjolkan selama ini hanyalah sia-sia. Ini kerana, dia semakin yakin yang dia tidak mampu untuk memiliki hati GMN.

Walau bagaimanapun, hati Shin Woo menjadi sedikit terhibur pada keesokan paginya. Ini kerana, apabila GMN diminta memilih ‘pog’ karakter A.N.Jell yang paling disukai, GMN memilih ‘pog’ miliknya. Waktu itu seisi rumah sedang bersarapan dan mereka berbual tentang ‘pog’ karakter A.N.Jell yang baru semalam dibeli oleh GMN di sebuah kedai sewaktu cuba hendak membelikan hadiah hari jadi buat HTK.

'Pog' Shin Woo pilihan GMN

Tindakan GMN memilih ‘pog’ karakter Shin Woo itu menyebabkan ada yang tersalah-sangka sedangkan pilihan itu dibuat berdasarkan karakter mana yang dirasakan kelihatan lebih menarik serta ceria. Tidak ada kena-mengena dengan tuannya. Namun, HTK ternyata tidak puas hati dengan pilihan GMN itu kerana pada pendapatnya, GMN sepatutnya memilih ‘pog’ miliknya kerana ia adalah ‘pog’ paling paling popular di kalangan peminat A.N.Jell. Dia yang tidak pernah kalah dalam sebarang undian populariti itu, tidak senang duduk kerana ‘pog’nya tidak berjaya ‘menawan hati’ GMN. Pengurus Ma pula menyangka GMN memilih ‘pog’ karakter Shin Woo kerana GMN menaruh hati terhadap Shin Woo.

Pada hari yang sama, ibu saudara GMN pergi ke pejabat A.N.Entertainment untuk berjumpa dengan Presiden Ahn kerana ingin berbincang soal meminta wang royalti hasil penglibatan GMN dalam A.N.Jell. Di situ, dia terserempak dengan Mo Hwa Ran yang datang untuk berjumpa dengan Presiden Ahn bagi memujuk HTK untuk membantunya menggubah semula lagu 어떡하죠 (Eo-tteok-ha-jyo / What Should I Do?) Oleh kerana menyangka ibu saudara GMN hanyalah sekadar peminat yang ingin mengganggunya, Mo Hwa Ran melayan ibu saudara GMN dengan dingin sekali. Mo Hwa Ran tidak langsung menyangka bahawa ibu saudara GMN itu mempunyai kaitan dengan orang-orang yang dicarinya selama ini, iaitu anak-anak Go Jae Hyeon, pencipta lagu 어떡하죠 (Eo-tteok-ha-jyo / What Should I Do?). Bermula dari sinilah, perkaitan antara GMN dengan Mo Hwa Ran ditonjolkan sedikit demi sedikit.

Sementara itu, penggambaran untuk video muzikal (MV) bagi ‘single’ pertama GMN diteruskan. Sewaktu sedang bersiap-siap untuk babak terakhir rakaman video tersebut di sebuah lokasi penggambaran, GMN yang memerhatikan Yoo He Yi (YHY) sedang disolek, berasa tertarik dengan aksesori yang disediakan untuk YHY. Sebagaimana gadis-gadis lain, dia juga ingin kelihatan cantik seperti YHY. Namun, dia sedar adalah mustahil untuk dapat memakai aksesori sebegitu kerana dia sekarang sedang menyamar sebagai seorang lelaki. Sambil menilik-nilik pin rambut pemberian HTK, GMN cuba untuk memujuk hatinya.

Shin Woo berjaya menghalang YHY daripada terus membuli GMN

Malangnya, perbuatannya itu disedari oleh YHY. Melihatkan pin rambut wanita berada di tangan GMN, YHY menyangka GMN cuba hendak mencuri barang miliknya. YHY yang sememangnya tidak suka dengan kehadiran GMN sengaja mempersoalkan minat GMN terhadap barangan wanita. Dia bersama juruhiasnya cuba mengenakan gincu pada bibir GMN. Mujurlah pada saat itu, Shin Woo serta Jeremy muncul menyelamatkan keadaan.

Bukan sekali itu sahaja YHY sengaja hendak menyakiti hati GMN. Selepas selesai penggambaran untuk babak terakhir MV, YHY terjumpa pin rambut milik GMN yang terjatuh dari baju yang dipakai oleh GMN sewaktu penggambaran. Dia sengaja menyembunyikan pin tersebut dan membiarkan GMN cemas dan tercari-cari pin berkenaan. Malah, sewaktu di sebuah kelab di mana parti meraikan tamatnya penggambaran MV diadakan, YHY sengaja mengenakan pin rambut tersebut ke rambutnya dan kemudiannya berlagak seolah-olah pin tersebut adalah kepunyaannya.

