Sinopsis Episod 6: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 6

GMN pengsan akibat terkena pistol elektrik

Hwang Tae Kyeong (HTK) bangkit daripada tidur pada pagi keesokannya tanpa sedikitpun menyedari akan apa yang telah berlaku terhadap dirinya serta ‘Go Mi Nam‘ (GMN) pada malam sebelumnya. Meskipun tidurnya terganggu dek tindakan ibu saudara GMN yang tiba-tiba sahaja menepuk punggungnya itu, HTK sebenarnya tidur dengan begitu nyenyak sekali. Walau bagaimanapun, terlintas juga di fikirannya bagaimana dia bisa tidur dengan begitu lena meskipun di bilik tidurnya itu bukan sahaja terdapat orang asing, malah seorang perempuan pula!

GMN termangu-mangu

Sementara itu, GMN, sejak bangkit daripada tidur, merasa tidak selesa kerana mendapati jantungnya berdegup lebih kencang daripada biasa. Tidak selesa dengan perubahan yang dialaminya itu membuatkan GMN termangu-mangu. Dia menyangkakan yang ianya merupakan sebahagian daripada kesan sampingan akibat terkena tembakan pistol eletrik pada malam sebelumnya. Si GMN yang naif itu patuh dengan nasihat Pengurus Ma yang menyuruhnya meminum banyak air untuk menghilangkan ‘kesan’ tersebut. Namun, meskipun telah banyak air yang diminumnya, debaran itu tetap tidak berkurang.

Sewaktu GMN masih lagi kurang selesa dengan perubahan yang dialaminya itu, Yoo He Yi (YHY) pula tiba-tiba muncul di pejabat A.N.Entertainment, iaitu syarikat pengurusan A.N.Jell. Dia datang ke pejabat tersebut konon-kononnya untuk menjemput A.N.Jell ke majlis pelancaran filem lakonan terbarunya. Sebenarnya, dia mempunyai niat yang tersembunyi – dia ingin mengetahui lebih lanjut tentang identiti wanita misteri yang dilihat bersama-sama HTK pada malam konsert A.N.Jell tempoh hari.

Kemunculan YHY di pejabat pengurusan itu membuatkan Presiden Ahn semakin yakin tentang adanya hubungan istimewa di antara HTK dengan YHY, meskipun HTK berkali-kali menafikannya. Bukan sahaja Presiden Ahn, malah Koordinator Wang juga mempunyai tanggapan yang sama. Disebabkan itulah, dia secara sukarela membawa YHY ke studio latihan di mana HTK sedang sibuk mengarang lagu. Disebabkan tanggapan itu jugalah, Koordinator Wang sebelum ini, telah secara tidak sengaja membocorkan rahsia GMN kerana menyangka YHY telahpun mengetahui tentang rahsia tersebut menerusi kekasihnya, HTK.

YHY diejek kerana tidak pandai mengeja

Apabila YHY pergi menjenguk HTK di studio latihan, kehadirannya disambut dingin oleh HTK. HTK bukan sahaja tidak membenarkannya masuk ke studio tersebut, malah dengan sinisnya mengejek-ejek YHY dari dalam studio. Ini membuatkan YHY marah. Dia kemudiannya pergi mencari GMN. Apabila dia mendapati GMN yang menyamar sebagai lelaki itu mendapat layanan yang begitu baik daripada semua orang, termasuklah daripada HTK sendiri, YHY menjadi bertambah marah. Atau, lebih tepat lagi, cemburu! Cemburukan GMN yang mendapat layanan istimewa, bak seorang puteri. Jadi, dia mula memikirkan cara untuk menjatuhkan GMN.

Sebenarnya, selain daripada YHY, ada seorang lagi insan lain yang berminat untuk mengetahui tentang identiti sebenar wanita misteri itu. Orangnya, tidak lain, tidak bukan, adalah Wartawan Kim, wartawan yang sejak dari awal cuba mencungkil rahsia peribadi HTK. Apabila dia terdengar khabar angin mengatakan YHY datang ke pejabat A.N.Entertainment, dia pun segera muncul untuk mengorek rahsia.

