Sinopsis Episod 8: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod | 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 8

Shin Woo cuba menahan HTK daripada mengejar GMN

Jika sebelum ini Go Mi Nam (GMN) yang mendapat kejutan besar kerana menyaksikan adegan Hwang Tae Kyeong (HTK) mencium Yoo He Yi (YHY), kali ini giliran HTK pula yang terkejut apabila melihat GMN menangis dalam dakapan lelaki lain. Apatah lagi, pada waktu itu, dia baru sahaja dimaklumkan oleh Pengurus Ma yang GMN bersedih disebabkan tidak mampu lagi membendung perasaan cintanya yang membuak-buak terhadap Shin Woo. Ya, terhadap Shin Woo! Oleh kerana melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan GMNShin Woo itu, meskipun hatinya cuba menafikan, mahu tidak mahu, HTK terpaksa menerimanya.

Jeremy dengan bas rahsianya: Tempat dia meluahkan kesedihannya

GMN yang terkejut dengan kemunculan HTK itu, cuba untuk melarikan diri. Dia bimbang seandainya perasaannya diketahui orang, terutama oleh HTK. Dia ingin keluar daripada semua kemelut itu. Namun, pada saat dia cuba untuk ‘menghilangkan diri’, Jeremy muncul menyelamatkannya. Jeremy dengan caranya yang tersendiri cuba untuk menghiburkan hati GMN. Meskipun telahannya tersasar jauh, kerana menyangka GMN bersedih kerana dikecewakan YHY (Jeremy masih tidak tahu yang GMN adalah seorang perempuan), namun, Jeremy yang berjiwa periang itu tidak suka membiarkan GMN terus tenggelam dalam kesedihannya.

Selain daripada Jeremy, Shin Woo juga berusaha untuk mengurangkan tekanan yang dirasai GMN. Dia cuba menyuntikkan kata-kata semangat kepada GMN. Malah, dia juga bercerita tentang kisah seorang gadis ‘clueless‘ yang terpaksa melalui pelbagai cabaran kerana terpaksa menyamar sebagai lelaki. Gadis itu, menurut Shin Woo, tidak langsung menyedari bahawa identitinya diketahui oleh salah-seorang kawan lelakinya, dan lelaki itu sebenarnya dalam diam telah banyak membantunya.

Shin Woo menggosok kepala GMN

Shin Woo sebetulnya cuba untuk berterus-terang dengan GMN yang dia telah tahu siapa GMN sebenarnya. Dia juga ingin memberitahu GMN yang dia bersedia untuk membantu GMN dalam apa jua keadaan, sebagaimana yang pernah dilakukannya sebelum ini. Tetapi, GMN yang ‘clueless‘ itu, ternyata tidak langsung menyedari bahawa cerita gadis ‘clueless‘ itu adalah berkenaan dengan dirinya. Ini kerana, fikiran GMN pada waktu itu, lebih tertumpu kepada permasalahnya dengan HTK.

GMN berasa tertekan kerana HTK telah tersilap-sangka tentang perasaanya terhadap Shin Woo. Dia tambah terkilan apabila HTK berkata yang dia bersedia ‘menyerahkan’ GMN kepada Shin Woo. Malah, HTK juga turut menyediakan satu gambarajah bagi memudahkan GMN menyelesaikan permasalahan yang disangka wujud di antara dia dengan Shin Woo itu. Di dalam perancangannya itu, HTK menyuruh GMN berterus-terang kepada Shin Woo tentang identiti sebenarnya dan meluahkan perasaaanya terhadap Shin Woo. Seandainya Shin Woo menolak cinta GMN, GMN harus terus mendesak sehingga dia diterima, sebagaimana dia, HTK, selama ini selalu didesak dan dirayu oleh GMN.

HTK berbuat demikian kerana menyangka GMN benar-benar telah jatuh hati pada Shin Woo, meskipun hatinya sendiri tidak senang dengan perbuatannya itu. Dia tidak tahu yang semua itu hanya menambahkan beban di hati GMN yang telah sedia terluka. GMN berasa lega kerana HTK tidak menyedari yang nyanyiannya sewaktu rakaman itu merupakan luahan perasaannya terhadap HTK, namun dalam masa yang sama, dia terkilan kerana HTK telah tersalah-sangka. Semuanya gara-gara Pengurus Ma yang suka membuat penilaian melulu.

