Sinopsis Episod 1: KDrama 2009 – You’re Beautiful

———————————————————————————————————————
| Info || Fakta Menarik || Ulasan || Fanfic || Sinopsis || Adegan Menarik || Paparan Skrin |
———————————————————————————————————————

Sinopsis: KDrama 2009 – You’re Beautiful
Episod | 1 || 2 | | 3 || 4 || 5 || 6 || 7 || 8 || 9 || 10 || 11 || 12 || 13 || 14 || 15 || 16 |

Episod 1

Pertemuan antara Go Min Nyeo dengan Pengurus Ma

Drama ini bermula dengan pertemuan antara Go Min Nyeo – seorang gadis naif yang bercita-cita ingin menjadi seorang biarawati, dengan Pengurus Ma – seorang pengurus sebuah kumpulan pop idola. Pengurus Ma mempunyai sebuah misi khas untuk mencari pengganti sementara Go Mi Nam, iaitu seorang penyanyi baru yang bakal menyertai A.N.Jell, sebuah kumpulan pop idola yang bukan sahaja terkenal di Korea, malah cukup terkenal di serata Asia.

Go Mi Nam sebenarnya telah lulus sesi ujibakat dan sepatutnya menandatangani kontrak untuk menyertai kumpulan A.N.Jell selaku penyanyi vokal tambahan. Pada waktu itu, A.N.Jell sememangnya sangat-sangat memerlukan seorang vokalis tambahan kerana vokalis utama kumpulan tersebut mengalami masalah vokal disebabkan terlalu kerap membuat persembahan secara langsung. Walau bagaimanapun, Go Min Nam tidak dapat hadir untuk menandatangani kontrak tersebut kerana pembedahan plastik yang dilakukan terhadap wajahnya mengalami kegagalan yang menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Amerika Syarikat untuk dibedah semula.

Pengurus Ma merayu pada Mi Nyeo

Oleh kerana tidak mahu hal tersebut diketahui pihak lain, terutama oleh pihak media, maka, Pengurus Ma terpaksa mencari seseorang untuk menyamar sebagai Go Mi Nam bagi memastikan Go Mi Nam dapat menyertai kumpulan A.N.Jell tanpa sebarang kontroversi. Dan, pada pendapat Pengurus Ma, tidak ada individu yang lebih sesuai bagi ‘menggantikan’ tempat Go Mi Nam buat sementara waktu, kecuali adik kembarnya sendiri, iaitu Go Mi Nyeo.

Go Mi Nyeo pula, pada masa yang sama, bercadang untuk ke Rom, Itali bagi menjalani kursus untuk membolehkan dia menjadi seorang biarawati.  Selepas kematian bapa mereka,  dia dan pasangan kembarnya dibesarkan di rumah anak yatim yang diuruskan oleh sebuah gereja. Oleh kerana Mi Nyeo berasa terhutang-budi kepada gereja tersebut, dia memasang cita-cita sejak kecil untuk menjadi seorang biarawati. Namun, cita-citanya itu terbantut disebabkan kedatangan Pengurus Ma.

Bermacam-macam cara digunakan oleh Pengurus Ma untuk memujuk Mi Nyeo bagi menggantikan tempat abangnya itu. Menurut Pengurus Ma, abang kembar Mi Nyeo iaitu Mi Nam, begitu bercita-cita untuk menjadi penyanyi kerana ingin mencari ibu kandung yang tidak pernah mereka kenal sejak lahir. Bagi Mi Nam, menjadi terkenal merupakan satu-satunya cara bagi membolehkan ibu mereka ditemui. Tambahan pula, ibu mereka pada suatu masa dahulu juga pernah bergelar sebagai penyanyi. Oleh itu, menurut Pengurus Ma, Mi Nyeo selaku adik seharusnya menyambung cita-cita tersebut bagi pihak abangnya.

Go Min Nyeo terpegun melihat A.N.Jell

Termakan dengan rayuan tersebut, Mi Nyeo akhirnya mengalah. Dia memberanikan diri untuk hadir ke majlis menandatangani kontrak bagi pihak abangnya dengan menyamar sebagai seorang lelaki. Pada hari tersebut jugalah, dia sempat ‘berkenalan’ dengan A.N.Jell. Mi Nyeo yang selama ini tidak pernah terdedah dengan dunia luar, begitu terpesona melihat ahli-ahli kumpulan A.N.Jell yang kesemuanya mempunyai daya tarikan masing-masing.

