Sinopsis Episod 4: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 4

HTK memandang GMN dengan geram kerana GMN telah menendangnya sehingga pengsan

Go Mi Nam‘ (GMN) sememangnya seorang yang cemerkap (clumsy). Memang wajarlah jika dia digelar sebagai ‘zon kemalangan bergerak’ (a walking accident zone) oleh Hwang Tae Kyeong (HTK). Ini kerana, dia sedikitpun tidak menyedari yang HTK telah menyelamatkannya ketika dia hampir-hampir lemas kerana bertahan terlalu lama di dalam air. Gadis naif ini hanya menyedarinya setelah selesai bersalin pakaian.

Malang sungguh bagi HTK.  Bukan sahaja telah ditendang sehingga pengsan oleh GMN, dia juga terpaksa ditahan di hospital kerana pihak pengurusan, A.N. Entertainment, sengaja ingin mengambil kesempatan itu untuk menaikkan nama GMN di mata peminat. Betapa sakitnya hati HTK apabila gadis yang selalu menyusahkannya itu pula yang mendapat kredit serta disanjung oleh peminat A.N.Jell kerana dianggap sebagai penyelamat HTK. Sedangkan HTKlah yang sepatutnya digelar sebagai wira kerana dialah yang pada asalnya cuba menyelamatkan GMN yang hampir-hampir lemas itu.

Namun, disebabkan dia dimasukkan ke hospital jugalah, HTK dipertemukan oleh takdir dengan Yoo He Yi (YHY), seorang artis wanita yang cukup terkenal di Korea. Artis ini menjadi rebutan dan begitu disanjung oleh ramai pihak sehinggakan dia digelar sebagai ‘bidadari negara’ (nation’s fairy). Namun, pertemuan kali pertama itu bukanlah satu kenangan yang manis buat kedua-dua artis popular ini kerana sewaktu pertemuan itu, HTK secara tidak sengaja dapat mengenali hati-budi sebenar gadis yang disangka berhati mulia ini.

Pertemuan yang tidak disengajakan ini juga menyebabkan timbulnya gosip liar di antara mereka berdua. Seorang wartawan hiburan, Wartawan Kim yang sememangnya suka mengintai berita-berita panas artis, ternampak YHY sedang keluar daripada van milik A.N.Jell. Wartawan tersebut menyangkakan yang YHY mempunyai hubungan sulit dengan salah-seorang ahli A.N.Jell. Dia langsung tidak mengetahui dan tidak menyangka yang YHY sebenarnya telah tersilap van dan baru sahaja dihalau keluar oleh HTK.

Jeremy 'ditembak' oleh Shin Woo ketika cuba 'menembak' GMN

Sementara itu, Jeremy yang keliru dengan perasaannya terhadap GMN, cuba bersemuka dengan GMN untuk mengetahui hal sebenar di sebalik insiden yang terjadi antara GMN dengan HTK. Dia yang sebenarnya cemburu dan cuba menafikan dirinya tertarik kepada GMN itu masih berprasangka buruk terhadap GMN yang dianggapnya cuba menggoda HTK. Kerana merasa jengkel terhadap GMN berikutan insiden di kolam renang tersebut, Jeremy ‘menembak’ GMN dengan air semburan di laman. Namun, malang juga bagi Jeremy. Sewaktu dia cuba untuk menafikan perasaannya itu, dia mendapati dirinya semakin tertarik kepada GMN.

Selain daripada Jeremy, Shin Woo juga berasa hairan akan insiden yang menimpa HTK itu. Sebagai seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan dan senantiasa berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya, bagaimana mungkin HTK boleh tergelincir ke dalam kolam dan kemudiannya lemas. Malah, dia diselamatkan pula oleh GMN yang sememangnya terkenal dengan sikap cemerkapnya. Sebenarnya, Shin Woo mulai cemburu akan keakraban GMN dengan HTK. Ketika dia cuba untuk bersemuka dengan GMN dan bertanyakan hal tersebut, ketika itu jugalah HTK muncul untuk menyelamatkan keadaan.

GMN ternyata gembira dengan kemunculan HTK itu. Meskipun HTK dingin terhadapnya, GMN sedaya-upaya cuba mengambil hati HTK. Dia menyediakan bubur istimewa, khas buat HTK. Pada sangkaannya, hati HTK yang marah akan sejuk sedikit, namun sebaliknya berlaku. Malang betul nasib GMN. Bubur udang yang disediakannya itu sebenarnya ibarat racun bagi HTK yang sememangnya alah teruk pada makanan laut. Walaupun gagal mengambil hati HTK, GMN tetap tidak putus asa. Sewaktu berlatih untuk persembahan pertamanya bersama A.N.Jell, dia tidak henti-henti berusaha untuk berbaik-baik dengan HTK meskipun diberi layanan yang cukup dingin.

