Sinopsis Episod 5: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod | 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 5

GMN bersedih kerana menangisi kematian ibunya

Go Mi Nam‘ (GMN) begitu sedih apabila mendapat tahu tentang berita kematian ibunya itu. Hancurlah segala harapannya selama ini untuk bertemu kembali dengan ibu kandung yang tidak pernah ditemuinya sejak lahir itu. Sewaktu sedang cuba ditenangkan oleh Hwang Tae Kyeong (HTK), muncul pula Shin Woo serta Jeremy, disusuli pula oleh Presiden Ahn dan Koordinator Wang. Mereka semua kehairanan melihatkan keadaan GMN waktu itu. Kerana tidak mahu rahsia GMN terbocor, HTK terpaksa berbohong kepada semua yang GMN pada waktu itu berada dalam keadaan tertekan kerana pertama kali membuat persembahan di khalayak ramai.

Presiden Ahn yang tidak mengetahui hal sebenar itu bertegas agar GMN bersiap-sedia untuk sesi media. Mujurlah HTK muncul di bilik persediaan sewaktu Koordinator Wang sedang membetulkan solekan GMN yang rosak akibat air mata itu dan mencadangkan agar GMN menyusup keluar daripada bangunan tersebut secara senyap-senyap. Agar tidak dapat dicam peminat serta wartawan, HTK mencadangkan agar GMN menyamar, namun Koordinator Wang mempunyai cadangan yang lebih baik. Daripada menyamar sebagai seorang lain, menurut Koordinator Wang, adalah lebih baik sekiranya GMN ‘kembali’ kepada dirinya yang asal, iaitu sebagai seorang perempuan. Oleh kerana Koordinator Wang kebetulan rapat dengan salah-seorang pembantu Yoo He Yi (YHY), Koordinator Wang mencadangkan agar GMN meminjam sahaja baju YHY.

HTK terpegun melihat GMN yang 'bertukar' menjadi perempuan

Terkedu HTK seketika apabila melihat perubahan yang besar pada diri GMN itu. Meskipun selama ini dia mengetahui yang GMN adalah seorang perempuan, dia tidak pernah melihat GMN berpakaian seperti perempuan, tambahan pula selepas disolek sedemikian rupa. Sekali-sekala, dia mencuri-curi pandang ke arah GMN, bagaikan tidak percaya. GMN pula sedikit malu-malu apabila menyedari dirinya diperhatikan. Dia tidak sedikitpun menyangka yang ada cabaran lebih besar menantinya di luar bilik persalinan YHY itu.

Sebenarnya, Wartawan Kim yang selama ini mengesyaki hubungan antara HTK-YHY berasa teruja apabila dia ternampak HTK sedang berlegar-legar di hadapan pintu bilik persalinan YHY. Wartawan Kim menyangkakan yang HTK sedang menunggu YHY sedang bersiap-siap. Apabila seorang perempuan muda berpakaian seperti YHY tiba-tiba keluar daripada bilik tersebut, dia menyangkakan yang perempuan tersebut adalah YHY. Tambahan pula, mereka cuba melarikan diri sebaik sahaja dia cuba merakamkan gambar mereka berdua. Wartawan Kim sedikitpun tidak menyangka yang perempuan yang gambarnya berjaya dirakam sewaktu sedang melarikan diri bersama-sama HTK itu bukanlah YHY, tetapi sebenarnya adalah GMN.

GMN terpaksa 'menyamar' sebagai perempuan untuk menyusup keluar dari bangunan

Setelah berjaya mengelakkan diri daripada Wartawan Kim atas bantuan HTK, GMN akhirnya berjaya keluar daripada bangunan tersebut, setelah melalui sekumpulan peminat yang waktu itu sedang mengerumuni Shin Woo serta Jeremy. Dia bernasib baik kerana meskipun Shin Woo serta Jeremy terlihat kelibatnya, mereka tidak dapat mengecamnya. HTK juga bernasib baik kerana sewaktu cuba untuk mengalihkan perhatian Wartawan Kim, dia bertembung dengan YHY. Setelah berkata-kata sepatah-dua dengan YHY, dia meninggalkan YHY yang berada dalam keadaan terpinga-pinga itu untuk berdepan dengan Wartawan Kim. Ini menyebabkan Wartawan Kim semakin yakin yang adanya hubungan rahsia antara HTK dengan YHY.