Wartawan Kim cuba mengorek rahsia daripada kelab peminat A.N.Jell

Pada tanggapan Wartawan Kim, wanita misteri yang cuba dirahsiakan oleh HTK itu adalah YHY, kerana pada malam konsert A.N.Jell tempoh hari, wanita misteri itu dilihat keluar daripada bilik persalinan YHY. Tambahan pula, dia pernah ternampak YHY keluar daripada van milik A.N.Jell sewaktu di hospital. Namun, sewaktu sedang mengorek rahsia daripada sekumpulan peminat A.N.Jell yang sering berhimpun di luar pejabat A.N.Entertainment itu, dia mendapat satu maklumat baru! Setelah diselidiki, dia membuat kesimpulan bahawa wanita misteri yang dilihatnya cuba melarikan diri pada malam tersebut ternyata bukanlah YHY.

Sementara itu, GMN langsung tidak menyedari rahsianya bakal terbongkar sedikit demi sedikit. Dia yang masih lagi termangu-mangu dengan perubahan perasaan yang dialaminya itu, mula merasa semakin tidak selesa selepas terdengar perbualan antara Presiden Ahn dengan HTK berkenaan YHY. GMN menyangka HTK memang mempunyai hubungan istimewa dengan YHY. Namun, bukan itu cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh GMN pada saat itu. Kerana, ada satu lagi cabaran yang lebih besar menantinya. Iaitu, dia diminta untuk merakamkan lagu dalam album ‘single‘nya sendiri.

Menurut Presiden Ahn, pihak pengurusan tidak bercadang untuk menerbitkan album ke-6 kumpulan A.N.Jell. Sebaliknya, setiap ahli akan diminta untuk merakamkan ‘single‘ masing-masing. Oleh kerana GMN merupakan ahli baru dan HTK baru sahaja selesai menggubah sebuah lagu yang dianggap sesuai sekali dengan suara GMN, maka GMN dipilih sebagai ahli yang mula-mula sekali merakamkan ‘single‘nya.

Pengurus Ma dan GMN sekali lagi merayu kepada HTK

Ini bermakna, bagi pihak abangnya, GMN terpaksa mengorak selangkah lagi ke arah menjadi seorang penyanyi yang sebenar. Dan ini juga bermakna, bagi pihak abangnya juga, GMN serta Pengurus Ma sekali lagi terpaksa merayu kepada HTK untuk terus merahsiakan identiti sebenar GMN bagi membolehkan ‘single‘ tersebut dirakam dan dikeluarkan. Meskipun sudah agak berlembut dengan mereka, HTK tetap mengenakan satu syarat yang ketat. GMN dibenarkan kekal sebagai ahli A.N.Jell dan merakam album ‘single‘ tersebut seandainya dia berjaya membawa lagu ciptaan HTK itu dengan baik. Seandainya gagal, GMN terpaksa meninggalkan kumpulan mereka.

Selaku pendatang baru yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam bidang nyanyian, syarat tersebut merupakan satu cabaran yang besar buat GMN. Namun, selain daripada itu, GMN yang tidak pernah terdedah dengan selok-belok dunia hiburan juga merasa cemas tentang apa yang bakal dihadapinya setelah ‘single‘ tersebut dikeluarkan. Ini kerana, hidupnya pasti akan benar-benar berubah. Sebaik sahaja ‘single‘nya dikeluarkan, ini bermakna, dia harus menjalani hidup sebagai seorang artis yang sebenar. Satu perubahan yang cukup besar dalam hidupnya. Daripada seorang gadis naif yang bercita-cita ingin menjadi biarawati, dia kini terpaksa memegang watak sebagai seorang selebriti yang menjadi tumpuan ramai.

Pada saat GMN berada dalam kekeliruan, pada saat itulah Shin Woo muncul memberikan kata-kata semangat. Namun, oleh kerana masih keliru dengan apa yang harus dilakukannya, GMN mengambil keputusan untuk pergi menemui Mother Superior (/ wonjang sunyeo / Ketua Biarawati), iaitu wanita yang telah menjaganya selama ini, bagi mendapatkan pandangan. Secara kebetulan, Mother Superior berada di Gereja Myeong Dong yang terletak di dalam bandar Seoul.

GMN langsung tidak menyangka yang tindakannya itu bakal menimbulkan kekecohan. Dia menghantar sms kepada Pengurus Ma memberitahu yang dia ingin pergi menemui Mother Superior. Kerana tersalah-sangka akan tujuan sebenar GMN dan kerana tidak mengetahui yang Mother Superior pada waktu itu berada di Seoul, Pengurus Ma menjadi kelam-kabut. Dia memberitahu HTK yang kebetulan ada di situ, bahawa GMN ingin meninggalkan kumpulan A.N.Jell. Mendengarkan hal itu, HTK, dengan caranya yang tersendiri, mula menunjukkan reaksi cemas. Sambil tercari-cari GMN dengan keretanya, dia menelefon GMN dan mengarahkannya agar tidak berganjak daripada tempat yang dia sedang berada pada waktu itu.