GMN comot ketika menikmati aiskrim

Hal itu turut disedari oleh Jeremy serta Shin Woo. Jeremy yang telah sekian lama curiga terhadap hubungan GMNHTK dan GMNShin Woo cuba untuk mencungkil rahsia hati teman-temannya itu. Dia cuba ahli-ahli A.N.Jell yang lain tentang wanita yang mereka minati dengan menggunakan Yoo He Yi sebagai contoh perbandingan. Waktu mereka sedang berehat menikmati aiskrim bersama-sama Pengurus Ma dan Koordinator Wang yang akhirnya pulang daripada ‘bercuti’ (sebenarnya menghilangkan diri kerana takut dimarahi oleh Presiden Ahn kerana berbohong tentang identiti sebenar GMN). Jeremy menjadi bertambah cemburu apabila pertanyaannya sedikitpun tidak diendahkan oleh HTK mahupun Shin Woo. Kedua-dua rakannya itu lebih menumpukan perhatian kepada GMN yang begitu asyik menikmati aiskrim sehingga comot mukanya. Ini membuatkan Jeremy bertambah cuak.

Shin Woo pula, meskipun cemburu dengan keakraban GMN dengan HTK, masih tetap cuba mencuri perhatian GMN. Sewaktu GMN sibuk mereka tandatangan khas untuk peminat, Shin Woo sebagaimana biasa, dengan berbesar hati menghulurkan bantuan. Kerana bantuannya itulah, hubungan mereka menjadi semakin akrab. GMN dengan jujurnya dapat bercerita berkenaan dengan impiannya untuk mencari ibu kandungnya kepada Shin Woo.

GMN cuba meminta HTK membantunya mereka tandatangan tetapi ditolak

Sebenarnya GMN telahpun meminta bantuan daripada HTK untuk mereka tandatangan yang hebat untuknya, tetapi ditolak mentah-mentah oleh HTK. GMN merasa rendah diri kerana sewaktu pertama kali menandatangani autograf untuk peminat, dia mendapati tandatangannya terlalu ringkas dan tidak menonjol sebagaimana tandatangan HTK. HTK pula, meskipun pada luarannya menolak (jual mahal) apabila GMN meminta bantuannya, tetapi hatinya sebenarnya kembang selepas dipuji oleh GMN. Dalam senyap-senyap, dia mula mereka tandatangan untuk GMN.

Namun, ego HTK tercalar apabila mengetahui yang GMN telahpun berjaya mereka tandatangannya sendiri atas bantuan Shin Woo. Kerana tidak ingin ditertawakan oleh GMN, dia mengambil keputusan untuk menyusup masuk ke bilik GMN sekali lagi bagi mendapatkan kembali tandatangan yang direkanya. Kali ini, satu lagi kelemahan HTK didedahkan kepada penonton. Sewaktu cuba untuk menarik keluar kertas yang mengandungi tandatangan rekaannya diselitkan pada laci meja, GMN yang tertidur di meja kecil itu telah ‘terbalik’ lalu jatuh ke atas HTK. Dalam keadaan kelam-kabut itu, lampu bilik tidurpun terpadam. HTK yang mengalami rabun malam yang teruk itu menghadapi kesukaran untuk keluar daripada bilik tersebut, hinggakan tersadung beberapa kali.

Ternyata, HTK yang pada luarannya seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan, rupa-rupanya mempunyai banyak kelemahan. Selain daripada mengalami alahan yang teruk pada makanan laut, dia juga mengalami rabun malam yang boleh dianggap berada pada tahap kritikal. Ini kerana, dia langsung tidak dapat melihat di dalam gelap apabila lampu tidur di bilik GMN itu tiba-tiba terpadam. Sebenarnya, HTK juga mempunyai banyak lagi kelemahan. Kelemahan-kelemahan ini cuba disembunyikan menerusi perwatakannya yang dingin. (Namun, ianya berjaya dicungkil satu-persatu oleh GMN, dalam episod-episod yang akan datang…)