Selesai sidang media yang sepatutnya turut dihadiri oleh GMN itu, HTK akhirnya menceritakan kepada Shin Woo serta Jeremy tentang sebab sebenar kenapa GMN menangis. Setelah mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh GMNJeremy merasa menyesal kerana selama ini melayan GMN dengan buruk. Mereka mengambil keputusan untuk cuba menghiburkan GMN dengan mengadakan sebuah parti kecil bagi meraikan kejayaan konsert pertama GMN. Sementara itu, GMN yang baru pulang daripada menemui wanita misteri yang rupa-rupanya adalah adik kepada bapanya itu, terharu dengan keprihatinan ahli-ahli A.N.Jell.  Meskipun masih bersedih kerana ibu saudaranya itu mengesahkan bahawa ibu kandungnya telah lama meninggal dunia, GMN akhirnya dapat kembali tersenyum dan tertawa dengan keletah teman-teman barunya itu.

Jeremy keliru dengan perasaannya terhadap GMN

Sejak insiden pada malam itu sebenarnya, hubungan antara GMN dengan A.N.Jell mula berubah. Shin Woo menjadi semakin berani untuk mendekati GMN. Jeremy pula menyedari adanya perasaan aneh yang sedang menular dalam dirinya sejak kemunculan GMN. Tetapi, yang ketara berubah adalah HTK. Sejak malam tersebut, tanpa disedarinya, dia menjadi semakin mengambil berat tentang tanggapan GMN terhadap dirinya. Malah, dia merasa terganggu apabila GMN memberikan komen negatif terhadap penampilannya sehingga dia berusaha untuk mengubah stail rambutnya.

Sewaktu di salon rambut, HTK sekali lagi terserempak dengan YHY. YHY bertanyakan kepada HTK tentang identiti perempuan yang gambarnya dirakamkan sedang melarikan diri bersama-sama HTK pada malam persembahan A.N.Jell tempoh hari. YHY berasa marah kerana dikaitkan dengan HTK disebabkan oleh perempuan tersebut. Secara kebetulan, Koordinator Wang yang menemani HTK ke salon itu, ternampak HTK sedang berbual dengan YHY. Dia menyangkakan yang HTK dan YHY mempunyai hubungan istimewa.

Shin Woo dalam diam membelikan GMN sepasang kasut idaman

Sementara itu, Shin Woo yang nekad untuk cuba memikat GMN, mengambil langkah pertama untuk mengajak GMN keluar ‘dating‘. Dia dalam diam membelikan GMN sepasang kasut wanita kerana GMN tanpa sedar pernah meluahkan keinginannya untuk memakai kasut bertumit tinggi sewaktu mereka sedang menonton tv. Shin Woo mengajak GMN makan di sebuah restoran kerana dia ingin mengajak GMN keluar bersiar-siar di sebuah taman tema, sambil menghadiahkan kasut tersebut kepada GMN. Sebenarnya, dia ingin meluahkan perasaannya terhadap GMN dan memberitahu GMN bahawa sejak dari awal-awal lagi, dia memang telah tahu yang GMN adalah seorang perempuan. Tetapi, Shin Woo tidak mahu GMN terkejut. Oleh itu, dia memberitahu GMN yang dia terpikat kepada seseorang dan ingin memohon maaf daripada perempuan tersebut.

Kebetulan, di restoran yang sama, HTK dibawa oleh Presiden Ahn untuk bertemu dengan seorang klien. Klien tersebut ingin meminta HTK untuk menggubah semula sebuah lagu yang pernah dinyanyikannya untuk dimuatkan di dalam album barunya. Klien tersebut rupa-rupanya adalah Mo Hwa Ran, ibu HTK sendiri. Sewaktu pertemuan tersebut, Mo Hwa Ran telah menempah hidangan istimewa khas untuk HTK. HTK yang meskipun pada waktu itu masih berasa sebal terhadap ibunya, cuba menikmati hidangan tersebut. Dia tidak menyangka yang hidangan istimewa yang ditempah oleh ibunya itu rupa-rupanya adalah udang!

Jelas sekali kemarahan terbayang di mata HTK sewaktu dia ke tandas untuk memuntahkan kembali makanan tersebut. Dalam keadaan marah berbaur sedih itu, dia teringatkan kembali peristiwa sewaktu kecil di mana dia pernah dimarahi oleh ibu kerana tidak mahu makan makanan laut yang dipesan oleh si ibu. Ibunya melabelnya sebagai cerewet, sedangkan si ibu tidak pernah tahu tentang dirinya yang mengalami alahan terhadap makanan laut. Ketika si kecil terbatuk-batuk kerana mengalami alahan, si ibu menyuruhnya ke bilik air kerana malu dilihat orang. Ketidakprihatinan si ibu, sama ada tidak tahu atau tidak pernah cuba untuk mengambil tahu tentang dirinya itu sejak kecil hinggalah sekarang, benar-benar membuatkan HTK terkilan.

