Catatan 花火 Hana-bi: ‘Cinderella’s Sister’ Drama Pilihan

KDrama 2010 - Cinderella's Sister

Meskipun terdapat banyak drama-drama hebat lain yang sedang disiarkan di kaca televisyen Korea  Selatan sekarang ini, KDrama 2010 – Cinderella’s Sister / 신데렐라 언니 ternyata berjaya membuatkan hati  花火 Hana-bi ‘terpaut’ padanya. ‘Melodrama’ berunsurkan kekeluargaan yang padat dengan adegan yang  mampu membuatkan hati anda gundah-gulana ini membawakan kisah kehidupan sepasang adik-beradik  tiri yang saling bercakaran disebabkan pendirian serta pembawaan diri yang berbeza. Pada  kebiasaannya, ‘melodrama’ atau drama sandiwara sensasi bukanlah satu genre kegemaran 花火 Hana-bi kerana 花火 Hana-bi lebih suka memilih drama berunsurkan komedi percintaan yang membawa konsep yang  lebih ringan serta lebih menghiburkan. Namun, drama ini terbukti mempunyai tarikan yang begitu kuat  hingga membuatkan 花火 Hana-bi begitu tertunggu-tunggu episod seterusnya. Kisah yang cuba dibawa oleh  drama ini ternyata memberi impak yang mendalam terhadap diri 花火 Hana-bi. Dengan catatan ‘rating‘  penonton yang jauh lebih tinggi daripada KDrama 2010 – Personal Preference/Taste dan KDrama 2010  – Prosecutor’s Princess, sejak dari awal penayangannya lagi, maka, tidak hairanlah seandainya ia  berjaya ‘mengalahkan’ drama-drama lain yang pada kebiasaannya akan menjadi pilihan 花火 Hana-bi.

Demam Cinderella’s Sister (CS) bukan sahaja melanda Korea Selatan, tetapi juga dunia luar / dunia  siber. Peminat-peminat fanatik drama Korea di seluruh dunia semakin hangat memperkatakan tentang  kehebatan drama ini. Menerusi forum rasmi CS @ Soompi, 花火 Hana-bi dapati begitu banyak  respon serta komen yang diberikan oleh peminat-peminat drama Korea terhadap drama ini. Tidak  terdaya 花火 Hana-bi untuk mengikuti perkembangan forum ini satu-persatu kerana setiap hari secara purata,  terdapat lebih daripada 100 respon yang diposkan peminat di forum rasmi CS @ Soompi sejak drama  ini mula disiarkan kira-kira 4 minggu yang lalu. Dengan bilangan pos terkini melebihi 3500 (dan  semakin bertambah setiap minit), respon yang paling banyak diterima pastinya pada hari Rabu, Khamis  dan Jumaat. Ketiga-tiga hari ini boleh dianggap ‘waktu-waktu puncak’ di mana peminat-peminat fanatik  CS berkongsi pendapat masing-masing selepas menonton episod terkini drama tersebut.

Sedutan dari MV 'It Has To Be You'

Untuk catatan, bilangan pos di forum rasmi CS @ Soompi pada hari Jumaat 23 April 2010 sahaja  sudah mencecah 250 pos. Data ini belum termasuk respon yang diterima menerusi forum-forum berbahasa Inggeris yang lain serta forum DCGallery (yang diikuti oleh orang-orang Korea serta mereka-mereka yang faham Bahasa Korea). Ini  menunjukkan yang KDrama 2010 – Cinderella’s Sister ini sedang begitu hangat diperkatakan. Peminat- peminat drama Korea, sebagaimana Hana-bi, tidak sabar menanti kemunculan CS pada setiap minggu,  sama ada menontonnya secara langsung di kaca TV (bagi penonton tempatan) atau secara dalam talian (online) menerusi KBS Able, mahupun dimuat-turun  (download) menerusi laman-laman web tertentu. Meskipun catatan ‘rating‘ penonton terkini masih juga  gagal menembusi angka 20% (Sumber: DramaWiki), drama ini dilihat sebagai salah-sebuah drama Korea yang paling  mendapat tempat di hati penonton. Kekuatan CS pastinya terletak pada jalan cerita serta kemampuan pelakon-pelakon utamanya  membawakan watak masing-masing, selain daripada lagu tema rasminya (OST) yang menarik. Sambutan yang diterima sememangnya sudah dijangka kerana ia dibarisi oleh pelakon-pelakon muda yang  popular. Meskipun ada di antara mereka yang masih baru dalam dunia lakonan, namun kesemua watak utama berjaya membawa watak masing-masing dengan berkesan. Apabila mereka menangis, 花火 Hana-bi turut sama ingin menangis. Apabila mereka ketawa, 花火 Hana-bi juga terasa ingin ketawa bersama.

