Sinopsis Episod 3: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info |
| Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod | 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 3

GMN menangis ketakutan ketika berada di atas bumbung lori yang bergerak

Go Mi Nam (GMN) terkejut besar apabila Hwang Tae Kyeong (HTK) menunjukkan kepadanya rakaman perbualan antara dia dengan Koordinator Wang yang dirakamkan oleh HTK secara tidak sengaja. Sewaktu GMN sedang berusaha untuk memadamkan bukti, berlakulah sedikit ‘pergelutan’. Alat perakam tersebut terpelanting lalu jatuh ke atas sebuah lori kecil. Mahu tidak mahu, GMN terpaksa memanjat naik ke atas bumbung lori tersebut, dengan bantuan HTK. Setelah berjaya mendapatkan kembali alat perakam milik HTK itu, lori tersebut tiba-tiba sahaja bergerak. HTK yang asyik membelek-belek alat perakamnya itu tidak menyedari yang GMN masih lagi berada di atas bumbung lori berkenaan.

Maka, berlakulah insiden kejar-mengejar yang mendebarkan, tetapi dalam masa yang sama, agak menggelikan hati. HTK, pada mulanya, kelihatan termangu-mangu dan memerhatikan sahaja lori tersebut berlalu bersama GMN yang menjerit meminta tolong. GMN yang panik itu pula, tidak henti-henti menangis. Namun, semangatnya datang kembali apabila ternampak HTK berlari-lari cuba mengejar lori berkenaan. Nasib baik jugalah lori tersebut berhenti di sebuah persimpangan jalan, kerana lampu trafik yang merah. Kesempatan itu digunakan oleh GMN untuk melompat turun daripada lori berkenaan. Itupun atas gesaan HTK.

Setelah berjaya melompat turun daripada lori tersebut dan ‘disambut’ oleh HTK, GMN pula teruk dimarahi oleh HTK. Tidak menyedari yang GMN juga berada dalam kesakitan sepertimana dirinya, HTK terus-terusan memarahi GMN. HTK memberitahu GMN yang dia tidak mahu GMN terus berada di dalam kumpulan mereka dan melabel GMN sebagai ‘sebuah zon kemalangan bergerak‘ (a walking accident zone) kerana geramkan GMN yang telah banyak menimbulkan masalah kepada dirinya.

Parodi 'Sorry, Sorry' - Koordinator Wang, Pengurus Ma dan GMN cuba merayu HTK

Susah hati disebabkan hal itu, GMN bersemuka dengan Pengurus Ma dan Koordinator Wang. Bermacam-macam idea dikeluarkan oleh Pengurus Ma untuk cuba mengatasi masalah tersebut dan terus menyembunyikan rahsia identiti sebenar GMN. Namun, GMN memilih untuk berterus-terang dengan Presiden Ahn dan menceritakan hal yang sebenar. Meskipun merasa bersalah terhadap abangnya kerana impian si abang untuk mencari ibu mereka tidak dapat dapat diteruskan, GMN nekad.

Pada saat GMN hampir-hampir sahaja berterus-terang dengan Presiden Ahn, pada saat itu jugalah surat kiriman seorang ‘peminat’ wanita tiba-tiba muncul. Wanita tersebut meninggalkan sepucuk surat yang mengandungi gambar GMN sewaktu kecil. Gambar tersebut diambil bersama abang serta mendiang ayahnya. Kerana menyangka wanita tersebut adalah ibunya, GMN mengejar wanita tersebut hingga ke stesen keretapi bawah tanah. Dia terlupa tentang identitinya selaku seorang artis dan tidak menyedari yang gelagatnya diperhatikan.

HTK yang secara kebetulan ternampak GMN sedang berlari-lari memasuki stesen tersebut, segera menyelamatkan keadaan. HTK cuba mengheret GMN keluar daripada stesen tersebut, tetapi ditentang. Mungkin kerana terdesak, GMN buat pertama kalinya ‘melawan’. Namun, kerana insiden tersebut jugalah, dia dapat berterus-terang kepada HTK berkenaan alasan sebenar di sebalik penyamaran itu.

GMN bercerita tentang misi pencarian ibunya kepada HTK

Malangnya HTK seakan-akan tidak dapat menyelami hasratnya itu dan enggan membantunya. HTK masih lagi berkeras dan menyuruh GMN berterus-terang kepada Presiden Ahn. Bagi HTK yang pesimis, tidak ada gunanya GMN mencari ibu yang telah meninggalkannya itu. Disebabkan pernah mengalami pengalaman pahit ditinggalkan ibu kandung sendiri yang tidak menyayangi dirinya, HTK beranggapan yang ibu GMN juga meninggalkan GMN serta abangnya kerana tidak menyayangi mereka.

GMN walau bagaimanapun, selepas peristiwa tersebut, semangatnya untuk mencari ibu kandungnya itu tiba-tiba sahaja berkobar. Meskipun ditentang hebat oleh HTK, GMN berazam untuk terus bertahan sebagai ahli A.N.Jell kerana merasakan peluang untuk dapat berjumpa dengan ibu kandungnya kembali cerah dengan kemunculan wanita misteri itu. Dia memberanikan diri untuk bersemuka dengan Presiden Ahn, kali ini bukan untuk mengundur diri daripada A.N.Jell, tetapi untuk menyatakan hasratnya untuk terus bersama A.N.Jell sehinggalah ibunya berjaya ditemui.