YHY berasa seronok kerana dapat mempermainkan perasaan GMN. Malah, dia turut mengejek-ejek perbuatan GMN yang cuba mendapatkan semula pin tersebut, di hadapan HTK. Perbuatannya itu menyebabkan tembelangnya pecah. Pada mulanya, HTK kurang pasti tetapi sebaik sahaja ternampak tanda harga pin rambut tertampal pada botol minuman yang dipegang oleh YHY, HTK yakin yang pin tersebut adalah pin milik GMN. HTK yang kenal benar akan pin rambut itu, kerana dia sendiri yang membelikannya untuk GMN, berjaya membuatkan YHY menyerahkan semula pin tersebut kepadanya.

GMN mengambil keputusan untuk tidak mencari pin rambutnya yang hilang

GMN pula, yang termakan dengan sindiran YHY, mengambil keputusan untuk tidak mencari pin rambutnya yang hilang itu. Ini kerana, dia berasakan dirinya tidak layak untuk memiliki pin tersebut memandangkan dia sekarang sedang menyamar sebagai lelaki. Keputusan yang diambilnya itu diluahkan kepada HTK.

HTK yang waktu itu baru sahaja bercadang hendak memulangkan semula pin rambut yang berjaya dirampasnya dari tangan YHY, berasa terkilan dengan keputusan yang diambil oleh GMN. Dia marah-marah kerana menyangka GMN tidak menghargai pemberiannya. HTK menyuruh GMN agar tidak mencari pin itu lagi kerana pin tersebut juga mungkin tidak suka bertuankan GMN, oleh sebab itu ia ‘menghilangkan diri’.

GMN benar-benar terguris mendengarkan kata-kata HTK itu. Sebenarnya, dia lansung tidak gembira dengan keputusan yang diambilnya itu. Ini menyebabkan GMN benar-benar berada dalam keadaan tertekan. Jika sebelum ini, hatinya terguris kerana terpaksa menyaksikan lelaki yang dicintainya dicium oleh wanita lain (sewaktu penggambaran babak terakhir MV), kini dia tambah tertekan kerana kehilangan pin rambut kesayangannya itu. Tambahan pula, dia turut dimarahi oleh HTK.

GMN berada dalam keadaan sangat tertekan

Sewaktu mereka yang lain sedang asyik bergembira, GMN tenggelam dalam dunianya sendiri. Untuk menenangkan hatinya, GMN sekali lagi mempraktikkan teknik titik tekanan yang diajarkan oleh Pengurus Ma kepadanya. Tindakan GMN menekan hidungnya itu membuatkan hidungnya merah umpama hidung si Rudolph, rusa Santa Clause. HTK yang terdengar gurauan Jeremy itu mengejek GMN. Menurut HTK, hidung GMN merah bukan seperti Rudolph sang rusa tapi Rudolph sang arnab ‘Cik Babe’ (mengambil sempena nama gelaran yang diberikannya kepada GMN). HTK sebenarnya masih lagi terkilan dengan keputusan yang diambil oleh GMN dan sengaja hendak memulangkan paku buah keras kepada GMN.

Oleh kerana tersinggung dengan kata-kata HTK itu, GMN mengambil keputusan untuk beredar dari situ. Dia tersempak dengan YHY yang memang sengaja mengekorinya. Sebenarnya, YHY mempunyai niat kurang baik. Dia sengaja hendak mengenakan GMN kerana sakit hati terhadap GMN lantaran insiden pin rambut GMN itu. YHY sebelum itu terdengar perbualan antara Koordinator Wang dengan pekerja di kelab malam tentang gimik air yang ingin dilakukannya.

Setelah berjaya memaksa GMN menyanyi di atas pentas, YHY yang berhati busuk itu sengaja menekan suis yang menyebabkan air jatuh mencurah-curah ke atas GMN. Waktu itu, GMN baru sahaja menyanyi beberapa rangkap lirik lagu ‘Rudolph the Red Nosed Reindeer’ / Rudolph Si Rusa Hidung Merah. Oleh kerana terkejut dan malu akibat disimbah air, GMN terpaku sahaja di atas pentas, hampir-hampir menangis. Ketika itulah, Shin Woo serta Jeremy bangkit menyelamatkan keadaan. Mereka menyambung nyanyian GMN yang terbantut akibat insiden tersebut.