Meskipun tersalah anggap siapa yang sebenarnya yang disukai oleh GMN, Pengurus Ma, sebagaimana yang lain, cuba untuk membantu GMN. Dia mengajarkan GMN tentang satu teknik yang sungguh unik bagaimana untuk mengawal perasaan, kononnya berasaskan teknik titik tekanan. Setiap kali berdepan dengan orang yang disukainya, tatkala dia rasa tidak dapat mengawal perasaanya, GMN harus menekan depan hidungnya dengan jari, gaya hidung ‘Cik Babe’ (babi). GMN yang naif itu langsung tidak menyedari yang semua itu hanyalah rekaan Pengurus Ma semata-mata!

GMN buat pertama kali mempraktikkan teknik mengawal perasaan yang diajar Pengurus Ma

Apabila GMN buat pertama kalinya mempraktikkan teknik titik tekanan yang diajarkan oleh Pengurus Ma itu, HTK menunjukkan reaksi terkejut. Dia ternyata tidak gembira dengan perbuatan GMN itu kerana menyangka GMN sengaja hendak menyakiti hatinya dengan mengingatkan dia kepada insiden dikejar babi sewaktu di kampung halaman GMN tempoh hari. Jika sebelum ini HTK menggelarkan GMN sebagai arnab (kerana HTK menganggap GMN umpama arnab yang tampak comel dan baik apabila dipandang, tetapi berbahaya apabila didekati), kini, kerana tindakan GMN menunjukkan gaya hidung ‘Cik Babe’ itu kepadanya, muncullah pula satu gelaran baru buat GMN, iaitu 돼지토끼 (Dwae-ji-to-kki / ‘Pig-rabbit‘ / Arnab ‘Cik Babe’).

Selepas menjalani sesi rakaman lagu dengan jayanya, kini, GMN terpaksa pula menjalani sesi rakaman untuk video muzikal bagi lagu tersebut. Sewaktu penggambaran yang dilakukan di sebuah sekolah itu sedang dijalankan, GMN terserempak dengan seseorang yang mengenali abang kembarnya. Pada awalnya dia tidak dapat mengecam siapa lelaki tersebut, malah langsung tidak menyedari dirinya diperhatikan sehinggalah diberitahu oleh HTK.

Seseorang yang mengenali GMN sebenar tiba-tiba muncul

Oleh kerana lelaki tersebut adalah sahabat karib abang kembarnya sewaktu di sekolah menengah, mahu tidak mahu GMN terpaksa menyapa lelaki tersebut bagi mengelakkan penyamarannya selama ini terbongkar, Malangnya, GMN langsung tidak mengingati nama lelaki tersebut, jadi dia terpaksa meminta bantuan daripada HTK. Untuk mendapatkan namanya, HTK terpaksa berlakon kononnya ingin memberikan lelaki tersebut autograf memandangkan lelaki tersebut adalah peminatnya, sedangkan lelaki misteri itu tidak sedikitpun berminat untuk mendapatkan autograf HTK.

Bukan kali itu sahaja HTK terpaksa membantu GMN pada hari tersebut. Apabila Dong Joon, sahabat karib abang kembar GMN yang akhirnya diketahui namanya itu, bertanyakan tentang parut besar di tangan GMN yang kini ‘sudah tiada lagi’, HTK terpaksa ‘menyelamatkan’ GMN dengan mengatakan yang kononnya GMN telah menjalani pembedahan plastik untuk membuang parut akibat terjatuh basikal itu. Apabila Dong Joon mengajak GMN untuk ‘kencing bersama’, iaitu aktiviti yang biasa mereka lakukan sewaktu di sekolah menengah dahulu, sekali lagi HTK terpaksa campur-tangan. Sewaktu di tandas, HTK terpaksa menyanyikan salah-sebuah lagu popular A.N.Jell semata-mata kerana ingin mengalihkan perhatian Dong Joon demi ‘menyelamatkan’ GMN.

Sewaktu penggambaran sesi seterusnya berlangsung, iaitu adegan rehat tengahari, Dong Joon secara tidak sengaja meluahkan perasaannya terhadap Mi Nyeo. Hidangan makan tengahari, iaitu omlet yang sedang dinikmati GMN itu mengingatkan Dong Joon kepada Mi Nyeo. Dia meluahkan perasaan yang dipendam selama ini terhadap adik Mi Nam itu tanpa menyedari yang dia sebenarnya sedang bercakap dengan Mi Nyeo, bukannya Mi Nam. GMN yang malu-malu dengan pengakuan itu, langsung tidak menyedari HTK sedang menjeling tajam padanya.