GMN juga dengan beraninya, bersemuka dengan HTK yang pada waktu itu masih lagi menginap di hotel (sebagai tanda memprotes kehadiran GMN dalam kumpulan mereka). Dia menghulurkan sebentuk cincin kepada HTK. Cincin tersebut adalah cincin yang sangat berharga bagi diri GMN kerana ia merupakan cincin milik ibunya. Dia ingin HTK menyimpan cincin tersebut sebagai ‘jaminan’ yang dia tidak akan menyusahkan hidup HTK dan akan keluar daripada kumpulan A.N.Jell setelah berjaya menemui ibunya. Namun, HTK menyambut dingin niatnya itu. Cincin tersebut dengan selambanya dicampak ke dalam sebuah kolam air yang agak besar.

Menyangka yang GMN akan berputus asa, HTK mencabar GMN untuk mendapatkan semula cincin tersebut. GMN pula begitu bersungguh-sungguh cuba mencari cincin tersebut tanpa henti. Dari petang, hingga ke malam, hinggalah ke pagi esoknya, dia masih terus cari dan mencari. Meskipun kepenatan dan hampir-hampir tergelincir jatuh ke dalam kolam, GMN masih terus mencuba. Sebab utama, kerana cincin tersebut sangat berharga bagi dirinya. Sebab kedua, kerana HTK telah berjanji akan membenarkan dia terus bersama A.N.Jell sekiranya dia dapat mencari cincin tersebut.

HTK terkejut kerana tidak semena-mena dipeluk oleh GMN

Melihatkan kesungguhan GMN itu, hati HTK mula tersentuh. Dia mengambil keputusan untuk memulangkan kembali cincin GMN yang sebenarnya tidak pernah dicampakkan langsung ke dalam kolam berkenaan. Melihatkan cincin yang dipegang oleh HTK itu, GMN berasa sungguh gembira. Meskipun menyedari dirinya telah ditipu, GMN sedikitpun tidak marah. Malah, dia merasa lega kerana cincin kesayangannya itu tidak hilang. Dia juga gembira kerana dibenarkan untuk terus bersama dengan kumpulan A.N.Jell. Kerana terlalu gembira, secara spontan HTK dipeluknya tanpa segan-silu. Waktu itu, HTK pula yang merasa segan dipeluk oleh GMN kerana menyedari perbuatan mereka diperhatikan oleh kakitangan hotel tersebut.

Selepas kejadian itu, HTK kembali ke rumah yang dikongsi bersama-sama ahli A.N.Jell yang lain. GMN pula begitu gembira kerana kepulangan itu bermaksud HTK tidak lagi menghalang kehadirannya di dalam kumpulan mereka. Dia mula memanggil HTK dengan gelaran ‘Hyeong-nim‘ atau ‘Hyung-nim‘ yang membawa maksud ‘abang yang dihormati’. Dia sedikitpun tidak menduga akan cabaran yang bakal dihadapinya kelak.

Sebagai persediaan untuk konsert sulungnya nanti, GMN diminta untuk menjalani sebuah sesi fotografi bersama ahli-ahli A.N.Jell yang lain. Kali ini, sesi fotografi tersebut diadakan di sebuah kolam renang. GMN walau bagaimanapun bernasib baik kerana dia tidak diminta untuk mengenakan pakaian renang sewaktu sesi fotografi tersebut. Kalau tidak, pastinya rahsianya akan terbocor! Walaupun menghadapi sedikit kesulitan dalam cuba mematuhi arahan dan kehendak Pengarah Fotografi, GMN bernasib baik kerana Shin Woo setia di sisi untuk memberikan semangat kepadanya.

Selepas selesai sesi fotografi tersebut, GMN sekali lagi berdepan dengan cabaran. Oleh kerana baju yang dipakainya basah kuyup sewaktu menjalani sesi penggambaran, GMN terpaksa bersalin pakaian di tepi kolam (yang pada waktu itu telah dikosongkan) kerana tidak ingin bersalin pakaian di bilik persalinan lelaki. Sewaktu sedang bersalin pakaian, tiba-tiba sekumpulan kakitangan fotografi muncul. Mereka sedang mencari peralatan fotografi yang tertinggal di tepi kolam renang berkenaan. Oleh kerana tidak mahu rahsianya terbocor, GMN yang masih belum siap bersalin pakaian itu terpaksa terjun ke dalam kolam renang. Dia terpaksa menunggu lama di dalam kolam renang itu kerana khuatir dirinya ditemui.

Adegan cemas: GMN di dalam kolam renang

Sementara itu, HTK yang menyedari akan situasi GMN itu menunggu dengan cemas di tepi kolam. HTK semakin bimbang apabila mendapati GMN tidak juga muncul-muncul dari dasar kolam meskipun setelah beberapa minit berlalu. Selepas kakitangan fotografi akhirnya berlalu setelah berjaya menemui peralatan yang dicari, HTK pun segera terjun ke dalam kolam tersebut…

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Friday, 29 January 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s