Shin Woo, Jeremy serta HTK 'menyelamatkan' GMN

HTK yang melihatkan perbuatan kedua-dua rakan sekumpulannya itu, turut bangkit dari tempat duduknya untuk memberikan sokongan kepada GMN. Dia menyambar sehelai alas meja untuk melitupi tubuh GMN yang kebasahan. Oleh kerana lagu yang dinyanyikan oleh GMN adalah lagu Krismas, dengan bantuan Jeremy, persembahan tersebut bertukar menjadi majlis sambutan awal bagi meraikan Krismas. Pada mulanya, HTK enggan untuk turut serta menyanyikan lagu tersebut bersama ahli-ahli A.N.Jell yang lain, namun dia akhirnya turut sama bernyanyi apabila dilihatnya GMN juga mula bernyanyi. YHY yang geram kerana rancangannya hendak memalukan GMN itu gagal, hanya mampu memandang dari jauh.

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, HTK terdengar perbualan antara Jeremy dengan Shin Woo berkenaan GMN yang kelihatan tertekan disebabkan kehilangan barang yang berharga buatnya. Menerusi perbualan itu, HTK mendapat tahu yang GMN kelihatan bertambah tertekan selepas dia mengambil keputusan untuk tidak mencari barangnya yang hilang itu. Menyedari hakikat itu, HTK menjadi keliru. Dia tidak pasti sama ada patut memulangkan pin tersebut kepada GMN atau tidak kerana dia bimbang perbuatannya itu tidak dihargai oleh GMN. Akan tetapi, dalam masa yang sama, dia tidak mahu GMN terus bersedih.

Oleh itu, HTK mula memikirkan cara bagaimana hendak memulangkan pin rambut tanpa memalukan dirinya. Dia mendapat idea untuk mencipta anak patung 돼지토끼 (Dwae-ji-to-kki / ‘Pig-Rabbit’ / Arnab ‘Cik Babe’) dengan mengambil sempena nama gelaran yang diberikannya kepada GMN. Untuk merealisasikan ideanya itu, HTK menyelongkar stor yang digunakan untuk menyimpan hadiah pemberian peminat-peminat A.N.Jell, untuk mencari seekor anak patung arnab dan seekor anak patung ‘Cik Babe’. Setelah berjumpa dengan apa yang dicarinya, HTK dengan tekunnya melakukan ‘pembedahan’ ke atas anak-anak patung itu dengan menukarkan hidung anak patung arnab kepada hidung ‘Cik Babe’. Selepas berjaya melekatkan hidung ‘Cik Babe’ pada anak patung arnab, HTK melekatkan pin rambut GMN yang hilang ke telinga anak patung arnab tersebut.

Arnab 'Cik Babe' ciptaan HTK

Apabila GMN bangkit daripada tidur, benda pertama yang dilihatnya tentunya adalah si Arnab ‘Cik Babe’! Pada mulanya, GMN berasa hairan tentang kewujudan seekor anak patung arnab berhidungkan ‘Cik Babe’ dan tertanya-tanya adakah si Arnab ‘Cik Babe’ itu adalah gambaran dirinya. Sebaik sahaja terpandang akan pin rambutnya pada anak patung itu, GMN berasa begitu gembira. Oleh kerana dia tahu gelaran 돼지토끼 (Dwae-ji-to-kki / ‘Pig-Rabbit’ / Arnab ‘Cik Babe’) adalah gelaran yang diberikan HTK kepadanya, dia tahu yang anak patung tersebut adalah pemberian dari HTK. Dia juga tahu bahawa HTK telah membantunya mendapatkan semula pin rambut yang hilang itu. Kerana terlalu gembira, GMN memeluk-meluk anak patung itu sambil tertawa kecil. HTK yang waktu itu berpura-pura sedang tidur, tersenyum seorang diri mendengar kekekan GMN itu.