HTK kali kedua melihat GMN berpakaian perempuan

Sebaik sahaja terjumpa GMN di hentian bas, setelah terpempan seketika melihatkan GMN yang berpakaian seperti perempuan serta berambut panjang itu, HTK segera memarahi GMN tanpa usul-periksa kerana menyangka GMN benar-benar ingin meninggalkan kumpulan mereka. HTK kemudiannya merampas beg tangan GMN dan menyuruhnya memasuki kereta, untuk menghalang GMN daripada pergi. GMN ternyata terpinga-pinga kerana tidak tahu kenapa HTK tiba-tiba sahaja muncul dan memarahinya. Dengan selamba dia bertanya, adakah HTK datang untuk menumpangkannya/menghantarnya pergi melawat Mother Superior. Pertanyaan itulah yang membuatkan HTK akhirnya menyedari bahawa Pengurus Ma telah tersilap faham akan maksud sebenar sms yang dihantar oleh GMN kepadanya.

Meskipun tidak berpuas hati dengan apa yang baru sahaja terjadi, HTK sambil memuncungkan bibir dan menggeleng-gelengkan kepalanya, tetap menghantar GMN ke destinasinya. Di sini, terserlah hati-budi HTK yang sebenar. Meskipun pada luarannya dia bersikap kasar terhadap GMN, HTK sebenarnya mengambil-berat tentang GMN. Sebagai seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan, dia tidak mahu GMN ‘merosakkan’ lagu ciptaannya, tetapi dalam masa yang sama, dia mahu GMN terus berada di dalam kumpulan mereka. Atau, lebih tepat lagi, berada di sisinya.

GMN cuba mencabut pin dari rambut selepas diejek HTK

Namun, HTK tetap HTK. Walaupun sudah mula menyenangi kehadiran GMN di sisinya, dia tetap tidak dapat mengubah sikap kasarnya terhadap GMN. Masih tetap dengan sinisnya, meluahkan kata-kata yang menyinggung perasaan. Namun, GMN juga tetap GMN. Masih bersabar dan menerima apa sahaja kritikan HTK meskipun hatinya sedikit terkilan kerana rambut palsu serta pin rambut yang dipakainya tidak cukup untuk membuatkannya kelihatan seperti wanita di mata HTK. Hati GMN tambah terkilan, lebih-lebih lagi apabila pin rambut tersebut tiba-tiba patah sewaktu dia cuba untuk menanggalkannya daripada rambut palsunya setelah diejek tidak sesuai oleh HTK.

HTK membelikan pin rambut buat GMN

Sebenarnya, HTK, meskipun bibirnya kasar berbicara, hatinya tidak begitu. Dalam diam, dia berasa bersalah kerana secara tidak langsung telah menyebabkan pin tersebut patah. Mungkin dia menyedari yang GMN tersinggung dengan komen yang diberikannya itu. Untuk menutup rasa bersalah itu, dia membelikan GMN sebuah pin rambut yang jauh lebih cantik, meskipun terpaksa membayar 100, 000 Won (lebih kurang US$100) untuk pin yang berharga cuma 3,000 Won (lebih kurang US$3) itu.

Selepas selesai membeli pin tersebut, dalam perjalanan kembali ke gereja di tempat GMN sedang menunggunya, HTK dihubungi oleh YHY menerusi telefon. Pada mulanya HTK enggan melayan panggilan itu, tetapi terpaksa meneruskan perbualan apabila YHY memberitahu kononnya salah-seorang kakitangannya berjaya merakam gambar wanita misteri yang dilihat bersama-sama HTK pada malam konsert tempoh hari. YHY mengancam akan mengirimkan gambar tersebut kepada Wartawan Kim seandainya HTK enggan menemuinya. HTK hanya menyedari dirinya tertipu apabila sampai ke tempat yang dijanjikan. Kerana terlalu marah, dia mencampakkan sebelah kasut YHY ke dalam sungai, manakala sebelah lagi ditendangnya jauh ke dalam semak.