'Eun Jo'

Watak Song Eun Jo, iaitu kakak tiri Cinderella dipegang oleh Moon Geun Yeong (문근영), seorang pelakon muda tetapi bukanlah merupakan nama  baru dalam dunia lakonan. Dia mula dikenali sewaktu usianya baru sahaja mencecah 13 tahun iaitu sejak melakonkan watak Eun Seo (versi muda) dalam KDrama 2000 – Autumn in My Heart / Autumn  Tales. Dia begitu dikenali dan diminati di Korea Selatan  disebabkan oleh kecomelannya serta bakatnya yang menyerlah, hingga mendapat gelaran sebagai 국민  여동생 / Gung-Min Yeo-Dong-Saeng / Nation’s Little Sister / Si Adik Kecil Negara. Lakonannya dalam  drama CS ini jauh berbeza dengan watak-watak yang pernah dipegang sebelum ini. Moon Geun Yeong bukan sahaja berjaya menunjukkan kematangan dari segi usia, tetapi juga kematangan dari sudut  kebolehannya dalam lakonan.

'Hye Seon'

Watak Cinderella pula dipegang oleh Seo Woo (서우), atau nama sebenarnya Kim Moon Joo (김문주). Meskipun baru sahaja empat tahun memasuki dunia lakonan, namun Seo Woo mampu membawakan watak Goo Hyo Seon a.k.a. Cinderella dengan berkesan. Wajahnya yang kebudak-budakan dan suaranya yang manja membolehkan dia membawakan watak ini dengan baik. Pada usia 25 tahun, Seo Woo berjaya tampil sebagai seorang pelajar sekolah sekitar usia 15-16 tahun dan kemudiannya tampil sebagai seorang gadis dewasa sekitar usia 23-24 tahun.

'Ki Hoon'

Watak lelaki yang menjadi rebutan Cinderella serta kakak tirinya dipegang oleh Cheon Jeong Myeong (천정명). Sepertimana Moon Geun Yeong dan juga Seo Woo, dia juga pernah memenangi beberapa anugerah, sebelum terpaksa mengundurkan diri buat seketika dari dunia lakonan kerana menyertai latihan ketenteraan. Mula berlakon pada usia 19 tahun, pelakon yang kini berusia 30 tahun ini ternyata merupakan antara kekuatan utama drama CS. Ekspresi wajah yang ditunjukkan dalam setiap adegan lakonannya begitu meyakinkan. Daripada raut wajahnya, cara renungannya, dia berjaya membuatkan penonton menyelami perasaan Hong Ki Joon meskipun kadangkala tiada sebarang dialog yang dikeluarkan dari bibirnya. Kemunculannya buat kali pertama dalam dunia lakonan selepas kembali dari menjalani latihan ketenteraan ini ternyata bakal merancakkan lagi dunia lakonan di Korea Selatan.

'Jeong Woo'

Watak yang menjadi penyeri drama ini tentunya adalah watak Han Jeong Woo yang dipegang oleh Taecyeon (옥택연). Drama CS ini merupakan drama pertama lakonan Taecyeon. Meskipun watak yang dipegangnya, setakat ini, adalah watak yang agak ringan berbanding 3 watak utama yang lain, namun penyanyi rap terkenal dari kumpulan idola ‘2PM’ ini  berjaya membuatkan penonton terhibur dengan keletahnya yang bersahaja, sebagaimana yang perlu ditonjolkan oleh watak tersebut.

Dua lagi watak yang tidak kurang pentingnya adalah watak Song Kang Sook, iaitu ibu tiri Cinderella, serta watak Goo Dae Seong, iaitu bapa Cinderella. Kedua-dua pelakon veteran ini juga berjaya membawakan watak masing-masing dengan begitu baik sekali. Watak ibu tiri Cinderella yang dipegang oleh Lee Mi Sook (이미숙) berjaya membuatkan penonton berasa benci kepadanya, manakala watak bapa Cinderella yang dipegang oleh Kim Gap Soo (김갑수) berjaya membuatkan penonton berasa sayang kepadanya.

Meskipun drama CS ini merupakan sebuah drama yang penuh dengan adegan tragik yang meruntun perasaan, drama ini berjaya menarik perhatian 花火 Hana-bi kerana mutu lakonan yang berkesan serta jalan cerita yang berbeza daripada kebanyakan drama-drama Korea yang lain. Selain daripada itu, lagu ‘It Has To Be You‘ serta lagu ‘Turn Around‘ yang menjadi antara lagu tema rasmi drama ini, sememangnya berjaya membuatkan hati 花火 Hana-bi lebih tersentuh. Tidak dapat dinafikan bahawa drama ini merupakan obsesi semasa 花火 Hana-bi kerana secara jujurnya, adegan-adegan dalam CS serta OSTnya senantiasa bermain di minda 花火 Hana-bi meskipun pada waktu itu 花火 Hana-bi berada jauh dari skrin komputer. Pengalaman yang sama pernah 花火 Hana-bi lalui pada awal tahun yang lalu, iaitu sewaktu mengikuti perkembangan KDrama 2009 – You’re Beautiful. Rasa tidak sabar menanti episod seterusnya disiarkan, yang dikhabarkan kini akan dilanjutkan ke 20 episod (pada asalnya 16 episod).

Ah, penantian itu adalah suatu penyiksaan!

| 花火 Hana-bi |

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Sunday, 25 April 2010, in Catatan 花火 Hana-bi and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s