Tanpa diduga, pada pagi tersebut, sekali lagi satu salah-faham berlaku antara GMN dengan HTK. Sewaktu sedang bersarapan, GMN tiba-tiba terbersin dan tiga orang lelaki, iaitu HTK, Shin Woo serta Jeremy ‘berebut-rebut’ untuk menunjukkan keprihatinan mereka terhadap GMN. HTK menawarkan air yang baru sahaja dikeluarkannya dari peti sejuk, Shin Woo menawarkan air teh suam kepada GMN, manakala Jeremy menawarkan jus oren kepada GMN. Pengurus Ma yang kebetulan ada di situ, sekali lagi menyuruh GMN membuat pilihan.

Yang mana satu pilihan kalbu?

Oleh kerana dia mengalami selesema, GMN pastinya memilih minuman yang panas atau suam. Oleh itu buat kesekian kalinya, HTK serta Jeremy kalah kepada Shin Woo. HTK ternyata tidak puas hati kerana sekali lagi dia tidak terpilih. Sebagaimana Pengurus Ma, HTK menyangka yang GMN sukakan Shin Woo kerana GMN memilih minuman yang ditawarkan oleh Shin Woo, sedangkan pilihan yang dibuat oleh GMN itu adalah yang paling tepat mengikut keperluan semasanya.

Sewaktu sesi fotografi untuk iklan telefon bimbit yang melibatkan kesemua ahli A.N.Jell, HTK sekali lagi tersalah-sangka tentang perasaan sebenar GMN terhadap Shin Woo. Apabila ditanya oleh YHY tentang warna kegemarannya, GMN terpaksa memilih warna hitam, iaitu warna yang digemari oleh kebanyakan lelaki, untuk mengelakkan identitinya daripada terbongkar. Secara kebetulan pula, warna hitam adalah warna tema Shin Woo untuk iklan tersebut, oleh itu HTK menyangka yang GMN sukakan warna hitam kerana dia sukakan Shin Woo.

Sementara itu, Mo Hwa Ran, ibu HTK membuat pertemuan dengan Go Mi Jae, ibu saudara GMN untuk berbincang tentang isu pemberian royalti bagi lagu ciptaan Go Jae Hyeon. Sewaktu pertemuan itu, Mo Hwa Ran menyatakan keinginannya untuk bertemu dengan anak-anak Go Jae Hyeon. Dia langsung tidak menyedari bahawa dia sebenarnya telahpun bertemu dengan salah-seorang anak Go Jae Hyeon sebelum ini, iaitu GMN!

YHY cemburukan GMN

GMN yang tidak tahu-menahu tentang pertemuan itu, sibuk dengan penggambaran iklan pada hari tersebut. Mungkin disebabkan penat akibat terpaksa bekerja-keras sepanjang hari, selesema GMN menjadi bertambah teruk. Namun, dia bernasib baik kerana ramai yang mengambil berat akan kesihatannya. Hal ini membuatkan YHY menjadi cemburu terhadap GMN apabila menyaksikan sendiri GMN mendapat layanan yang begitu daripada semua orang.

Rasa cemburu itu semakin meluap-luap apabila YHY secara tidak sengaja terdengar perbualan antara GMN dengan HTK sewaktu dia sedang mengekori GMN. HTK pada waktu itu cuba bersemuka dengan GMN kerana tidak puas hati disebabkan warna temanya tidak dipilih oleh GMN sedangkan warna hijau muda adalah warna yang popular di kalangan wanita muda. Perbuatan HTK itu menyebabkan YHY menyedari siapa sebenarnya GMN di mata HTK. Oleh kerana sakit hati yang amat sangat, YHY mengekori GMN masuk ke tandas lelaki. Dia kemudiannya menyuruh GMN keluar dari tandas tersebut.

Tindakan YHY benar-benar membuatkan GMN gementar

GMN terkedu apabila YHY memberitahunya bahawa dia tahu tentang identiti GMN yang sebenar. Oleh kerana cemburu dengan layanan yang diberikan kepada GMN, YHY ingin semua orang mengetahui tentang rahsia GMN itu agar dia tidak lagi dilayan bak seorang putera di kalangan mereka. Selepas mengheret GMN keluar dari tandas tersebut, YHY memaksa GMN berterus-terang tentang siapa sebenarnya lelaki di kalangan ahli A.N.Jell yang disukai oleh GMN. Dia sekali lagi menyuruh GMN memilih warna yang disukainya, iaitu sama ada kuning, hitam ataupun hijau muda (merujuk kepada Jeremy, Shin Woo ataupun HTK). Pertanyaan YHY itu yang dalam nada mengherdik, benar-benar membuatkan GMM menggeletar ketakutan…

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Wednesday, 28 April 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s