Selepas selesai sesi penggambaran tersebut, HTK menyuruh GMN agar tidak terlalu akrab dengan Dong Joon. Dia juga bertambah cemburu apabila Dong Joon bertanyakan sendiri padanya berkenaan Mi Nyeo. HTK bertambah tidak senang duduk apabila Dong Joon menyatakan impiannya untuk mengahwini Mi Nyeo selepas selesai menjalani latihan tentera dan menamatkan pengajian di bidang farmakologi serta membuka sebuah farmasi di kampung halamannya.

GMN sekali lagi mengamalkan teknik mengawal perasaan

Sewaktu sesi penggambaran di mana HTK dan GMN perlu berlakon sebagai kawan karib yang sedang membersihkan kawasan sekolah, HTK memerli GMN agar tidak lupa memberikannya vitamin percuma selepas bergelar isteri ahli farmasi nanti. HTK sebenarnya cuba meluahkan perasaan cemburunya itu. Tidak senang dengan ejekan itu, GMN melepaskan rasa geramnya dengan melemparkan daun-daun kering yang sedang mereka sapu itu ke arah HTK. HTK pula yang sememangnya seorang yang sangat mementingkan kebersihan itu, turut membaling daun kering ke arah GMN. Maka berlakulah ‘pergaduhan kecil’ di antara mereka, yang berakhir dengan tindakan GMN menunjukkan hidung ‘Cik Babe’ kepada HTK.

HTK yang seronok kerana dapat membuli GMN, berasa marah dengan perlakuan GMN itu sedangkan dia tidak tahu maksud tersirat di sebalik perbuatan GMN. Ketika itu jugalah, YHY tiba-tiba muncul dan merosakkan suasana. Perbuatannya yang berlagak seperti kekasih HTK itu membuatkan hati GMN terguris, tanpa mengetahui yang mereka berdua itu bukannya pasangan kekasih sebenar.

YHY sakit hati apabila HTK memberitahunya yang kegembiraan yang dirasainya bersama GMN sewaktu melakonkan adegan itu tadi bukanlah lakonan. Keakraban yang ditonjolkan bukannya palsu, tidak sebagaimana hubungan palsu mereka. Kerana sakit hati dengan kata-kata HTK itu, YHY sengaja enggan memaklumkan kepada HTK tentang spekulasi yang ditimbulkan oleh Wartawan Kim (bahawa dia telah mendapat bukti yang wanita yang dilihat bersama-sama HTK pada malam konsert adalah bukan YHY).

Dong Joon hairan kerana saiz kasut GMN sepatutnya sama dengan saiz kasutnya

Apabila YHY terserempak dengan GMN yang sedang berbual dengan Dong Joon yang dikatakan ‘kawan lamanya’, dia sengaja menghebahkan hal itu kepada Wartawan Kim, dengan niat hendak menyusahkan GMN. Namun, GMN bernasib baik kerana Dong Joon bersedia untuk membantunya meskipun Dong Joon pada saat itu telah menyedari siapa GMN sebenarnya menerusi saiz kasutnya yang berbeza dengan abang kembarnya. Dong Joon bukan sahaja tidak membocorkan rahsianya malah membantu GMN menyembunyikan rahsia tersebut apabila Wartawan Kim cuba mengorek rahsia.

Pertolongan Dong Joon itu membuatkan HTK bertambah cuak. Terkejut besar dia apabila Dong Joon memeluk GMN sewaktu mengucapkan selamat tinggal meskipun telah tahu identiti sebenar GMN. Ketika itu, YHY datang untuk menyuruh HTK menghantarnya pulang. Apabila HTK enggan, dia mengugut akan membocorkan rahsia GMN. Oleh itu, mahu tidak mahu, HTK terpaksa menurut.

YHY berjaya memaksa HTK menghantarnya pulang, sambil berlagak di depan GMN

HTK tidak menyedari yang perbualannya dengan YHY itu diperhatikan oleh GMN yang ternyata sedih kerana menyangkakan YHY benar-benar adalah kekasih hati HTK. Dalam perjalanan pulang, YHY mengarahkan HTK berhenti di sebuah restoran kerana dia ingin makan spaghetti. Apabila sampai di hadapan restoran, YHY menyangka yang HTK akan makan bersamanya, tetapi dia ditinggalkan begitu sahaja di hadapan restoran tersebut.