Pada hari A.N.Jell sepatutnya mengadakan persembahan, Mo Hwa Ran, iaitu ibu HTK, muncul di kaca tv bercerita tentang keinginannya untuk menyanyikan semula sebuah lagu lama yang dikatakan mempunyai kenangan istimewa dalam hidupnya. Secara kebetulan, GMN tersilap masuk ke bilik persediaan Mo Hwa Ran yang baru selesai ditemuramah dan berkenalan dengannya. GMN dengan girang bercerita tentang HTK kepada Mo Hwa Ran tanpa mengetahui yang wanita tersebut adalah ibu kandung HTK. GMN menyangka HTK adalah peminat setia Mo Hwa Ran kerana terdapat banyak koleksi album-album lama Mo Hwa Ran di bilik HTK. Dia pernah terjumpa gambar Mo Hwa Ran bersama-sama HTK sewaktu kecil.

Sebenarnya, GMN pada waktu itu berada dalam keadaan gelisah. Dia sepatutnya ke bilik persediaan yang disediakan khas untuk A.N.Jell, tetapi kerana fikirannya waktu itu bercelaru, dia telah tersilap bilik. GMN gelisah kerana dia sepatutnya berjumpa dengan wanita misteri yang telah mengirimkan gambar keluarga kepadanya tempoh hari tetapi terpaksa menjalani latihan untuk konsert yang bakal berlangsung pada hari yang sama. Disebabkan terlalu gelisah jugalah, dia tidak dapat menumpukan perhatian sewaktu menjalani latihan tersebut kerana tertunggu-tunggu panggilan telefon daripada Pengurus Ma yang menggantikan tempatnya untuk berjumpa dengan wanita misteri itu.

HTK 'merampas' telefon bimbit GMN

Perubahan sikap GMN itu disedari oleh HTK apabila dia mendapati GMN tidak dapat menumpukan perhatian dan asyik merenung-renung skrin telefon bimbitnya. HTK bertindak dengan ‘merampas’ telefon bimbit GMN dari tangan gadis itu kerana ingin GMN memberikan sepenuh perhatian sewaktu persembahan yang sebenar pada malam itu nanti. HTK walau bagaimanapun seolah-olah terpana apabila GMN memberitahunya yang dia bakal meninggalkan A.N.Jell kerana impian untuk bertemu kembali dengan ibu kandung bakal terlaksana. Meskipun pada awalnya tidak menyenangi kehadiran GMN, dalam diam, HTK sebenarnya keberatan untuk melepaskan GMN pergi. Kerana, dalam diam, dia mula dapat menerima kehadiran GMN dalam hidupnya.

Selepas selesai membuat persembahan pertamanya bersama-sama A.N.Jell, GMN segera mencari HTK untuk mendapatkan semula telefonnya yang disimpan oleh HTK tetapi gagal. Dia kemudiannya meminjam telefon daripada Jeremy yang sedikit keberatan untuk meminjamkannya kepada GMN kerana masih lagi berprasangka buruk terhadap GMN. Kerana risaukan telefonnya, Jeremy segera pergi mencari GMN setelah mendapati GMN menghilang dengan agak lama bersama telefon miliknya. Apabila ternampak GMN di balkoni, Jeremy terus mendapatkan GMN sambil memarahinya. Jeremy walau bagaimanapun menjadi kelam-kabut apabila mendapati GMN sedang menangis.

GMN sebenarnya baru sahaja mendapat perkhabaran buruk daripada Pengurus Ma berkenaan ibunya menerusi wanita misteri itu. Wanita tersebut memberitahu Pengurus Ma bahawa ibu kandung GMN mungkin telah meninggal dunia. Dalam masa yang sama juga, HTK terbaca mesej yang dihantar oleh Pengurus Ma kepada telefon bimbit GMN berkenaan ibu GMN itu. Dia berkejar untuk mencari GMN, tetapi mendapati GMN sedang menangis di balkoni. Melihatkan GMN menangis sambil memanggil nama ibunya, sedarlah HTK yang GMN telahpun mendapat tahu tentang berita buruk itu.

HTK kasihan melihatkan GMN yang dalam kesedihan

Kerana kasihan melihatkan GMN yang menangis teresak-esak itu, secara spontan dia memeluk bahu GMN, cuba meredakan tangisannya. Shin Woo yang berkejar ke balkoni sebaik sahaja diberitahu oleh Jeremy tentang keadaan GMN, terkejut apabila mendapati HTK telahpun berada di situ. Dia dan juga Jeremy seakan-akan terpaku melihatkan GMN yang sedang menangis sambil dipeluk oleh HTK itu…

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Thursday, 4 February 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s