HTK menyelamatkan YHY

Hal ini menyebabkan YHY terpaksa berkaki ayam balik ke keretanya yang diparkir agak jauh dari taman. Dalam perjalanan ke kereta, dia terpaksa melalui sebuah gelanggang bola keranjang. Di situ, berlaku insiden yang memalukan di mana wajahnya dengan hidung yang berdarah akibat terkena bola dirakam oleh anak-anak muda yang sedang bermain di situ. Mujurlah HTK muncul menyelamatkan keadaan. Dia terpaksa membawa YHY ke keretanya sementara menunggu pengurus YHY datang ke tempat itu untuk membawa YHY pulang.

Disebabkan insiden tersebut, HTK terlewat untuk pergi menjemput GMN. Apabila GMN cuba menelefon HTK, panggilannya dijawab oleh YHY. YHY memberitahu GMN agar tidak menunggu HTK datang menjemputnya. Menyedari yang HTK tidak dapat datang menjemputnya kerana pada waktu itu berada di samping YHY, GMN dapat merasakan yang ada satu perasaan aneh sedang menekan hatinya. Dia mengambil keputusan untuk pulang tetapi terpaksa ke bandar mencari pakaian lelaki kerana beg pakaiannya ditinggalkan di dalam kereta HTK.

Shin Woo dan GMN makan serta membeli-belah 'bersama' di Myeong Dong

Sementara itu, berita tentang insiden di taman antara HTK-YHY mula tersebar luas. Pihak pengurusan A.N.Jell sibuk menguruskan panggilan daripada pelbagai pihak apabila gambar-gambar  HTK bersama YHY di taman dipaparkan di Internet. Shin Woo yang menyedari hal itu mula risaukan tentang GMN kerana dia tahu HTK sepatutnya ada bersama-sama GMN pada waktu itu. Dalam diam-diam, dia mengekori GMN ke sebuah kawasan membeli-belah di Myeong Dong. Menerusi telefon, dia ‘memberi tunjuk-ajar’ kepada GMN di mana untuk mencari tempat makan yang sedap serta kedai pakaian yang murah. GMN tidak menyedari bahawa ais krim percuma serta pakaian yang kononnya sedang dalam jualan murah besar-besaran itu sebenarnya dibiayai oleh Shin Woo.

Shin Woo sebetulnya ingin mendedahkan kepada GMN yang dia sebenarnya tahu tentang rahsia GMN. Ini kerana, Shin Woo berhajat untuk lebih mendekati GMN dan tidak mahu GMN terpaksa berpura-pura sebagai lelaki di hadapannya. Namun, hajat Shin Woo itu tidak kesampaian kerana HTK tiba-tiba sahaja menelefon GMN. Sebaik sahaja menerima panggilan tersebut, GMN segera menoleh ke belakang dan bergegas pergi dari tempat itu, langsung tidak menyedari yang Shin Woo pada waktu itu terpaku hanya beberapa meter sahaja di hadapannya.

Sebaik sahaja tiba di hadapan gereja, GMN mendapati HTK yang sedang siap-sedia menunggunya di situ. Dia terpempan seketika apabila HTK mengutarakan cadangan agar GMN kembali ke pejabat pengurusan dengan berpakaian sedemikian, seperti seorang perempuan. HTK berjanji akan membantu GMN sewaktu berdepan dengan Presiden Ahn nanti. Namun, GMN nekad. Dia bersedia untuk terus menyamar sebagai lelaki serta bersedia untuk berusaha demi memastikan lagu ciptaan HTK itu dapat dinyanyikan dengan baik. Kerana dia ingin meneruskan impian abang kembarnya itu.

GMN gembira menerima hadiah pemberian HTK

Dalam perjalanan pulang ke pejabat pengurusan, GMN begitu gembira sekali apabila HTK menghadiahkan pin rambut yang dibeli dengan harga 100,000 Won itu kepadanya. Namun, kegembiraannya tidak kekal lama kerana YHY pada waktu itu sedang menunggu HTK di pejabat pengurusan bersama-sama wartawan yang sedia menanti untuk mendapatkan pengesahan mengenai gosip panas antara HTK-YHY yang baru tersebar itu. YHY ingin membuat ‘pengakuan’ tentang hubungan mereka, tetapi ditolak mentah-mentah oleh HTK. Apabila YHY mengancam untuk mendedahkan rahsia GMN, HTK terpaksa bertindak. Bertindak untuk melindungi GMN, tanpa menyedari ianya melukakan hati GMN

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Friday, 5 March 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s