Setelah kembali ke rumah setelah dijemput oleh Shin Woo, GMN mendapati bungkusan yang dihantar untuk HTK telah dibuka oleh ibu saudaranya tanpa keizinan HTK. Bimbang ianya bakal menimbulkan kemarahn HTK, GMN cuba untuk menampal semula kotak bungkusan tersebut tetapi terjumpa sekeping kad. Bapa HTK sebenarnya mengirimkan hadiah harijadi buat HTK dan kad itu merupakan kad ucapan selamat hari jadi untuknya. Maka, GMN secara tidak sengaja mendapat tahu yang hari tersebut adalah hari jadi HTK.

Sebenarnya sewaktu di dalam kereta YHY itu, HTK mendapat panggilan daripada ibunya yang menyatakan keinginan untuk berjumpa sekali lagi. HTK menyangkakan yang ibunya ingin menyambut hari jadinya bersama. Namun, dia kecewa apabila mendapati si ibu hanya ingin berbual tentang urusan bisnes semata-mata, atau lebih tepat lagi untuk memaksanya bersetuju menggubah semula lagu dengan mengajak wartawan makan bersama mereka.

Sementara itu, GMN menyediakan hadiah hari jadi istimewa buat HTK, iaitu autograf Mo Hwa Ran. GMN menyangka HTK adalah peminat setia Mo Hwa Ran. GMN bertanya kepada Jeremy tentang persediaan untuk majlis hari jadi HTK, tetapi Jeremy menyatakan yang hari tersebut bukan hari jadi HTK. Jeremy juga memberitahunya yang HTK telah menelefonnya dan memberitahu yang dia tidak akan pulang ke rumah pada malam itu kerana sibuk di studio.

'Perbincangan' hangat antara HTK dengan ibunya

Oleh kerana ingin mendapatkan kepastian sendiri daripada HTK, GMN mengambil keputusan untuk pergi menemui HTK di studio A.N.Entertainment. Pada malam itulah, GMN secara tidak sengaja, menyaksikan satu adegan yang sungguh menyayat hatinya, iaitu perbualan antara HTK dengan ibunya.

Mo Hwa Ran marah kerana HTK telah memalukannya di hadapan wartawan. HTK pula begitu kecewa kerana si ibu sanggup datang mencarinya semata-mata kerana hal itu tetapi tidak langsung teringat tentang hari jadinya. Si ibu dengan bersahaja juga berkata yang dia tidak lagi bercadang untuk menyembunyikan hakikat yang mereka sebenarnya adalah anak-beranak bagi menarik perhatian media terhadapnya memandangkan HTK juga sekarang ini adalah seorang selebriti seperti dirinya.

Hati HTK tambah terguris apabila ibunya menyalahkan kelahirannya. Disebabkan HTKlah, si ibu kehilangan sesuatu yang paling berharga di dalam hidupnya iaitu lelaki yang dicintainya. Oleh itu, dia ingin mengabadikan cinta itu sebagai kenangan berharga dalam hidupnya dengan menerbitkan semula lagu yang pernah dicipta oleh bekas kekasihnya itu. Dan si ibu, tanpa sedikitpun rasa bersalah, menyatakan yang HTK bertanggungjawab membantu merealisasikan impiannya itu demi membalas jasanya melahirkan HTK ke muka bumi ini.

Tangisan HTK yang menyayat hati...

Sakit hati HTK tidak kepalang apabila mendengar kata-kata ibunya itu. Sebelum berlalu, dia sempat berkata: “Seandainya kamu ingin mengungkit jasamu kerana melahirkan aku, sekurang-kurangnya… paling tidakpun, kamu sepatutnya ingat akan tarikhnya.” HTK begitu sedih kerana si ibu hanya memikirkan tentang jasanya terhadap si anak, tetapi tidak teringat langsung akan bila tarikhnya jasa itu dibuat. Dan, pada malam itu, buat pertama kalinya, GMN menyaksikan HTK yang pada luarannya keras itu, menangis tersedu-sedu meratapi nasibnya… :,-(

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Tuesday, 13 April 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s