Sewaktu upacara menandatangani kontrak, Hwang Tae Kyeong (HTK) iaitu vokalis utama yang juga ketua kumpulan A.N.Jell, telah menimbulkan kekecohan. Mungkin kerana merasa tergugat dengan kehadiran vokalis baru dalam kumpulan mereka, HTK bersikap kasar terhadap ‘Mi Nam‘. Dia yang tidak yakin dengan kemampuan vokal ‘Mi Nam‘, mengancam untuk mengoyakkan kontrak yang baru sahaja ditandatangani seandainya ‘Mi Nam‘ gagal membuktikan kemampuannya untuk menyanyi.

Walau bagaimanapun, Min Nyeo sungguh bernasib baik. Selain daripada mempunyai wajah yang seiras, dia juga mempunyai vokal sebaik abangnya itu. Apabila diminta untuk menyanyi, kesemua ahli A.N.Jell terpukau dengan suaranya yang merdu itu. Mereka tidak langsung menyangka bahawa suara itu sebenarnya adalah milik seorang gadis, bukannya milik seorang ‘pretty boy‘ (atau lebih dikenali sebagai / kkot nam / ‘flower boy‘  di kalangan masyarakat Korea Selatan).

Mungkin Mi Nyeo sememangnya telah ditakdirkan untuk menjadi sebahagian daripada A.N.Jell. Pada hari dia sepatutnya bertolak ke Itali, tiket kapal terbangnya, secara tidak sengaja, telah jatuh ke tangan HTK. Meskipun telah mencuba pelbagai cara, namun Mi Nyeo gagal untuk mendapatkan kembali tiket tersebut. Itu menyebabkan Mi Nyeo tidak dapat menaiki pesawat berkenaan. Meskipun kecewa kerana impiannya untuk ke Itali tidak kesampaian, Mi Nyeo seakan-akan sedar bahawa mungkin inilah yang ditakdirkan oleh Tuhan untuknya.

Sambil berfikir tentang apa yang terjadi pada dirinya pada hari itu, dia teringatkan kembali kata-kata Pengurus Ma tentang impian abang kembarnya, Mi Nam. Dia juga teringatkan peristiwa sewaktu mereka berdua masih kecil, bagaimana mereka sering diejek kerana tidak mempunyai ibu. Mengimbau kembali kepahitan yang terpaksa mereka hadapi selepas kematian bapa, Mi Nyeo akhirnya bertekad untuk memenuhi impian abang kembarnya itu.

Go Min Nyeo akhirnya muncul sebagai Go Mi Nam

Selepas diperkenalkan di sebuah sesi media dengan wartawan, maka bermulalah kehidupan Go Mi Nyeo sebagai Go Mi Nam. Muncullah pelbagai insiden yang menggelikan hati dan kadangkala mendebarkan dalam proses dia cuba menyembunyikan identiti sebenarnya di samping menyesuaikan diri sebagai ahli A.N.Jell. Namun, cabaran yang perlu dihadapi oleh Go Mi Nam (GMN) yang baru ini bukanlah sedikit. Selain terpaksa melepaskan impiannya untuk menjadi biarawati, dia juga terpaksa menyembunyikan identiti sebenarnya selaku seorang gadis dengan menyamar sebagai lelaki.

Oleh kerana A.N.Jell adalah sebuah kumpulan yang kesemuanya terdiri daripada lelaki, GMN terpaksa merahsiakan identitinya daripada semua pihak, termasuklah daripada pengetahuan ahli kumpulan A.N.Jell itu sendiri. Malah, ketua syarikat pengurusan artis tersebut, Presiden Ahn juga tidak tahu-menahu mengenai hal tersebut. Pelbagai kesulitan timbul dalam usahanya menjadi seorang lelaki, namun dia bernasib baik kerana Pengurus Ma sedia untuk membantunya.

Cabaran dalam hidup GMN bermula apabila syarikat pengurusan mengadakan satu majlis di sebuah kelab malam sebagai meraikan kedatangannya selaku ahli baru A.N.Jell. Pada malam tersebut, GMN yang tidak pernah meminum minuman keras sepanjang hayatnya, telah mabuk. Sewaktu cuba untuk menghilangkan rasa mabuk itu, dia terserempak dengan HTK di bumbung kelab tersebut . Di situlah terjadinya satu insiden yang bukan sahaja merubah corak hubungan antara GMN dengan HTK, tetapi juga dengan ahli-ahli A.N.Jell yang lain, iaitu Kang Shin Woo dan Jeremy

About 花火 Hana-bi

Simply a K-Addict

Posted on Thursday, 14 January 2010, in K-Drama, Sinopsis and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. kak, ap ad filmnya disini??

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s