GMN terkejut apabila terserempak dengan HTK yang sedang bersedih

Sewaktu dalam kesedihan yang amat itu, tiba-tiba sahaja GMN muncul. GMN yang secara kebetulan menyusup masuk ke tandas lelaki, ternyata terkejut melihat keadaan HTK pada waktu itu. GMN yang dalam keadaan terpinga-pinga itu mengekori HTK keluar dari restoran apabila HTK tiba-tiba sahaja meluru keluar. Dia tidak putus-putus bertanyakan HTK kenapa HTK berkeadaan sedemikian. Apabila HTK akhirnya menceritakan tentang insiden dia termakan makanan laut, GMN segera menyatakan kebimbangannya kerana dia tahu HTK alah dengan makanan laut. Melihatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh GMN, HTK menjadi sedikit terhibur. Setidak-tidaknya, kemarahan terhadap si ibu sedikit berkurang dengan kemunculan GMN.

Senyuman HTK yang membuatkan jantung GMN berdebar kencang

Disebabkan rasa berterima kasih terhadap GMN, HTK buat pertama kalinya menghadiahkan senyuman buat GMN. Waktu itu, mereka akhirnya berjaya mencari jalan pulang ke pejabat pengurusan A.N.Jell, setelah tersesat beberapa kali. GMN pula, tergamam apabila buat pertama kalinya dia mendapati senyuman tersebut merupakan senyuman yang paling manis yang pernah diukirkan oleh HTK. Apabila HTK menegur perubahan sikapnya itu, GMN cepat-cepat mengubah topik perbualan. Dia sendiri tidak pasti kenapa tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup dengan kencang.

Apabila pulang ke rumah yang dikongsi bersama ahli-ahli A.N.Jell yang lain, GMN berasa sedih kerana mendapati Shin Woo melayannya dengan dingin. Shin Woo sebenarnya terkilan kerana GMN telah memilih untuk ‘meninggalkannya’ bagi menemani HTK yang dikatakan kurang sihat. Selain daripada Shin Woo, Jeremy juga bersikap dingin terhadap GMN. Jeremy sebenarnya masih lagi kekok lantaran kejadian tempoh hari di mana dia dipeluk oleh GMN.

Pengurus Ma merayu kepada HTK untuk membenarkan GMN terus tinggal di rumah tersebut

Keadaan ini menyebabkan GMN sedih kerana dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan A.N.Jell. Ketika GMN bersiap-sedia untuk keluar dari rumah tersebut setelah selesai mengemas pakaian, ibu saudaranya tiba-tiba muncul. Disebabkan ibu saudara GMN terpaksa menumpang di rumah tersebut, GMN dengan bantuan Pengurus Ma, terpaksa merayu kepada HTK agar dia membenarkan GMN untuk terus tinggal di situ. HTK tidak kuasa menegah, atau sebenarnya dia sudah mula rasa keberatan untuk melepaskan GMN pergi.

Oleh kerana ibu saudara GMN adalah ‘satu-satunya’ perempuan di dalam rumah tersebut, GMN terpaksa berpindah keluar daripada biliknya bagi membolehkan ibu saudaranya mendiami bilik berkenaan. Sewaktu dia diminta untuk memilih dengan siapa dia ingin berkongsi bilik, ketiga-tiga ahli A.N.Jell menolak. Jeremy menolak kerana ‘takutkan’ GMN, Shin Woo menolak kerana masih merajuk dengan GMN, HTK pula menolak kerana sememangnya tidak mahu berkongsi bilik dengan sesiapa.

GMN sebenarnya tidak ada pilihan lain. Meskipun takut dengan reaksi HTK yang menjeling tajam padanya, HTK sebenarnya adalah satu-satunya pilihan yang dia ada. GMN merasa lebih selesa dan lebih ‘selamat’ berkongsi bilik dengan HTK berbanding Shin Woo mahupun Jeremy kerana, di dalam rumah tersebut, hanya HTK yang tahu tentang identiti sebenarnya.

GMN yang cemerkap 'tertembak' dirinya sendiri dengan pistol elektrik

Sebelum berpindah masuk ke bilik HTK, Pengurus Ma memberikan GMN sejenis alat. Alat itu sepatutnya digunakan untuk melindungi diri seandainya HTK tiba-tiba bertindak di luar kawalan, namun sebaliknya terjadi. GMN yang cemerkap itu ‘tertembak’ dirinya sendiri dengan pistol eletrik itu. Dia pengsan dan terjatuh ke atas HTK

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Wednesday, 10 February 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. keren bngdtt flemnya
    is the best
    jang geun suk and park sin hye

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s